Tuesday, August 16, 2011

Rumah terbuka peluang tambah pendapatan

Kesempatan diguna syarikat katering gandakan rezeki

Adalah menjadi tradisi masyarakat kita pada hari ini selepas sebulan berpuasa, Syawal dirai dengan penuh meriah. Kedatangan Syawal bukan sahaja saat yang dinantikan kerana berjaya menyempurnakan rukun Islam ke tiga, tetapi pada bulan ini juga kita akan menerima undangan ke rumah terbuka.

Konsep rumah terbuka yang diperkenalkan di negara kita adalah bertepatan dengan semangat mubibbah selaras saranan kerajaan untuk mengamalkan konsep satu Malaysia.

Majlis rumah terbuka dalam masyarakat kita dilihat telah menyemarakkan lagi amalan berkunjungan dan saling bermaafan sepanjang bulan Syawal yang mulia.

Penganjuran rumah terbuka juga dilihat telah membuka peluang perniagaan bagi sesetengah pihak terutama syarikat yang berkecimpung dalam dunia perniagaan katering.

Latar Belakang
Segi Seri Sdn Bhd bukan satu nama baru dalam perkhidmatan katering di negara kita.
Dari segi penubuhan, Syarikat ini telah berpengalaman selama 10 tahun dalam industri makanan dan katering, menjadikan syarikat sentiasa menjadi pilihan ramai untuk membuat tempahan berkaitan penyajian makanan terutama rumah terbuka.

Secara sepintas lalu, Segi Seri Sdn Bhd adalah syarikat yang dimiliki seratus peratus Bumiputera bermula sejak 1995. Ia dibangunkan oleh Azhar Baharin yang kini bergelar Pengarah Urusan bersama seorang rakan kongsi dengan modal awal sebanyak RM RM100,000.00.

Azhar yang berasal dari Kanchong Tengah, Banting, merupakan anak sulung daripada 10 adik beradik. Langkah awal pembabitan beliau dalam bidang katering adalah setelah memulakan kerjaya sebagai pramusaji di sebuah dewan makan di institut pengajian tinggi tempatan pada 1990.

Bermula daripada situ, beliau mula mempelajari teknik menguruskan dewan makan daripada peringkat penyediaan makanan sehinggalah bidang pengurusan.

Atas tekad dan kesungguhan, beliau memulakan perniagaan katering secara kecil-kecilan. Tanpa menoleh ke belakang pada tahun 2003, Segi Seri Sdn Bhd didaftarkan dengan rasminya di bawah Kementerian Kewangan Malaysia dan bertaraf Bumiputera.

Kini Segi Seri Sdn Bhd telah berkembang maju menjadi salah sebuah institusi penyediaan makanan dan pengurusan katering terkenal di Malaysia.

Perkhidmatan
Perkhidmatan utama syarikat ini adalah menyediakan sajian sepanjang tahun untuk semua jenis majlis baik besar mahupun kecil seperti perkahwinan, hari keluarga, jamuan di pejabat-pejabat korporat serta membekal sajian untuk tempoh-tempoh tertentu seperti berbuka puasa, bersahur, bekalan makanan untuk jemaah Tabung Haji ketika musim Haji dan kontak membekal makanan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Penyediaan sajian untuk rumah terbuka juga tidak terkecuali dan kini syarikat itu sibuk membuat persiapan memenuhi permintaan rumah terbuka.

“Kami menerima tempahan untuk majlis rumah terbuka sejak Ramadan lagi dan 20 tempahan rumah diterima setakat ini,”kata Ketua Chefnya, Rahime Harun.

Menurutnya, tidak ada syarat yang ditetapkan dalam membuat tempahan untuk rumah terbuka namun kebiasaannya tempahan paling kurang adalah 500 pax,”katanya.

Beliau berkata, pelanggan akan diberi kebebasan untuk memilih menu yang bersesuaian dengan konsep dan kehendak mereka. Apabila proses rundingan selesai barulah sebut harga akan dikeluarkan dan anggaran harga yang ditawarkan bermula RM15 hingga RM45 untuk jamuan secara bufet.

Katanya, caj tambahan dikenakan berbeza untuk pelanggan yang meminta sajian seperti BBQ dan kambing panggang. RM1,000 caj tambahan untuk seekor kambing.

“Kami cuba memberi kelainan dengan memperkenalkan konsep gerai dan setakat ini lapan gerai dengan pelbagai sajian akan disediakan bagi tempahan sajian untuk rumah terbuka,”katanya.

Rahime berkata, antara menu yang ditawarkan adalah ikan bakar, pelbagai pilihan makanan dan kuih muih tradisional Melayu, Steamboat dan lain-lain seperti masakan barat jika diminta pelanggan.

Sebagai persiapan, dua hari sebelum majlis berlangsung para pekerja akan bersiap sedia menyediakan kelengkapan yang dibantu lebih 15 kakitangan mengikut giliran.

Kejayaan
Kejayaan terbesar Seri Segi dalam menyediakan sajian setakat ini adalah membekal makanan untuk pejabat korporat seperti Tabung Haji, PDRM dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Pada tahun lepas lalu, kami edarkan makanan kepada lebih 10,000 jemaah Tabung Haji manakala membekalkan makanan secara kontrak kepada UiTM dan orang kena tahan (OKT) PRDM,”katanya.

Pada hari-hari biasa pula, syarikat sentiasa menjadi pilihan lebih 30 individu, badan kerajaan dan swasta.

Perancangan masa depan
Melangkah maju ke hadapan, Segi Seri telah merangka beberapa rancangan dalam mengembangkan lagi operasinya pada masa akan datang.

