Friday, April 30, 2010

15 Kedai Ayamas akan dibuka tahun ini



Lancar program masakan untuk mengukuhkan lagi jenama produk



Kumpulan KFC Holding (Malaysia) Berhad, menerusi jenama Ayamas, merancang untuk membuka 15 cawangan kedai Ayamas tahun ini.

Pengarah Urusannya, Jamaludin Md Ali berkata, syarikat membelanjakan kira-kira RM300,000 untuk setiap cawangan baru dan menjadikan kawasan Lembah Klang sebagai lokasi utama.


“Kedai Ayamas kini mempunyai 42 cawangan dan bakal membuka cawangan ke 43 di Saujana Utama, Isnin depan,”katanya selepas melancarkan rancangan masakan Mmm… Sedapnya bersama Ayamas di Kuala Lumpur, semalam.

Mengenai program masakan, beliau berkata syarikat membelanjakan RM1 juta bagi membiayai promosi dan kos produksi rancangan tersebut.

Katanya, rancangan itu adalah salah satu strategi syarikat dalam mengukuhkan jenama dan memperkenalkan lebih banyak produk jenama Ayamas kepada pengguna.



Menurutnya, rancangan itu akan menyajikan 26 resipi terbaru yang diilhamkan Chef Wan menggunakan produk Ayamas.


“Menerusi rancangan masakan, kami berharap produk Ayamas menjadi pilihan pengguna dalam mempelbagailkan hidangan kepada keluarga setiap hari,”katanya.


Jamaluddin berkata, kebanyakkan resipi diilhamkan dari masakan Itali yang sesuai untuk hidangan sarapan pagi, tengah hari, makan malam, dan makanan ringan.



Katanya, sepanjang promosi itu berlangsung, syarikat menjangkakan jualan akan meningkat dari 20 hingga 25 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

“Ini musim ke tujuh program bersiaran dan pernah melakukan penggambaran sekitar Mauritius, Sri Lanka, Pakistan dan Bali.


Rancangan Mmm… Sedapnya bersama Ayamas disiarkan pada setiap Isnin, jam 5.30 petang di TV3 dengan penggambaran menarik sekitar musim bunga di Itali.


Monday, April 26, 2010

Jambatan kedua Pulau Pinang kini dibina


Projek yang membabitkan RM4.5 bilion itu dijangka mengurangkan 20 peratus kesesakan lalulintas


Jambatan kedua Sdn Bhd, syarikat yang bertanggungjawab menjayakan projek pembinaan jambatan kedua Pulau Pinang menjangkakan jambatan kedua akan mengurangkan 20 peratus kesesakan aliran trafik di jambatan pertama.

Pengarah Urusannya, Datuk Prof Ir Dr Ismail Mohamed Taib berkata, jambatan itu akan menjadi alternatif dalam mengurangkan kesesakan yang menghubungkan Batu Maung di Pulau dan Batu Kawan di tanah besar.


Menurutnya, jambatan itu kini 24 peratus dalam pembinaan adalah terpanjang di Asia Tenggara dan akan dibuka secara rasmi untuk laluan pada November 2013.


“Projek itu membabitkan RM4.5 bilion kos pembinaan menerusi pembiayaan dan kerjasama Bank import eksport China (Exim), Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan Bank Pembangunan Malaysia Berhad,”katanya selepas menandatagani kontrak perjanjian bersama Chec Construction (M) Sdn Bhd dan UEM Builders Berhad di Kuala Lumpur, semalam.


Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, Pengerusi Jambatan Kedua Sdn Bhd, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UEM, Datuk Izzaddin Idris dan Timbalan Presiden CHEC, Chen Zhong.


Katanya, pembinaan jambatan sepanjang 23.6 kilometer itu adalah signifikan kepada rancangan Malaysia ke Sembilan yang turut menyediakan 2000 peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.




“Projek mega itu juga akan mambangunkan beberapa kawasan negeri terdekat seperti Bayan Lepas, Kulim, dan Bertam,”katanya.


Ismail berkata, pembinaan itu juga turut menyalurkan kepakaran terutama dalam bidang kejuteraan bangunan dan pembinaan jambatan yang mampu meningkatkan kepakaran tenaga mahir negara.


Jambatan Kedua Sdn Bhd adalah syarikat yang dikorporatkan di bawah Kementerian Kewangan juga bertindak sebagai konsesi selama 45 tahun termasuk masa pembinaaan.




Friday, April 23, 2010

Jatimas sasar perolehan RM10 juta


Jatimas Asia (M) Sdn Bhd mensasarkan perolehan RM10 juta tahun ini menerusi pembukaan enam cawangan barunya.



