Friday, June 25, 2010

Sasar jualan RM100,000 tahun ini

Mh Mohd mula lebarkan perniagaan ke luar negara

Pengeluar, pengilang dan pembekal rangkaian penyedap rasa seperti sos cili, tomato dan kicap jenama Mh Mohd dan Fatina, M.H.Mohd Industries Sdn Bhd, menyasarkan jualan mencecah RM100,000 sepanjang tempoh 12 bulan akan datang.

Pengarahnya, Muhamad Yusof berkata, syarikat yakin dengan sasaran itu menerusi jualan runcit di seluruh pasaraya besar terutamanya, Tesco, Giant, dan Mydin seluruh negara.

Menurutnya, syarikat juga kini sedang meninjau peluang eksport ke luar negara terutamanya ke Amerika Syarikat, Rusia dan United Kingdom dalam masa terdekat.

“Kami optimis dengan sasaran kerana pada kebiasaan kami mengedar tiga kontena produk ke seluruh negara setiap bulan,”katanya ketika ditemuramah Sinar Harian sempena Pameran Halal Antarabangsa ke tujuh (Mihas) di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, jenama itu diperkenalkan buat pertama kali pada 1986 menggunakan modal serendah RM500 yang diusahakan secara kecil-kecilan di Tumpat, Kelantan.

Empat tahun kemudian, syarikat terus dikembangkan dan beliau membelanjakan RM5000 untuk membeli mesin bagi menampung permintaan yang kian bertambah.

“Selepas tahun 1990, jualan syarikat terus berkembang dan saya melabur kira-kira RM40,000 hingga RM50,000 untuk tujuan menaik taraf beberapa mesin,”katanya.

Beliau berkata, dengan kepakaran dan peralatan canggih, syarikat selepas itu memberi tumpuan pada aspek pembungkusan dan menambah bilangan produk.

“Sebelum ini kami hanya memberi tumpuan pada sos, tetapi kini kami naik taraf semuanya demi peningkatan mutu dan kualiti,”katanya setelah berjaya mengeluarkan 20 produk setakat ini.

Mohamad berkata, pada 1994, atas permintaan ramai, jenama Fatina diperkenalkan dan memfokuskan pada produk berasaskan sos.

Muhamad berkata, bagi mengukuhkan lagi perusahaan yang diusahakan bersama keluarga, Hazizah Hamat, syarikat membelanjakan lebih RM50,000 untuk tujuan pengilanan dan promosi meliputi media cetak, elektronik dan penyertaan dalam ekspo dan pemeran.

“Kami yakin dengan status halal yang ada, lebih mudah bagi kami melebarkan sayap perniagaan ke peringkat global,”kata Muhamad setelah usia perniagaannya kini mencecah 24 tahun.



Ratu :Tumpu pada pasaran domestik

Jenama Ratu akan menambah cawangan dan jualan dalam talian tahun ini

De Galeri Ratu (M) Sdn Bhd pengeluar dan pemasar pakaian wanita dan tudung jenama Ratu menyasarkan 10,000 ahli menerusi kad keahlian kesetiaan selaras usaha mengembangkan jualan hingga hujung tahun ini.



Pengarah Pemasarannya, Juwita Abdullah berkata, syarikat menawarkan 20 peratus potogan kepada ahli untuk setiap pembelian dan setakat ini mempunyai 5,000 ahli yang aktif.


“Kad keahlian adalah tanda penghargaan kami kepada pelanggan kerana sokongan membeli barangan yang kebanyakkannya lebih daripada satu,”katanya ketika ditemuramah Sinar Harian di ibu pejabatnya, Setapak, Kuala Lumpur.


Menurutnya, bagi meluaskan lagi pasaran, Ratu akan menampilkan busana Ratu menjelang hari raya nanti.




“Daripada cadangan pelangganlah busana dilahirkan sekaligus memudahkan mereka membuat padanan tudung dan baju,”katanya.


Juwita berkata, busana dan tudung saling melengkapi antara satu sama lain dan keadaan itu mendorong beliau untuk menambah bilangan cawangan setelah mempunyai dua cawangan setakat ini.


Katanya, kebiasannya, beliau memperuntukan RM600,000 hingga RM800,000 bersama 15,000 koleksi tudung untuk membuka cawangan baru. Tahun ini satu cawangan di Bangi akan dibuka sempena musim perayaan.


