Saturday, October 08, 2011

Teraju akan terus perkasakan pembangunan Bumiputera

Langkah kerajaan memastikan kebajikan golongan Bumiputera tidak terabai

Mukadimah

Sebagai komitmen untuk terus memperkasakan agenda pembangunan Bumiputera, kerajaan telah menubuhan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) sebagai langkah untuk memastikan perancangan kerajaan dilaksanakan dengan berkesan

Pendekatan yang diambil Teraju adalah menekanan terhadap konsep kerjasama dengan pelbagai agensi lain. Matlamat Teraju adalah sebagai penyedia kepada pelan termasuk mencari jawapan bagi persoalan yang berkaitan faktor yang menghalang golongan Bumiputera daripada menyertai projek–projek mega serta langkah yang perlu diambil bagi memastikan penyertaan Bumiputera yang lebih kukuh serta mampan. Ikuti garapan dan butiran yang disediakan wartawan SALWANI MD ZAIN melalui temubual bersama Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Husni Salleh tentang perkembangan dan perjalanan Teraju sejak ditubuhkan.

SH: Sejak ditubuhkan apa perkembangan yang telah dijalankan Teraju?

Husni: Sejak penubuhan, beberapa aspek telah mula dilaksanakan pertama sekali makmal pembangunan ekonomi Bumiputera pada 21 Mac 2011. Makmal itu berupaya mengenalpasti faktor-faktor yang merumitkan penyertaan golongan Bumiputera di dalam projek permulaan (EPP), serta langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengukuhkan penyertaan Bumiputera dalam EPP.

Ia akan melibatkan perwakilan daripada badan-badan kerajaan dan institusi berkaitan, persatuan industri dan sektor swasta yang releven kepada sembilan sektor Aktiviti Ekonomi Utama Nasional (NKEA). Makmal ini juga akan membantu mengenalpasti inisitaif-inisiatif secara terperinci serta membuat cadangan polisi. Sekarang kami telah mengenalpasti lebih kurang 53 inisiatif untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera di dalam EPP.

Kedua, diwujudkan Program Teras Prosper. Baget sejumlah RM30 juta telah disalurkan kepada Permodalan Ushawan Nasional Berhad (PUNB) untuk menjalankan program Teras Prosper. Program ini bertujuan untuk menambahbaik bidang peruncitan serta memperkukuhkan penyertaan Bumiputera. 10 cawangan perkhidmatan pembaikan kereta telah diluluskan pada bulan lalu.

Yang ketiga, Program Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berprestasi tinggi (teras) telah dilancarkan pada 20 julai 2011. Program itu bertujuan membangun generasi usahawan Bumiputera bertaraf dunia dalam 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA). Keadaan itu membolehkan PKS meningkatkan kapasiti, mempercepatkan pertumbuhan dan bersaing di pasaran terbuka tanpa perlu bergantung kepada kontrak Kerajaan. Kumpulan pertama 100 PKS Bumiputera yang layak, akan diumumkan pada penghujung Oktober ini.

Penyediaan dana mudahcara diumumkan pada 26 Ogos lalu. Dana mudah cara ini berjumlah RM2 bilion hasil kerjasama Teraju dengan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS). Dana ini untuk kegunaan pelbagai inisiatif pembiayaan swasta syarikat Bumiputera yang berkelayakkan.

Pengagihan projek pembinaan transit aliran berkapasiti tinggi/ Transit Rapid Massa (MRT) untuk bumiputera diumumkan pada 26 Ogos. Usaha Teraju telah berjaya memperolehi pengagihan projek MRT untuk syarikat Bumiputera bernilai RM8 bilion bagi jajaran Sungai Buloh ke Kajang.

Seterusnya, pelancaran dokumen program transformasi bumiputera (BTP) bakal diadakan pada 31 Oktober 2011 nanti. Program ini adalah sebahagian daripada pelan jangka panjang untuk menyusun atur strategi baru yang akan membolehkan penyertaan golongan Bumiputera dalam transformasi ekonomi negara, dengan lebih saksama. Salah satu strategi itu adalah penubuhan satu yayasan untuk pendidikan Bumiputera, yang bakal diumumkan pada penghujung Oktober.