Pengarah Urusannya, Zawati Ibrahim berkata, syarikat yakin dengan hasrat tersebut memandangkan permintan dan jualan yang stabil menerusi 300 hingga 380 unit barangan dijual setiap bulan sejak tiga tahun kebelakangan.

Menurutnya, pada 2009 jualan mengalami unjuran kepada RM2.3 juta setelah pada 2008 dan 2007 jumlah itu mencecah RM2.8 juta.

"Jumlah itu adalah secara purata menerusi cawangan Jatimas di Wangsa maju, Jalan Ipoh, Cheras dan Selayang," katanya ketika ditemui Sinar Harian di ibu pejabat Jatimas dekat Selayang, Batu Caves.

Beliau berkata, pembukaan cawangan baru itu adalah salah satu usaha pengembangan pasaran selain melengkapkan sasaran tahunan syarikat untuk membuka 10 cawangan dalam negara.

Katanya, RM250,000 hingga RM300,000 dilaburkan untuk pembukaan cawangan yang bersaiz kecil manakala RM500,000 diperuntukan untuk cawangan besar.

"Selain memfokuskan pada cawangan, Jatimas juga merancang meneroka pasaran timur tengah dalam masa tiga tahun akan datang," kata Zawati



Menurutnya, perniagaan Jatimas, diuruskan secara pengedaran, lesen dan francais.

Katanya, setakat ini Jatimas mempunyai 98 pengedar, dan sebuah francais manakala cawangan dikendalikan secara lesen.

"Bermula dengan modal awal RM200,000 sehingga RM500,000, mereka yang berminat boleh menyertai menjadi francaisi kami," katanya.

Beliau berkata, memandangkan keadaan ekonomi yang masih dalam pemulihan, Jatimas kini menawarkan sistem rakan niaga menggunakan modal permulaan RM20,000.

"Kami faham ramai yang berminat dengan perniagaan ini, jadi jumlah itu tidak akan membebankan rakan niaga bagi memulakan perniagaan untuk sama-sama memajukan industri ini," katanya.

Jatimas menawarkan program rakan niaga dengan memulakan tapak di Johor; Melaka; Pulau Pinang; Kedah; dan Kelantan.

Katanya, selain memberi tumpuan pada pengembangan pasaran, syarikat juga memperuntukan RM500,000 untuk pengiklanan dan promosi.

"Kedua-dua aspek itu begitu penting dalam menyebarkan maklumat selain saluran utama menerusi laman web," katanya yang mengusahakan perniagaan itu sejak 10 tahun lepas. Selain perabot, Jatimas juga menawarkan khidmat hiasan dalaman kepada pelanggan yang membeli perabot dari RM20,000 hingga RM30,000.

Katanya, beliau berazam membawa jenama itu di persada dunia serta disenaraikan dalam Bursa Saham Malaysia.

"Itu adalah misi syarikat untuk dua hingga lima tahun akan datang," kata Zawati.


Thursday, April 22, 2010

Untung Nestle meningkat Q1 2010

Untung Nestle meningkat pada suku pertama 2010

Nestle (Malaysia) Berhad akan menjadikan Malaysia sebagai pusat pengeluaran produk halal untuk dieksport ke lebih 50 negara tahun ini.


Pengarah Urusannya, Peter R. Vogt berkata, dengan adanya status halal, pengguna akan lebih yakin dengan produk, dan kesempatan itu akan digunakan untuk meneroka negara yang bermajoriti penduduk Islam.



“Kami yakin status halal akan meningkatkan kapasiti pengeluaran domestik dan eksport,”katanya selepas menghadiri mesyuarat tahunan ke 26 di Petaling Jaya, semalam.


Menurutnya, Nestle sentiasa mengutamakan kepuasan pengguna, dan atas dorongan tersebut, prestasi kewangan syarikat kekal kukuh bagi suku pertama 2010.


Vogt berkata, bagi suku pertama yang berakhir 31 Mac 2010, Nestle telah mencatatkan untung sebelum cukai tinggi dengan kadar RM170.617 juta, berbanding RM130.404 juta sebelumnya.


Katanya, kadar perolehan juga meningkat kepada RM1,020 juta mewakili 3.7 peratus pertumbuhan berbanding tempoh yang sama 2009.


“Dengan pertumbuhan itu, prestasi jualan juga meningkat kepada 7.3 peratus, dan itu adalah permulaan yang baik bagi tahun ini,”katanya.


Usaha bersepadu Nestle menerusi kempen pemasaran taktikal telah merangsang 6.2 peratus jualan domestik dengan peningkatan 0.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.


“Sektor eksport telah membentuk 23 peratus dari jumlah jualan yang menyumbang pertumbuhan dua digit ke atas perolehan,”katanya.


Beliau berkata, pertumbuhan itu banyak disumbangkan oleh jualan produk Nescafe dan krimer bukan tenusu.