“Sebagai perancangan masa depan, kami sedang mempelbagaikan bidang niaga dan merancang membuka peluang francais, kios, dan restoran. Jadi tidak hairanlah katering ini sering diberi nama jolokan sebagai Raja Katering,”katanya.


Info catering :
Istilah katering diambil daripada perkataan bahasa Inggeris ‘catering’ atau kata akar ‘cater’. Ia membawa maksud penyajian makanan.
Orang atau syarikat katering pula dipanggil penyaji makanan atau katerer. Justeru katering merujuk kepada aktiviti atau bidang bisnes penyajian makanan dan minuman kepada orang-orang membuat pesanan makanan dan minuman.
Hasil daripada membekal makanan, syarikat akan dapat duit,
Bisnes katering berlainan dengan bisnes kedai makan atau restoran
Bisnes katering memerlukan syarikat penyaji makanan membawa makanan dan minuman yang dipesan dalam jumlah yang dikehendaki ke tempat pelanggan, berlainan jika dibandingkan dengan urusniaga restoran, café, kedai makan dan sebagainya.

Serunding Gombak Di hasil guna resipi sendiri

Cipta nama di Lembah Klang seperti buatan Pantai Timur


Mukadimah
Ramai di kalangan kita mengenali apa itu serunding dan makanan tradisional itu dikatakan terkenal pada awalnya di bahagian Pantai Timur iaitu Kelantan. Setiap tahun, juadah itu menjadi makanan kesukaan ramai di kalangan masyarakat Melayu untuk dihidangkan kepada tetamu bersama ketupat, lemang dan nasi himpit.

Serunding yang biasa dijual adalah jenis daging, ikan, ayam, dan udang. Namun begitu, serunding daging masih menjadi pilihan ramai kerana rasanya yang lebih enak berbanding yang lain. Serunding adalah sejenis masakan yang dibuat menggunakan rempah dan dimasak sehingga kering, agar tahan lama. Ia memerlukan penjagaan yang rapi daripada segi pengacauan tanpa henti hingga betul-betul kering bagi menjamin jangka hayat yang lebih lama.

Masyarakat di Kelantan muncul sebagai komuniti yang banyak mengusahakan makanan ini. Namun sejak kebelakangan, resipi itu mula bertukar tangan dan beberapa perusahaan di luar Kuala Lumpur telah menunjukkan minat menghasilkan makanan ini untuk dipasarkan secara besar-besaran.

Bukti yang paling nyata mereka yang menggemari serunding tidak perlu bersusah payah merantau ke negeri Che Siti Wan Kembang semata-mata untuk membeli serunding. Makanan itu kini boleh diperoleh di Kuala Lumpur dan salah satu syarikat yang mengeluarkannya adalah Nur Ilham Industries Trading menggunakan jenama Serunding Gombak.

Perusahaan itu diusahakan secara perniagaan keluarga oleh Zaharah Rashid dan pasangannya, Mahbob Jonit serta anak-anak.

Perniagaan secara kecil-kecilan
Sebagai memulakan bicara tentang perusahaan menjual serunding, Zaharah berkata, semuanya bermula sejak 30 tahun lepas dan pada waktu itu beliau dan suami berniaga menjual air di sekitar Kompleks Munshi, Kuala Lumpur.

“Saya memulakan perusahaan ini dengan berniaga secara kecil-kecilan, menu seperti air, rojak buah, dan mee rebus, namun setelah mula berkembang, kami menambah menu masakan dengan menjual serunding,”katanya.

Cipta resipi sendiri
Menurutnya, beliau mendapat idea untuk mula mengusahakan serunding secara komersial setelah menikmati makanan itu yang dibeli di Kelantan.

“Apabila pertama kali mencuba, saya terus tertarik dengan makanan ini, tetapi mungkin kerana persekitaran dan budaya orang Kelantan, rasanya manis, jadi saya cuba mengubahsuai mengikut resipi sendiri,”katanya.

Modal kecil, hasil ikut permintaan
Beliau berkata, pada kebiasaan, RM4,000 modal digunakan untuk membuat serunding. Tiga jenis serunding yang dihasilkan adalah daging, ayam, dan ikan. Pengeluaran akan dihasilkan setiap dua hari dan 100 kilogram (kg) untuk setiap pengeluaran.

“Kami melakukan pengeluaran setiap dua hari mengikut keadaan stok, jika jumlah berkurangan, kami akan menambah lagipun kerja-kerja penghasilan ketika ini dipermudahkan dengan bantuan mesin,”katanya.

Menurutnya, proses penghasilan serunding untuk dijual pada bulan Ramadan biasanya bermula dua minggu sebelum kedatangan bulan puasa.

Guna bantuan mesin jimatkan masa pengeluaran
Meskipun menggunakan bantuan mesin, beberapa kaedah penghasilan lain masih dilakukan dengan tangan. Setiap mesin boleh memuatkan 60 kg daging dalam satu-satu masa.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan jangka hayat serunding yang dihasilkan tahan lama.

Zaharah berkata, perkara yang perlu diutamakan ketika memasak serunding adalah ketika proses memasak. Pada waktu itu, hendaklah pastikan serunding dikacau tanpa henti lebih kurang empat hingga lima jam dan betul-betul kering di bawah api yang sederhana besar.

Kaedah itu perlu diambil berat kerana bagi memastikan ia mampu bertahan lebih tiga bulan dan dalam keadaan baik walaupun selepas dibungkus dalam bekas kedap udara mahupun plastik.