“Cawangan pertama Ratu adalah di Setapak yang dibuka pada Disember 2008, setahun kemudian, saya membuka dua lagi cawangan terletak di Semua House dan bersebelahan Hotel Carton, Shah Alam,”katanya.


Juwita berkata, setakat ini syarikat tidak meletakkan sasaran untuk menambah bilangan cawangan, tetapi berdasarkan permintaan, kawasan Lembah Klang menunjukkan potensi yang menyumbang 60 hingga 80 peratus jualan syarikat.


“Kami akan menggiatkan promosi untuk tujuan hebahan dan menambah bilangan stokis dan pengedar,”katanya.




Beliau berkata, jenama Ratu kini boleh dibeli seluruh negara melalui stokis dan pengedar negeri.


“Kami mempunyai 20 stokis dan 100 pengedar serta masih lagi mengalu-alukan sesiapa yang berminat untuk menjadi sebagian pemasaran kami,”katanya.


Katanya, RM20,000 adalah modal awal untuk menjadi stokis manakala RM5,000 diperlukan sebagai pengedar.


Juwita berkata, stokis dan pengedar tidak perlu bimbang tentang promosi dan hebahan, semua itu akan diuruskan syarikat dan syarikat telah menetapkan untuk melantik satu stokis untuk satu daerah.




Menurutnya, segala kebajikan stokis dan pengedar tidak akan diabai kerana produk yang kurang mendapat sambutan boleh ditukar dengan fesyen atau corak baru.


Bagi menarik permintaan dan mengekalkan penawaran sepanjang masa, syarikat telah memperuntukkan RM700,000 untuk tujuan pengiklanan dan promosi sepanjang tahun ini.


“Iklan adalah medium promosi yang berkesan dan kami juga merancang untuk mencuba pasarkan secara dalam talian (online) dalam masa terdekat,”kata Juwita.




Selain itu, katanya, syarikat juga kini sedang meninjau peluang untuk membuka perniagaan secara francais.


“Itu adalah perancangan kami dalam dua tiga tahun akan datang sebab ramai yang bertanya dan mencadang,”katanya yang pada permulaan menggunakan RM500,000 sebagai modal awal membuka cawangan di Setapak.


Beliau berpendapat, industri dan dunia fesyen negara kini kian berkembang. Mengambil tanggungjawab untuk melihat wanita dan kaum muslimat tampil cantik bergaya, Ratu akan menampilkan pelbagai jenis tudung beserta corak selaras mendidik kaum hawa menutup aurat.


Info:

  • Jenama Ratu juga menawarkan perkhidmatan menukar ‘awning’ kepada mereka yang berminat. RM10 akan dikenakan untuk setiap perkhidmatan.
  • Setiap promosi dan produk baru akan diberitahu kepada ahli menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS)
  • Potongan 20 peratus layak untuk ahli
  • Jenama Ratu diilhamkan Juwita dengan meletakkan dirinya sebagai penggemar tudung
  • Busana Ratu akan diperkenalkan pada Julai 2010 sempena Hari Raya sebagai langkah mempelbagaikan lagi produk dan bidang niaga
  • Mengalu-alukan orang ramai menjadi stokis dan pengedar
  • Akan membuka satu lagi cawangan baru di Bangi setelah dua lagi cawangan terletak di Semua House dan Hotel Carlton, Shah Alam.

Saturday, June 19, 2010

e-Mas memartabatkan gamat sebagai produk komersil


>Rancang tembusi pasaran luar negara lima tahun akan datang




Gamat E-Mas Sdn Bhd, pengeluar dan pemasar produk berasaskan gamat jenama e-Mas menyasarkan 20 hingga 30 peratus pertumbuhan jualan sepanjang 2010.

Pengarah Urusannya, Rosedy Issa berkata, permulaan suku pertama tahun ini telah menunjukkan peluang yang positif kerana bermula Januari 2010 hingga Mei 2010 pertumbuhan jualan kini mencecah 20 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“2009 adalah tahun mencabar dan pertumbuhan jualan hanya mencecah 30 peratus, tetapi melihat tanda-tanda pemulihan ekonomi, syarikat yakin jualan mampu mencapai sasaran,”katanya ketika di temu ramah Sinar Harian di ibu pejabat Gamat Emas, di Cheras, Kuala Lumpur.

Menurutnya, melihat sambutan dan permintaan dalam dan luar negara, dari segi nilai jualan, syarikat menyasarkan purata jualan sehingga RM1.5 juta sebulan dan mampu mencecah RM20 juta hingga akhir tahun ini.