Teraju juga akan terlibat secara langsung dalam perancangan untuk menubuhkan pusat sehenti pembangunan usahawan di setiap negeri /serantau. Pusat itu bakal ditubuhkan di setiap koridor utama meliputi Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Projek Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Wilayah Pembangunan Iskandar (Iskandar), Koridor Tenaga boleh diperbaharui Sarawak (SCORE) dan Koridor Pembangunan Sabah (SDC).

Teraju juga akan memberi insentif berbentuk ekuiti bagi meningkatkan prestasi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan. Insentif berbentuk ekuiti lima peratus akan diberi kepada individu daripada dalaman atau luar syarikat, untuk membangunkan syarikat tersebut.

SH: Fungsi utama Teraju juga difahamkan adalah untuk membantu PKS, jadi bagaimana Teraju berperanan membantu golongan itu?

Husni: Peranan utama Teraju dalam PKS adalah menyelaras agensi-agensi kerajaan dan sumber daripada agensi berkenaan untuk membantu penyertaan golongan Bumiputera dalam ekonomi. Teraju juga dalam masa yang sama akan bekerjasama rapat dengan agensi-agensi terlibat untuk mengenalpasti dan menjalankan inisiatif-inisiatif tertentu untuk kumpulan sasarnya. Sebagai contoh, Teraju telah bekerjasama dengan Perbadanan Usahawan Nasioanal Berhad (PUNB) untuk program Teras Prosper; Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME Corp) untuk program Teras manakala Majlis Amanah Rakyat (Mara) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk pelbagai program lain.

SH: Sebagai penyelaras kepada PKS, apa permasalahan PKS yang telah dikenal pasti?

Husni: Secara keseluruhan, terdapat ramai usahawan Bumiputera yang mempunyai kebolehan dan potensi untuk bergerak jauh. Mereka mempunyai kebolehan dan kepakaran, daya saing, kemahuan untuk berjaya serta kesanggupan untuk bekerja keras. Namun, antara permasalahan ketara yang timbul dikalangan mereka adalah modal dan aliran kewangan, pengurusan kewangan; kepakaran termasuk pemasaran yang efektif serta strategi korporat; terlalu mengharapkan bantuan / kontrak kerajaan; kurang kreativiti dalam meningkatkan tahap perniagaan, wujud perasaan iri hati serta kurang bekerjasama antara satu sama lain.

SH: Justeru, apakah strategi Teraju dalam menangani masalah itu agar syarikat Bumiputera dibangunkan sebagai sebuah syarikat berkelas dunia?

Husni: Kami akan menyediakan beberapa instrument untuk membangunkan syarikat itu dengan melaksanakan pembiayaan, pembangunan modal insan, mengembangkan inovasi, memperhebatkan pembangunan produk dari segi penyelidikan dan pembangunan serta pengembangan pasaran. Teraju juga akan menjalin kerjasama secara lebih rapat dengan pelbagai agensi untuk mengenalpasti dan menjalankan inisiatif-inisiatif tertentu untuk kumpulan sasarnya.

SH: Jadi bagaimana maklum balas daripada PKS ketika ini?

Husni: Setakat ini banyak PKS telah menyuarakan sokongan terhadap Teraju. Kami sering mengadakan perbincangan bukan sahaja dengan PKS Bumiputera, tetapi dengan agensi-agensi yang terlibat secara langsung dengan PKS untuk mengenalpasti permasaalahan serta langkah-langkah untuk membantu PKS. Walaubagaimanapun, Teraju mengharapkan lebih banyak PKS yang berdaya saing tampil ke hadapan untuk menyertai program Teras yang baru sahaja dilancarkan pada penghujung bulan Julai lalu. Teras akan membolehkan PKS meningkatkan kapasiti, mempercepatkan pertumbuhan dan bersaing di pasaran terbuka tanpa perlu bergantung kepada kontrak kerajaan.