“Kami sentiasa mengeluarkan dalam jumlah yang sederhana mengikut permintaan kerana bagi memastikan tahap kesegaran dan mengelak lebihan,”katanya yang giat menjual di bazar Ramadan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur sepanjang Ramadan lalu.

Resipi pikat hati pelanggan luar
Resipi Zaharah ternyata menepati cita rasa ramai pihak kerana pelanggan yang datang bukan sahaja masyarakat kota sekitar Lembah Klang tetapi menjadi kesukaan Brunei, Singapura, Sabah dan Sarawak.

Katanya, serunding Gombak memberi kelainan daripada serunding yang sedia ada kerana mempunyai rasa yang seimbang di antara rasa masin, manis, dan pedas yang diadun bersama rempah yang sesuai.

“Resipi serunding saya agak istimewa berbanding Pantai Timur kerana saya mementingkan rasa yang pedas berserta rempah bagi membangkitkan aroma dan bau agar lebih menarik perhatian penggemar serunding,”katanya.

Resipi di pengaruh oleh negeri kelahiran
Menurut anak kelahiran Melaka ini, resipi itu sedikit sebanyak di pengaruh oleh masakan Melaka tetapi kualitinya masih kekal sebagai serunding yang kebanyakan dihasilkan masyarakat Kelantan.

Kini usia Serunding Gombak telah melewati 30 tahun, resipi yang dicipta ternyata berhasil dan sejajar dengan usaha mengembangkan perniagaan, beberapa produk lain juga turut dihasilkan.

Di samping menghasilkan serunding, saya juga menghasilkan dodol, sotong sira, rendang tok, dan dalam perancangan untuk menghasilkan popia sayur.

Pada ketika ini juga, Zaharah berkata, keluarga telah mencipta satu resipi baru sempena Ramadan lalu iaitu, kurma goreng.

“Idea membuat kurma goreng ini adalah datang dengan tidak sengaja, dan sepanjang Ramadan lalu, boleh dikatakan jualan produk sangat menggalakkan, masyarakat nampaknya suka mencuba makanan baru dan kaedah masakan juga mudah seperti menggoreng cempedak,”katanya.

Serunding ikan dan daging dijual dengan harga RM60 bagi 1kg, manakala ayam RM70.


Info:
Serunding kini bukan sahaja sesuai dimakan pada musim perayaan sahaja, malah boleh dijadikan snek yang boleh dimakan begitu sahaja serta bersama dengan roti sandwich.

Makanan itu dimasak menggunakan rempah tradisional, tanpa menggunakan pengawet mahupun bahan perasa tiruan. Serunding sememangnya selamat untuk diambil oleh semua lapisan golongan dan mempunyai khasiat tersendiri.

Bahan yang digunakan untuk membuat serunding mestilah daging tempatan atau import yang direbus kemudiannya dicarik halus, dicampurkan dengan ramuan seperti bawang putih, bawang besar, lada kering dan santan mengikut kemahiran masing-masing.

Semasa proses memasak dilakukan, pastikan serunding dikacau tanpa henti lebih kurang empat hingga lima jam dan betul-betul kering di bawah api yang sederhana besar bagi memastikan ia mampu bertahan lebih tiga bulan selepas dibungkus dalam bekas kedap udara.

Cara membuat serunding daging
1. Daging dipotong dadu satu atau dua inci dan direbus sehingga empuk
2. Setelah empuk, tos dan biarkan sejuk.
3. Siat daging rebus sehalus mungkin.
4. Semua bahan perencah dikisar sehingga halus.
5. Panaskan minyak masak dan tumiskan bahan perencah sehingga wangi.
6. Masukkan garam dan gula secukup rasa
7. Masukkan daging dan kacau sehingga kering.
8. Setelah betul-betul kering boleh diangkat dan sedia untuk dihidangkan.

Sedia perkhidmatan terbaik dengan jaminan


Domino’s komited tambat hati pelanggan, sedia baucher jika lewa

Jaminan penghantaran 30 minit dan jika lebih, dua pilihan diberi demi menjamin pesanan pelanggan tiba pada masa yang dijanjikan. Komitmen itu memberi gambaran jelas bahawa kaedah itu adalah satu langkah bersepadu yang diamalkan oleh Domino’s Pizza sebuah pengeluar piza terkemuka negara dalam mengukuhkan kedudukan demi menambat hati pelanggan.

Justeru, tidak hairan Domino’s Pizza mendapat gelaran sebagai pakar penghantaran piza nombor satu di dunia. Syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu kini membangunkan Domino’s Pizza di lebih 65 pasaran antarabangsa dan mempunyai 9,000 cawangan di seluruh dunia.

“Inisiatif yang diperkenalkan membuatkan kami berbeza dengan pesaing dan itulah komitmen kami dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,”kata Ketua Pegawai Operasi Dommal Food Services Sdn Bhd, Ba U Shan Ting pemegang francais utama yang menguruskan Domino’s Pizza di Malaysia.

Latar Belakang Domino’s di Malaysia
Domino’s Pizza di Malaysia diasaskan Tom Monaghan pada September 1997 dan kini mempunyai 63 cawangan.

“Fokus utama pengembangan kami adalah di Semenanjung Malaysia dan 11 cawangan baru akan dibuka tidak lama lagi selaras mewujudkan 70 cawangan secara keseluruhan sehingga hujung tahun ini,”katanya apabila cawangan terbaru dirancang dibuka di Batu Pahat, Johor.