Sejajar mengembangkan jualan, syarikat menyasarkan bilangan stokis akan bertambah kepada 350 orang sebelum akhir tahun ini.

“Sebagai syarikat yang berteraskan perniagaan berbilang tingkat (MLM) kami memerlukan lebih ramai stokis dan setakat ini syarikat mempunyai 300 stokis di seluruh negara,”katanya.

Beliau berkata, RM5,000 adalah modal awal untuk menjadi stokis di setiap kawasan, dan dibezakan dengan 25 kilometer (KM) stokis berikutnya.

“Itu adalah strategi kami dalam mengekalkan persaingan sihat dan memudahkan pelanggan mendapatkan barangan,”katanya.

Rosedy berkata, stokis juga boleh memulang balik barangan kepada syarikat tertakluk kepada syarat dan peraturan sekiranya barangan tidak boleh dijual.

Beliau berkata, ke arah mencapai visi memartabatkan gamat sebagai wadah perjuangan dalam perniagaan, syarikat kini giat mengadakan latihan dan bimbingan kepada ahli baru.

Menurutnya, latihan itu adalah panduan asas bagi memudahkan ahli bergerak aktif dan yakin dalam memasarkan produk.

“Setakat ini kami mempunyai 70,000 di seluruh negara dan hanya 10 peratus kurang aktif,”katanya.

Selain itu menurutnya, syarikat telah meletakkan beberapa perancangan dalam memastikan lima tahun akan datang Gamat e-Mas muncul sebagai syarikat MLM terbesar di Malaysia.

Katanya, di bawah pelan itu, syarikat menyasarkan jualan akan mencecah RM300 juta hingga RM400 juta setiap tahun dan nilai perolehan berganda malah lebih setiap tahun.

“Itu adalah azam dan hasrat kami selain ingin membantu masyarakat menikmati kesihatan yang lebih bermakna,”katanya.

Gamat e-Mas juga berazam meluaskan penggunaan dan pemasaran dengan memperkenalkan gamat di persada dunia.

“Saya berhasrat untuk membawa gamat dan dipatenkan oleh negara asing tetapi masih mengekalkan khasiat dan warisannya,”katanya.

Gamat Emas Sdn Bhd di buka pada 1999 diuruskan seratus peratus bumiputera dan berjaya memasarkan 27 produk rangkaian gamat dan akan melancarkan tiga lagi produk baru tahun ini.

Selain pasaran dalam negeri, Gamat Emas juga turut dipasarkan melalui G-Health Pte. Ltd ke Singapura dan P.T Kiprah di Inonesia.



Friday, June 18, 2010

Butik Mama sasar jualan sehingga RM300,000 tahun ini

Butik Mama pelawa orang ramai menjadi stokis dan pengedar untuk meluaskan rangkaian pemasaran


Sejarah

Mengutamakan kehendak pelanggan dengan rekaan terkini fesyen wanita kontemporari, pemilik Butik Mama, Nor Ainna Ibrahim dibantu suaminya, Azman Mohd Salleh melangkah setapak lagi dengan mendirikan sebuah cawangan dalam mengembangkan perniagaan yang diusahakan secara talian (online) sebelum ini.




“Saya mengusahakan perniagaan ini bermula 2007, secara talian dan bertambah yakin apabila jualan berganda setiap bulan,”kata Ainna selaku Pengarah kepada syarikat Mama Secret Industry.


Katanya, perniagaan secara talian senang dan mudah kerana tidak memerlukan modal dan kos yang banyak.


Menurutnya, beliau menggunakan RM300 sebagai modal permulaan dan bertambah sehingga RM40,000 untuk membuka premis.


“Saya boleh buka premis ni pun sebab sokongan dan permintaan yang tinggi di kalangan pelanggan yang ingin melihat kemajuan dan kemampuan jenama Ainna bersaing dengan jenama lain setelah popular di pasarkan melalui talian,”katanya.


Beliau berkata, setakat ini, jenama Ainna mempunyai stokis di seluruh negeri dan pasarannya meluas sehingga merentasi Brunei, Singapura, Australia Dubai dan United Kingdom.


Sejajar usaha mengembangkan perniagaan, Ainna berkata, beliau kini menawarkan peluang niaga kepada mereka yang berminat.


“Mereka yang berminat untuk menjadi stokis memerlukan modal RM 2,250 untuk 50 helai baju berserta RM3,000 untuk 100 helai tudung.