SH: Pada bulan Julai, Teraju telah melancarkan Program Teras untuk Enterpris Kecil Sederhana (EKS) Bumiputera berprestasi tinggi. Apakah objektif, sasaran dan bagaimana program itu dapat membantu usahawan Bumiputera mencapai sasaran yang diharapkan?

Husni: Teras adalah Program Enterpris Kecil Sederhana (EKS) Bumiputera berprestasi tinggi bertujuan membangunkan generasi baru usahawan Bumiputera bertaraf global merangkumi ke semua 12 NKEA. Matlamat utamanya adalah meningkatkan penyertaan EKS Bumiputera dalam ekonomi dengan membolehkan peningkatan kapasiti, mempercepatkan pertumbuhan dan bersaing di pasaran terbuka tanpa bergantung kepada kontrak kerajaan. Teras memberi penekanan dalam membangunkan EKS Bumiputera berkualiti yang boleh merangsang peluang perniagaan bukan hanya untuk mereka tetapi juga EKS Bumiputera lain.

Program ini diharap dapat mencapai sasaran dengan menyumbang 20 peratus kepada keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2020. Teras juga akan memainkan peranan utama dalam Agenda Pembangunan Bumiputera. Sebagai permulaan, sejumlah 1,100 EKS Bumiputera yang merangkumi 100 EKS Bumiputera sederhana dan 100 syarikat kecil/mikro teratas akan dikenalpasti berdasarkan kriteria yang jelas dan proses yang terbuka dan telus. Pemilihan EKS Bumiputera adalah berdasarkan kriteria antaranya memerlukan mereka untuk tidak hanya bergantung dengan kontrak kerajaan, sebaiknya memiliki penarafan minima tiga bintang, memiliki penarafan kredit yang baik yang dinilai oleh Biro Kredit Malaysia (Credit Bureau Malaysia) dan mesti menunjukan potensi untuk menjadi perniagaan yang menguntungkan dan boleh berkembang.

Selain itu, setiap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlulah meningkatkan kapasiti dan mempercepatkan pertumbuhan agar boleh bersaing di ekonomi arus perdana. Pemilihan ke dalam program tersebut akan dibuat oleh lembaga pemilihan yang dipengerusikan oleh Teraju. Untuk memastikan ketelusan dan integriti proses pemilihan, sebuah firma audit bebas akan dilantik untuk mengawas keseluruhan proses pemilihan. Kriteria Teras mencerminkan prinsip Model Ekonomi Baru iaitu mesra pasaran, berlandaskan merit, berdasarkan keperluan serta ketelusan. Untuk memastikan bahawa kesemua PKS ini dapat berdikari, kriteria ‘exit’ telah dikenalpasti yang memberi penekanan terhadap syarikat yang mesti mencapai sasaran dan menjadi syarikat besar dalam masa lima tahun atau sekiranya gagal mereka akan digugurkan daripada program.

SH: Baru-baru ini Perdana Menteri, telah mengumumkan dana mudahcara sejumlah RM2 bilion yang diperkenalkan hasil usahasama Teraju dan Ukas. Apa tujuan serta kenapa dana ini disalurkan

Husni: Pengwujudan dana mudah cara adalah untuk kegunaan inisiatif-inisiatif EPP bagi syarikat-syarikat bumiputera yang berkelayakan mengikut syarat yang ditetapkan. Dengan wujudnya dana ini, adalah diharapkan bahawa isu pembiayaan yang menjadi salah satu kekangan syarikat-syarikat Bumiputera, dapat diringankan. Ia juga bagi memudahkan pelaburan sektor swasta di dalam projek yang mempunyai nilai strategik yang tinggi. Dengan adanya bantuan ini, ia akan menarik minat sektor swasta untuk memberi pembiayaan serta mengambil risiko tertentu, manakala pembiayaan daripada kerajaan dapat mempertingkatkan daya maju projek tersebut.