Menurutnya tumpuan utama perniagaan adalah sekitar Lembah Klang kerana kawasan itu mempunyai permintaan tinggi tetapi beberapa kawasan ibu negeri lain juga diberi keutamaan dengan membuka masing-masing empat cawangan di Johor Baharu dan Pulau Pinang, tiga di Negeri Sembilan dan Ipoh manakala dua di Melaka.

Dari segi pelaburan pengembangan cawangan baru, beliau berkata pada kebiasaan, syarikat akan melabur RM500,000 untuk sesebuah cawangan baru.

Jenis perkhidmatan
Domino’s Pizza menyediakan tiga jenis perkhidmatan utama seperti membuat tempahan untuk hidangan terus di restoran, penghantaran dan pesanan dalam talian.

“Kaedah itu disediakan selari perubahan gaya hidup dan permintaan pelanggan yang mahu makanan kegemaran mereka diperoleh dengan cara yang mudah, dan cepat,”katanya.

Menu dan keistimewaan
Bagi memastikan kepelbagaian piza sentiasa mendapat sambutan, menu akan dipelbagaikan setiap tahun.

“Pelanggan yang memilih Domino’s sebagai hidangan mereka berpeluang memilih empat jenis kerak (crust) seperti Classic Hand tossed, rangup, keju berlapis dan New York crust, dengan keistimewaan ini ia menjadikan kami berbeza dengan piza sedia ada,”katanya.

Beliau berkata, sepanjang tahun ini Domino’s telah menambah bilangan piza premium dan memperkenalkan dua jenis ayam sebagai hidangan tambahan.

Menurutnya, Domino’s menyediakan tiga jaminan tersendiri ke atas pesanan pelangan. Pertama, jaminan 30 minit penghantaran dan jika terdapat kelewatan, pelanggan akan diberi baucher piza biasa secara percuma.

Bagi memberi kelainan, Domino’s juga akan memastikan piza yang dihantar adalah panas ke pintu anda, jika tidak, pelanggan boleh membuat penukaran dan wang akan dikembalikan.

Shan Tin berkata, jaminan 15 minit juga disediakan ke atas pesanan untuk dibawa pulang. Jika pelanggan tidak mendapat piza dalam tempoh itu baucher percuma peribadi boleh ditebus untuk pesanan bawa pulang seterusnya.

Apa yang lebih menarik, harga yang ditawarkan Domino’s adalah tetap, tidak ada caj tambahan dikenakan untuk penghantaran mahupun yang tersembunyi.

“Sebagai peneraju dalam perkhidamatan penghantaran kami begitu menitik beratkan soal masa dan nilai wang mereka untuk mendapatkan produk kami, jadi dengan menyediakan jaminan dan baucher percuma, pelanggan akan berpuas hati dengan layanan kami,”katanya.

Sasaran Jualan
Menerusi penambahan cawangan dan sambutan pelanggan setakat ini, Shan Tin berkata, syarikat optimis pertumbuhan jualan akan berganda tahun ini.

“Pada ketika ini jualan kami berada pada landasan yang sewajarnya dan semakin menghampiri sasaran, jadi dengan sokongan pelanggan semua itu tidak mustahil berlaku,”katanya.

Katanya, salah satu penyumbang utama ke atas pertumbuhan jualan adalah pengenalan beberapa produk baru dan ternyata semua menu berjaya memikat selera pelanggan.

“Kami menjanjikan pengalaman baru buat penggemar pizza selaras falsafah dan kesungguhan untuk menawakan produk kelas satu yang berkualiti dan memberi lebih penekanan terhadap penghantaran sajian ke pintu rumah pelanggan.

“Ia juga menunjukkan komitmen Domino’s untuk memperkenalkan rangkaian piza berkualiti baik daripada segi rasa malah ramuannya,”katanya.

Katanya, pesanan yang disediakan secara dalam talian juga membuktikan Domino’s telah mendahului pasaran. Penggunaan kaedah digital itu bukan sahaja disambut baik pelanggan tetapi menunjukkan pencapaian menggunakan platform alam maya meneroka pasaran yang lebih luas.


INFO :

• Domino’s Pizza mendapat gelaran sebagai pakar penghantaran piza nombor satu di dunia. Syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu kini membangunkan Domino’s Pizza di lebih 65 pasaran antarabangsa dan mempunyai 9,000 cawangan di seluruh dunia.
• Dommal Food Services Sdn Bhd juga merupakan francaisi untuk rangkaian Domino’s Pizza di Singapura dan turut merancang menambah 11 cawangan baru di republik itu.
• Domino’s Pizza di Malaysia diasaskan Tom Monaghan pada September 1997 dan kini mempunyai 63 cawangan.
• Secara pecahan, 21 cawangan telah dibuka di Selangor, 26 di Kuala Lumpur, tiga di Negeri Sembilan, empat di Pulau Pinang, tiga di Ipoh, dua di Melaka, dan empat di Johor.
• Sasaran untuk membuka cawangan baru tahun ini akan mencecah 70 cawangan.
• Memberi jaminan keatas semua perkhidmatan dan jika berlaku kelewatan, baucher disediakan.






Kurma pelengkap hidangan berbuka puasa

Disunatkan makan sekurang-kurangnya sebiji, ikut sunnah nabi

Mukadimah
Keindahan Ramadan seolah-olah tidak lengkap tanpa buah tamar atau kurma sebagai hidangan wajib berbuka puasa. Tidak hairanlah, di mana saja kita pergi baik pasar raya besar mahu pun gerai di kaki lima, kurma adalah jualan wajib yang pasti mendapat sambutan sempena Ramadan.