“Bagi yang berminat ingin menjadi pengedar pula, RM699 diperlukan untuk menjual 12 helai baju dan 20 helai tudung,”katanya ketika ditemu bual sinar harian di pejabatnya di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi.


Ainna berkata, stokis akan menikmati 35 peratus keuntungan manakala pengedar akan menikmati 50 peratus keuntungan.


Jualan

Menurutnya, Butik Mama mempunyai dua produk utama iaitu Scarves Ainna’s yang memfokuskan untuk jualan tudung manakala Apparels Bussaina dikhaskan menjual pakaian seperti jubah, maxi dan blaus wanita.



Bercerita mengenai jualan, Ainna berkata, setiap bulan dianggarkan sebanyak 400 hingga 500 helai tudung dijual.


“Jualan tudung sahaja mencecah RM3,000 hingga RM4,000 sebulan dan kami tawarkan dengan harga yang berpatutan sesuai untuk semua golongan lebih-lebih lagi golongan pertengahan,”kata Ainna.


Menurutnya, antara koleksi terbaru yang dijangka mendapat sambutan adalah tudung Maisarah dan tudung Murni yang dijual antara RM79 hingga RM99 dengan pelbagai corak, warna dan rekaan terkini.


Ainna berkata, sepanjang 2009, jualan keseluruhan dianggarkan mencecah RM100,000 dan tahun ini beliau menjangkakan jumlah itu akan meningkat RM300,000 ekoran jualan bulanan yang memberangsangkan sehingga mencecah RM80,000 sebulan.



Bagi memastikan jualan terus stabil, Ainna juga turut memperuntukkan RM30,000 hingga RM40,000 dalam satu-satu masa untuk tujuan promosi dan pengiklanan.


Katanya, kedua-dua aspek itu saling membantu dan telah memperkenalkan jenama Ainna terus dikenali sama ada oleh generasi muda mahupun yang berusia.


“Rekaan kami terutamanya maxi, sesuai untuk semua peringkat umur dan inilah gaya terkini yang menjadikan seseorang itu tampak sopan, anggun dan bergaya,”katanya.



Perancangan masa depan

Melihat perkembangan jualan yang meningkat, Ainna berkata, beliau mempunyai rancangan dan hala tuju yang tersendiri dalam mengukuhkan lagi perniagaannya.


“Saya berazam untuk menjadi pusat sehenti pakaian Muslimah di negara ini dan berjaya membentuk keperibadian wanita agar menutup aurat dan bersopan ketika berfesyen,


“Berfesyen tidak salah asalkan kita pandai sesuaikan mengikut adat dan budaya kita, lagipun, menuntut aurat itu dituntut oleh agama kita,”katanya.




Menurutnya, saingan bukanlah halangan utama untuk jenama Ainna terus menempa nama.


Saya sedar, kini terdapat ratusan jenama dan koleksi di keluarkan tetapi jenama Ainna mempunyai keunikan dan ciri-ciri yang tersendiri, sehingga mampu menyaingi jenama sedia ada, semua produk di bawah jenama kami terutamanya tudung, tahan lasak sehingga boleh dicuci menggunakan mesin basuh,”katanya.


Sebagai langkah pengembangan, beliau kini sedang mencari peluang untuk menubuhkan francais kerana telah mendapat permintaan daripada pelanggan.


“Hasrat untuk menubuhkan cawangan secara francais itu sudah ada, tetapi bukan dalam masa terdekat, mungkin dalam satu atau dua tahun dari sekarang, "kata Ainna.


INFO :

  • Butik Mama adalah pengeluar jenama tudung Ainna’s Scarves dan himpunan koleksi muslimah seperti maxi labuh dan blaus di bawah jenama Busaaina Apprels
  • Diasaskan oleh Nor Ainna Ibrahim dan suaminya Azman Mohd Salleh sejak 2007 secara dalam talian(online)
  • Mempunyai rangkaian pengedar di setiap negeri di Malaysia dan pasaran luar seperti Brunei, Singapura, Australia, Dubai dan United Kingdom.
  • Membuka peluang perniagaan untuk menjadi stokis dan pengedar kepada yang berminat
  • Untuk maklumat lanjut sila layari http://www.butikmama2u.com / 012-3056727 atau kunjungi cawangannya di seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor.
  • Jenama Ainna juga popular menerusi Dutanya, Siti Murni Aziz yang sering menggayakannya ketika membaca berita di TV1.