SH: Bagaimana dana ini digunakan untuk memajukan Agenda Pembangunan Bumiputera;

Husni: Dana ini akan menyediakan sokongan kepada Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) Bumiputera dan akan menjadi insentif tambahan bagi syarikat-syarikat yang memohon untuk mendapatkan bantuan di bawah program Teras. Dana berkenaan telah diwujudkan sebagai “tipping point” sesuatu projek, dengan menyediakan pembiayaan bagi infrastruktur, agar PFI Bumiputera dapat memberi lebih tumpuan kepada pelaksanaan projek. Ia juga akan menjadi pemangkin kepada syarikat Bumiputera untuk menjalankan projek-projek besar yang mempunyai tahap kelayakan minima nilai pelaburan projek berjumlah RM20 juta.

Adalah diharapkan impak jumlah pelaburan ini akan juga membawa manfaat kepada syarikat permulaan serta enterpris mikro Bumiputera, untuk membolehkan mereka memperbaiki kedudukan di dalam rantaian nilai. Di anggarkan dana ini mampu menjana lebih RM10 bilion pelaburan swasta.

SH: Ada pihak yang berpendapat bahawa pencapaian Teraju terlalu perlahan jika dibandingkan dengan inisiatif-inisiatif lain yang diperkenalkan contohnya seperti Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu). Jadi sejauh mana pendapat ini benar?

Husni: Isu “kelajuan” tidak seharusnya dikaitkan dengan kedudukan Teraju sebagai Sekretariat kepada Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB). Seperti yang telah dijelaskan, peranan utama Teraju adalah untuk mencapai hasil yang pantas dan efektif, meningkatkan keberkesanan Institusi, menguruskan pelbagai program pembangunan ekonomi Bumiputera, memberi sokongan aktif dan menilai keberkesanan program serta inisiatif yang dilaksanakan. Justeru ingin saya jelaskan di sini bahawa, Teraju bukanlah sekadar urusetia atau sekretariat kepada MTAB bahkan bertindak sebagai unit yang membuat perancangan untuk memacu ekonomi bumiputera di dalam era baru.

Teraju juga diberi mandat untuk mengemukakan cadangan pembaharuan yang perlu bagi meningkatkan tahap keberkesanan program serta inisiatif pembangunan Bumiputera. Kedudukan Teraju sebagai urusetia atau sekretariat MTAB akan memudahkan isu-isu pentadbiran, penyimpanan rekod dan hubungan di antara ahli-ahli MTAB dan Teraju.

Dari aspek perbandingan Teraju dengan Unit Pemandu, saya berpendapat tindakan ini tidak wajar dilakukan. Pemandu telah ditubuhkan lebih dua tahun lalu, manakala Teraju pula adalah sebuah unit yang baru berusia lima bulan.

Analogi yang saya ingin tekankan disini adalah Teraju, tidak mungkin kita akan terus mencadangkan resolusi yang pantas. Kita akan meneliti setiap resolusi, cadangan serta inisiatif untuk memastikan keputusan yang pantas serta efektif. Namun, tahap “kelajuan” ini mestilah munasabah kita tidak akan terus kepada resolusi untuk mencapai matlamat yang dikenalpasti.

Untuk menilai kelajuan di antara unit Pemandu dan Teraju dalam jangka masa yang singkat adalah sesuatu penilaian yang tidak munasabah lebih-lebih lagi membandingkan keberkesanan kedua-dua unit yang mempunyai jarak usia yang besar, juga tidak tidak sepatutnya timbul.

Munchy’s giat cipta nama

Lebih banyak pasaran luar Negara akan diteroka

Pasti ramai yang sedia maklum tentang penyebaran pesanan ringkas (SMS) pada awal bulan ini yang mengatakan salah sebuah pengeluar biskut terkenal keluaran tempatan iaitu Munchy telah mencampurkan bahan tidak halal semasa memproses biskut. Ternyata penyebaran SMS itu sama sekali tidak benar dan perkara itu dijelaskan secara terperinci oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Chuan Kok sebagai palsu.

Menurutnya, semua produk keluaran Munchy mengikut peraturan dan mendapat status halal menerusi sijil dan sentiasa berada di bawah pemantauan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Pengesahan sijil halal kami sentiasa di pantau dan semua produk kami mempunyai sijil halal yang diiktiraf Jakim, dengan tempoh sah sehingga 31 Julai 2013,”katanya sebagai maklum balas terhadap tomohan itu.