Adalah menjadi kelaziman setiap kali berbuka, kita disunatkan makan sekurang-kurangnya sebiji kurma. Kehadirannya di kalangan pelbagai juadah yang dijual ketika berbuka membawa lebih keberkatan berbanding makanan lain. Martabat buah ini menjadi lebih tinggi di sisi Rasulullah apabila ianya menjadi juadah ketika baginda berbuka puasa.

Buah ini juga menjadi makanan paling popular di kalangan umat Islam di seluruh dunia terutama negara yang majoriti berpenduduk Islam.

Seiring peredaran masa, kurma juga telah dikomersil seperti buah-buahan lain dan pelbagai jenama dikeluarkan. Di negara kita, Kurma Yusuf Taiyoob antara yang popular di samping beberapa jenama terkenal lain seperti Sunsweet, Kurma Iran jenama Manisa, Kurma tangkai Mehr, dan Meera, dari Tunisia serta banyak lagi.

Bersempena bulan Ramadan ini, cerita produk kita kali ini membuat tinjauan tentang jenama kurma pilihan, khasiat dan kelebihan yang terdapat pada buah kesukaan ramai ini.

Pengenalan
Kurma dikenali juga sebagai tamar atau istilah saintifiknya, phoenix dactyloferal adalah sejenis tumbuhan yang mempunyai khasiat tinggi berbanding buah-buahan lain di seluruh dunia.

Asal usul kurma
Kurma menjadi makanan harian penduduk terutama di Timur Tengah untuk beribu-ribu tahun dahulu. Pokok kurma dipercayai berasal dari sekitar Teluk Parsi, dan telah ditanam sejak zaman zaman Mesopotamia ke prasejarah Mesir. Beberapa sumber menyatakan bahawa tumbuhan itu telah wujud seawal 4000 tahun sebelum masihi. Terdapat juga bukti arkaeologi penanaman kurma di Arab timur pada 6000 tahun sebelum masihi. Setelah itu kurma mula tersebar secara besar-besaran dan orang-orang Arab menyebar kurma ke Asia Selatan dan Tenggara, Afrika Utara, dan Sepanyol. Kurma juga telah diperkenalkan di Mexico dan California oleh orang Sepanyol pada 1765, sekitar Misi San Ignacio.

Sifat fizikal kurma
Pokok kurma adalah jenis palm seperti kelapa sawit sementara buahnya bertangkai seperti buah pinang. Buahnya berbentuk bujur-silinder, panjang antara tiga hingga tujuh sentimeter (cm). Apabila matang, warna buah berubah daripada merah ke kuning muda bergantung pada keadaan. Kurma mempunyai biji benih tunggal sepanjang dua hingga 2.5 cm dan ketebalan antara enam hingga lapan milimeter (mm). Kurma boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan utama iaitu lembut ('Barhee', 'Halawy', 'Khadrawy', 'Medjool'), semi-kering ('Dayri', 'Deglet Noor', 'Zahidi'), dan kering (Thoory'). Buah kurma boleh dimakan secara langsung, dalam keadaan kering ataupun segar.

Pokok kurma mengambil masa empat hingga ke tujuh tahun untuk berbuahPokok kurma matang dapat mengeluarkan 80-120 kilogram kurma setiap kali musim menuai. Setiap sikat tidak masak serentak. Untuk mendapatkan buah berkualiti sikat-sikat kurma haruslah nipis dan dimasukkan ke dalam beg atau ditutupi sebelum masak supaya buah yang lainnya membesar dan dilindungi daripada cuaca dan haiwan perosak seperti burung.


Di dunia ini terdapat ratusan jenis kurma, Di Arab Saudi terdapat sekitar 400 jenis, begitu juga di Tunisia, Iraq, Iran, Mesir dan California.

Antara jenis kurma yang terkenal dan paling diminati oleh adalah:
• Kurma Nabi -Hanya tumbuh di tanah Madinah (Saudi Arabia) dan inilah kurma kegemaran Nabi Muhammad S.A.W, Warna hitam, tekstur lembut, tidak manis dan cita rasanya hampir mirip kismis.
• Kurma Sekki-Ada dua warna, atas kekuning-kuningan dan sedikit coklat. Bahagian kuning lebih keras, manaka cokelat lebih empuk dan kenyal. Rasanya manis sedang.
• Kurma Barhi -Warna coklat cerah, manis sedang, tekstur lembut seperti durian, ada sedikit rasa caramel
• Kurma Kholas-Warna coklat terang keemasan mirip kurma barhi, tetapi mempunya rasa kopi. Tekstur empuk, rasa manis sedang.
• Kurma Khidri - Warna maron gelap lebih kering, kenyal, tidak terlalu manis. Kurma jenis ini paling banyak dikeluarkan di pasaran.
• Kurma Mactoumi- Warna sedikit hitam kemerahan, permukaan agak keriput, kenyal, rasa manis
• Kurma Sokari-Tekstur kenyal lembut tetapi ada juga jenis yang keras, paling disukai di Arab Saudi, sedikit kering dan manis.
• Kurma Silaj- Warna coklat kemerahan bentuk lonjong, tekstur lembut, rasa sederhana manis
• Kurma Majol- Warna coklat, sangat mani, lembut dan kenyal
• Kurma Monief-Warna coklat terang, tidak begitu besar, sederhana manis sedang dan lembut.

Khasiat Kurma
Buah kurma sangat kaya dengan zat galian dan vitamin. Antara zat galian dan vitamin yang terdapat dalam kurma ialah kalsium, zat besi, kalium, vitamin A, B, B1, B2, B3, vitamin C dan E. Selain itu, kurma juga mengandungi unsur bebas lemak kolesterol, asid amino triptofan, glukosa dan sukrosa.

Tips Memilih buah kurma
Apabila memilih kurma orang ramai disarankan mengutamakan faktor-faktor seperti:
Pilih kurma yang kulit luarnya kering dan isinya tebal.
Pilih kurma yang tua atau matang, tanda buah kurma matang, adalah isinya mudah dilepaskan daripada biji.
Pilih kurma yang bertekstur buahnya lunak namun ranum, seperti tekstur manisan buah basah.
Selaput buah kurma luar atau kulit tidak rosak. Tidak melekat apabila dipegang bagi memastikan kurma tidak mempunyai lebihan gula atau madu
Pilih kurma yang warnanya coklat-merah-kekuningan
Pilih yang berbentuk besar
Buah kurma dibungkus dengan kemas dan baik. bukan dalam longgokan kerana ianya terdedah kepada debu-debu, pasir yang menjejaskan kualiti buah kurma

Lain-lain kegunaan kurma
Biji benih kurma boleh dijadikan makanan haiwan.
Kurma juga boleh menghasilkan minyak yang sesuai untuk dijadikan sebagai sabun dan barang kemas.
Biji kurma yang dibakar rentung akan menjadi arang
Biji kurma yang dikisar dan digunakan sebagai pracampuran ke atas kopi
Daun matang boleh dijadikan tikar, skrin, bakul dan kipas.
Daun yang diproses pula boleh digunakan sebagai tongkat jalan, penyapu.
Umbut daripada pokok kurma juga boleh dijadikan
Pengeluar utama kurma dunia ialah Arab Saudi, Iraq, Iran, Mesir, Tunisia dan Algeria.











Tinjauan
Jenis kurma pilihan saya ..

1. NUR ZAFIRAH MOHD HASSAN
Kurma adalah makanan yang wajib saya beli apabila menyambut Ramadan. Saya suka kurma Yusuf Taiyoob kerana rasa dan harga yang ditawarkan berpatutan.


2. NOR MAISARA SHAHIRAH MOHD BISTARI

Saya tidak begitu mengemari kurma tetapi akan makan terutama waktu berbuka puasa. Saya kurang membeli arif tentang jenama yang selalu dibeli tetapi saya akan pastikan buah kurma yang lembut, rasanya manis dan tidak melekit.

3. MUHAMMAD AMIRUL HAKIM MD RASDI
Bagi saya jus kurma sedap, bagaimanapun saya juga sukakan buah kurma kerana apabila ramai orang menjual kurma pasti hari raya dah dekat, jadi kurma akan membuatkan saya bersemangat untuk berpuasa. Tentang jenama, saya tidak kisah asalkan buah segar dan semestinya manis.

4. NOR NAZIFA SYAHIDA ADNA
Saya suka makan kurma sebab mak saya kata kurma berkahsiat. Mak selalu beli macam-macam jenama seperti Yusuf Taiyoob, Sunsweet, kurma Iran dan lain-lain. Kadang-kadang mak tidak kisah pasal jenama janji buah kurma tu lembut dan tidak melekat di gigi.

5. MUHAMMAD FARIS MOHD HASSAN
Saya tidak pasti pasal jenama tetapi saya suka makan kurma. Pada kebiasaannya, kurma pilihan saya adalah lembut. Kurma jenama Meera dari Tunisia pernah saya beli dan ternyata rasanya tidak mengecewakan.


Thursday, August 11, 2011

sibuk menjelang raya

alhamdulillah.. kerja2 akan setel tak lama lagi... sibuj giler la time ni..
Published with Blogger-droid v1.7.4

Tuesday, August 09, 2011

Published with Blogger-droid v1.6.9

Habib Jewels

Published with Blogger-droid v1.6.9

Sunday, August 07, 2011

Ramadan 2011



sekejap je.. kini ramadan 2011 menjelma pula.. rasa mcm baru je puasa.Apa pn aku rasa hepi sgt puasa kali ni.. entah la... mungkin kerana suasana kot.. kalau tahun lepas.. si kecik masih kecik dan kerap bgun malam..so mengantuk sgt2.. tp kali ni dia dh semakin membesar dan alhamdulillah..lg 1.. my daughter ni x mcm budak2 lain bila bgun tido.. perkara pertama yg dia akan buat adalah senyum.... comey...

hari ini genap seminggu berpuasa.seperti biasa tahun ni tak pergi pn terawaih ... bkn apa..sapa nk jaga si kecik.. ha.. ha.. alasan jer tu.. wuakkk...

kali ini nk kongsikan pasal baca al-quran.. pd bulan ramadan menjadi kelaziman aku utk baca ayat2 suci selepas solat subuh... ari ini sentap sungguh dgn diri sendiri... hari2 aku boleh baca paper dgn lancar tp dek kerana jrg2 baca.. ayat lazim biasa pn aku tergagap2.. bukan x tahu.. ini kes lama x baca... beristifar pjng td.. tiba2 aku mula fikir... sb selalu nk cepat nk tunjuk teror.. terus buka2 al-quran baca surah yasin... sajadah, al kahfi..tiba2 surah2 yg dh lama aku tinggalkan tu tergagap2.. malu dgn diri sendiri... Ya Allah.. takbur nyer diri ini... nasib baik masih ade masa.. mulai saat ini dgn hari yg masih bersisa.. aku berazam nk ulang2 baca surah2 dr quran kecil tu.. rupanya dh berkarat... masyaAllah...



juga nk kongsikan ttng si kecil.. dgn umurnya baru sahaja 2 1/2 thun tu.. dia dh kenal huruf2 A,B,C.. terharu rasanya bila Tgh jln2.. dia ckp.. mama tgok tu A..atau b.. Baca plat num keta orng.. lucukan tp itulah permulaan yg sungguh membanggakan bg seorng ibu apabila minda si kecil sudah mula mengenal huruf .. syabas my dear .. keep it up...