Penubuhan Munchy

Bercerita tentang penubuhan Munchy Tan berkata, perniagaan itu dibina sebagai perusahaan keluarga bermula pada 1991 di Batu Pahat Johor. Pada awal perniagaan, perusahaan itu dibangunkan menggunakan mesin pembuatan wafer batang terpakai dengan harga RM80,000.

Pada 1993, produk pertama iaitu wafer yang dinamakan Yosss dikeluarkan. Bertitik tolak daripada itu, jenama Munchy semakin berkembang dan mendominasi pasaran biskut negara. Kini bagi memudahkan urusan pemasaran dua entiti baru diwujudkan iaitu Munchy Food Industries Sdn Bhd (MFI) dan MunchWorld Marketing Sdn Bhd (MW)sebagai cabang pemasaran jenama.

“Pada awal pembabitan dahulu, aliran jualan kami agak perlahan. Kami hanya berjaya meraih jualan sebanyak RM3 juta dan dengan sejumlah wang itulah kami agihkan untuk tiga bahagian seperti pemasaran, kewangan dan sumber manusia, jadi perjalanan urusniaaga agak mencabar pada waktu itu,”katanya.

Menurutnya, selepas lima tahun membangun, akhirnya urusniaga Munchy berada pada landasan yang baik.

“Perniagaan yang hanya diusahakan secara berskala kecil itu akhirnya mula berorentasi sebagai perusahaan yang lebih besar dan kini mencul sebagai jenama nombor satu keluaran Malaysia,”katanya.

Katanya, kilang pembuatan di Batu Pahat ketika ini mempunyai enam bidang kerja utama; dua untuk penghasilan wafer manakala empat untuk biskut di samping tujuh unit mesin wafer jenis batang. Setiap bulan sebanyak 4,000 tan produk dikeluarkan.

70 jenis rangkaian produk dipasarkan

Tan berkata, setakat ini Munchy telah mengeluarkan 70 jenis rangkaian produk yang terdiri daripada biskut, wafer, dan biskut kering bersama lima jenama seperti Muzic (wafer), Lexus (biskut jenis premium sandwich) Krunch (kesihatan), Captain Munch (rangkaian biskut untuk kanak-kanak) dan Munchy’s.

Katanya, pasaran utama bagi Munchy ketika ini adalah Asia Tenggara selain telah mencipta nama di 60 negara seperti Hong Kong, Taiwan, Japan, Singapura, Negara Timur Tengah, dan Amerika Syarikat.

Asia Tenggara pasaran yang berprospek cerah

“Pada masa akan datang, kami ramalkan Asia Tenggra akan kekal sebagai pasaran terbesar selepas wujudnya perjanjian bebas perdagangan yang diamalkan oleh rantau ini”katanya.

Katanya, sejajar dengan usaha itu, sekurang-kurangnya sebuah pejabat akan dibuka di negara berkenaan sebagai memudahkan usaha pengembagan walaupun proses jualan kini diedarkan menerusi agen dan pengedar.

Pada sebelum ini syarikat telah membuka pejabat di Singapura, Thailand, Indonesia, dan Vietnam.

“Walaupun telah meneroka pasaran luar, jualan di peringkat domestik masih menguasai pasaran dan menyumbang 20 hingga 30 peratus kepada perolehan tahunan, manakala selebihnya dijana oleh eksport yang sebahagian besarnya dicapai melalui Jepun, Singapura, Indonesia dan lain-lain.

Bakal buka kilang pembuatan di China

Beliau berkata Munchy juga bakal mengeluarkan produk menerusi pembukaan kilang pembuatan di China tidak lama lagi.

“Pembukaan kilang pembuatan di sana akan membantu dari segi pemasaran kerana seperti yang diketahui China mempunyai pasaran yang besar, jika negara itu berjaya diterokai sepenuhnya maka tidak mustahil Munchy akan muncul sebagai nama besar di dunia seperti yang kami impikan,”katanya.