KFC Marketing cari pasaran baru

Lantik Chef Wan sebagai duta untuk luaskan promosi



Bahagian Jualan dan Pemasaran KFC Holdings (Malaysia) KFC Marketing Sdn Bhd menyasarkan jualan tahun ini akan mencecah RM280 juta lebih tinggi berbanding RM250 juta tahun lepas.

Pengarah Urusannya, Foo Peng Peng berkata, sebahagian besar jualan diperoleh daripada pasaran domestik manakala selebihnya pasaran eksport ke Filipina, Hong Kong, Brunei dan Bangladesh.

“Tahun ini kami optimis jualan eksport bertambah kerana kami dalam perancangan meneroka pasaran Indonesia di samping melantik Chef Wan sebagai duta jenama Ayamas untuk membantu mempromosikan jenama dan produk yang diedarkan secara eksklusif oleh KFC Marketing,”katanya selepas meraikan perlantikan itu di Kuala Lumpur.

KFC Marketing adalah anak syarikat milik penuh KFC Holdings yang bertanggungjawab memasarakan produk keluaran KFC seperti Ayamas, Simplot, Bakers’ Street, Divella, Zippie, Leggo’s Nur Kasih, Pokka, Yeo’s, 7 Rings, Sun Up, dan jenama berkaitan penjagaan peribadi seperti Secret Garden, Fresh dan Pure.

“Wawasan kami adalah untuk muncul sebagai gedung perdagangan terkemuka bagi semua barangan pengguna dengan memiliki rangkaian luas dalam dan luar negara,”katanya.

Menurutnya, setakat ini produk makanan sejuk beku telah dibekalkan kepada 5,000 kumpulan peniaga makanala produk kering salai dibekalkan kepada 14,000 pengusaha makanan.

Dari segi pecahan sumbangan perolehan, Foo berkata, pasaran luar negara kini menyumbang 10 hingga 15 peratus manakala selebihnya diraih menerusi jualan eksport.

Mengulas perlantikan Chef Wan sebagai duta, beliau berkata, kaedah itu adalah strategi syarikat dalam memprosikan barangan secara lebih dekat kepada orang ramai.

Softlan melancarkan Aromatherapy ‘Relax’ dan ‘Passion’ untuk keharuman pakaian berpanjangan

SENSASI HARUMAN BARU SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI

Inginkan haruman pakaian tahan lama bagi menyambut Hari Raya yang menjelang tiba? Softlan, pelembut fabrik #1 di Malaysia, baru-baru ini memperkenalkan pelembut fabrik terbaru Softlan Aromatherapy Relax dan Aromatherapy Passion yang inovatif untuk sensasi haruman yang berpanjangan pada pakaian.

Kedua-dua Softlan Aromatherapy Relax dan Softlan Aromatherapy Passion mengandungi campuran minyak-minyak pati yang mampu memberikan haruman berkekalan pada pakaian. Pekatan wangian yang dipertingkatkan dalam Softlan Aromatherapy merupakan tambahan kepada teknologi ‘kapsul haruman mikro’ jenama tersebut, yang melekat pada serat-serat pakaian bagi membebaskan haruman apabila disentuh atau dirangsang oleh pergerakan si pemakai.

Chris Pikounis, Pengarah Pemasaran Colgate-Palmolive Marketing Sdn Bhd berkata, “Softlan memahami bahawa haruman yang berpanjangan adalah ciri utama yang diingini oleh pengguna apabila memilih pelembut fabrik. Justeru itu, kami dengan bangganya memperkenalkan Softlan Aromatherapy khas untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri, di mana para pengguna kami boleh mencuba sendiri rangkaian produk baru kami ini untuk membuatkan baju Raya anda berbau lebih harum.”

“Selain daripada haruman yang berpanjangan, Softlan Aromatherapy akan terus menawarkan kualiti kelembutan Softlan yang sama dan dipercayai. Kini, anda benar-benar boleh menghidu, menyentuh dan merasai haruman & kelembutan jenama pelembut fabrik no. 1 di Malaysia pada pakaian anda,” tambah En. Pikounis.

Memiliki pakaian yang lembut, selesa dan harum adalah penting khususnya sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri. Di musim perayaan yang sering dikaitkan dengan pakaian serba baru, jamuan rumah terbuka bersama sanak saudara dan taulan, semua menginginkan penampilan mereka yang terbaik.

Shamsiah Ali, ibu kepada tiga orang cahaya mata berusia 43 tahun, berkata, “Suasana rumah kami pada Hari Raya akan menjadi meriah apabila kami menerima kunjungan daripada ahli-ahli keluarga, saudara dan rakan. Oleh itu, pakaian yang selesa dan berbau harum adalah penting untuk kami kerana kami akan bertemu dan menyambut kedatangan tetamu sepanjang hari.”

“Saya memang gemar memenuhi jemputan rumah terbuka dan berpakaian cantik! Saya inginkan agar pakaian saya berbau lebih harum terutamanya ketika saya bertegur sapa dan berpelukan dengan kawan-kawan,” ujar Hayatul Farah, seorang pembantu pentadbir berusia 21 tahun.

Para pengguna boleh menikmati haruman berpanjangan Softlan Aromatherapy Relax dan Passion pada Hari Raya Aidilfitri ini. Kedua-dua varian produk tersebut boleh didapati di kedai-kedai runcit utama di seluruh negara.

HNZ komersilkan kit urus jenazah



Bantu orang ramai mempercepatkan pengebumian

Bertitik tolak daripada kesedaran dan tanggunghjawab sesama muslim untuk memudahkan pengurusan jenazah, HNZ Industries perusahaan yang dibangunkan tiga sekawan memperkenalkan kit pengurusan jenazah Ar Raudah, satu-satunya produk lengkap dalam menyempurnakan fardu kifayah bagi umat Islam.

Pengarah Operasi Zon Tengahnya, Zul Atfi Hasan berkata, kit pengurusan jenazah itu disediakan untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak lengkap bersama kain kapan, kain kapas, sabun taharah, air mawar, akar sintok, sarung tangan dan lain-lain yang menepati piawaian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurutnya, untuk peringkat pengenalan, syarikat menyasarkan produk ini akan dijual sebanyak 7,000 kit sehingga hujung tahun ini.

“Kami memasarkan produk ini melalui pengedar seramai lapan orang yang telah menjalankan pemasaran sekitar Lembah Klang, Kelantan, dan Terengganu,”katanya selepas majlis pelancaran produk itu di Shah Alam.

Beliau berkata, Ar Raudah Kit diperkenalkan untuk pasaran percubaan sekitar Mei 2011, dan pengedaran produknya telah mencecah lebih 3,000 kit.

“Kami sedang merangka strategi untuk meneroka peluang pemasaran baru seperti mengadakan usahasama bersama Lembaga Tabung Haji (TH), Pusat serenti, rumah jagaan warga emas, di samping pasaran runcit utama kami untuk edaran ke masjid surau dan hospital di seluruh negara,”katanya.

Katanya, orang ramai yang berminat untuk menjadi pengedar boleh membeli 50 kit dalam satu masa atau menghubungi syarikat yang berpangkalan di Kg Melayu, Ampang bagi operasi di Lembah Klang, beribu pejabat di Kota Bharu, Kelantan dan kilang di Tumpat.

“Kit ini dijual dengan harga pasaran runcit bernilai RM150; Maklumat lanjut tentang produk ini boleh didapati dengan melayari www.ar-raudahkit.com atau laman social FB dengan nama Ar Raudahkit,”katanya.

Sebagai perancangan masa depan, Zul berkata, syarikat akan menggerakkan lagi medan pemasaran untuk membekalkan produk ini kepada kedutaan yang kini sedang dalam rundingan.

Thursday, August 04, 2011

ANP perkenal set asas urus uri

Jual pada harga serendah RM35



Sebagai penghormatan kepada anggota manusia terutama uri selepas bersalin, Syarikat yang dikendalikan Bumiputera, ANP solutions memperkenalkan Grandma Secret-set asas pengurusan uri yang mudah dan ringkas serendah RM35.

Pengarah Urusannya, Ade Azreena Mahadi berkata, set itu baru sahaja dilancarkan dua minggu yang lalu dan kini diedarkan menerusi pengedar dengan pembelian 50 kotak dalam satu-satu masa.

“Produk kami masih lagi dalam peringkat pengenalan, jadi kami mengalu-alukan sesiapa yang berminat untuk menjadi pengedar. Pada ketika ini, set ini dijual melalui kedai atas talian dan butik ibu dan anak seperti MyPermatahati.com, Lunatots, Butik mengandung, Pusat Perkhidmatan ibu dan anak Qaseh Bonda, dan D’Baby Zone,”katanya selepas melancarkan produk itu di Shah Alam baru-baru ini.

Menurutnya, produk ini disasarkan kepada golongan muda terutama yang baru menimang cahaya mata tanpa mengharapkan proses menanam uri diserahkan kepada bidan semata-mata.

“Kami ingin memudahkan proses membersih dan menanam uri. Dengan adanya produk ini, pengguna tidak perlu lagi anda perlu bergegas ke kedai hanya kerana untuk membeli barangan menanam uri”,katanya.

Katanya, sejak diperkenalkan, 500 kotak produk telah diedarkan dan setakat ini permintaan semakin menunjukkan peningkatan.

“Saya optimis pemasaran produk akan lebih bertambah pada masa hadapan kerana syarikat kini menggiatkan usaha menyertai pelbagai ekspo dan pameran yang berkaitan barangan ibu dan bayi sebagai medan pemasaran agar maklumat tentang produk ini boleh disampaikan secara terus kepada pengguna,”katanya.

Ade berkata, idea penghasilan produk itu lahir daripada pengalaman bersalin yang kini mempunyai tiga anak.

“Saya melihat produk seperti ini menjadi keperluan bagi setiap kelahiran, maka dengan menggabungkan eleman tradisional dan inovasi, lahirlah produk mudah diguna dan paling penting boleh menyempurnakan ibadah terutama masyarakat Islam,”katanya.

Beliau yang mempunyai 15 tahun pengalaman menguruskan perniagaan berkata, set lengkap Grandma Secret mengandungi bahan utama seperti garam, asam, bekas tanah liat bertutup (untuk uri), kain putih, dan cangkul.

“Semua keperluan asas itu sudah memadai dan terpulang kepada pengguna jika difikirkan perlu ada penambahan bahan lain mengikut citarasa dan budaya masing-masing,”katanya.