Kilauan emas dalam akuarium

Sekilas Pandang

Suatu ketika dahulu apabila membincangkan soal ikan hiasan, ramai yang berpendapat pemeliharaannya adalah hanya sekadar hobi kerana struktur, bentuk, jenis dan rupa haiwan itu yang berjaya menarik perhatian. Kini ramai yang mulai sedar ikan hiasan bukan sekadar hobi tetapi boleh dimanfaatkan sebagai pelaburan yang mampu menjana pendapatan yang mencecah ribuan ringgit.



Industri ikan hiasan pada hari ini mempunyai masa depan yang cerah dan mempunyai daya saing yang tinggi di pasaran global. Penternakan haiwan itu mampu memberi pulangan matawang asing kepada negara kerana hampir 95 peratus daripada pengeluaran ikan hiasan adalah untuk dieksport manakala selebihnya untuk pasaran domestik.

Ikan hiasan adalah satu komoditi utama yang telah disenaraikan dalam Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN 3) selain udang harimau, tilapia merah dan siakap.

Kadar purata peningkatan pengeluaran ikan hiasan secara tahunan adalah 30.3 peratus sejak 1991. Pengeluaran ikan hiasan negara bermula 2001 pula adalah berjumlah sekitar 338 juta ekor yang bernilai RM 81.03 juta.



Di Malaysia, Johor adalah pengeluar utama ikan hiasan dengan jumlah 68.16 juta ekor yang bernilai RM14.18 juta atau 21.3 peratus dan diikuti Perak dan Selangor.

Saiz dagangan Ikan Hiasan di pasaran dunia
Saiz perdagangan ikan hiasan dan produk berkaitan dalam pasaran global dianggarkan mencecah RM27 bilion (AS$7.2 billion).



Negara pengimport utama ialah Amerika Syarikat (25.25 peratus), Negara-negara Kesatuan Eropah terutamanya Jerman (9.23 peratus), Perancis (8.41peratus), United Kingdom (8.25 peratus) dan Jepun (11.61 peratus).

Negara-negara Asia pula lebih dikenali sebagai negara pengeluar utama kepada pasaran ini. Asia setakat ini mewakili 59 peratus pasaran ikan hiasan dunia apabila Singapura muncul sebagai negara pasaran global terbesar (22.7 peratus) dan diikuti Malaysia (7.87 peratus).

Ciri-ciri ikan hiasan

Kebanyakkan ikan hiasan mempunyai sisik nipis berlendir yang berfungsi sebagai pelindung daripada bakteria. Kulit ikan mengandungi ‘chromatophoraes’ iaitu pigmen sel-sel yang memberi warna-warna tertentu kepada ikan. Ciri-ciri istimewa ikan hiasan boleh dilihat pada warna, sisik, saiz, bentuk badan, sirip, cara dan tabiat makan, jantina dan gaya berenang.

Jenis-jenis ikan hiasan yang dikenali dan berpotensi besar masa kini

1. Ikan Flower Horn adalah salah satu ikan hiasan yang paling digemari di Malaysia. Ikan ini unik kerana boleh berubah warna melalui pemberian bahan kimia tertentu di samping faktor genetik ikan.
2. Corydoras adalah salah satu jenis ikan hiasan air tawar yang berasal dari Amerika Selatan. Selain berfungsi sebagai ikan hiasan air tawar, ia boleh digunakan sebagai bahan untuk pembuatan kosmetik di negara maju.
3. Ikan Cichlasoma Severum adalah salah satu jenis ikan hias air tawar yang berasal dari Amerika Serikat pada bahagian Utara (S. Arhazone). Tubuhnya pendek dan gemuk dengan warna dasar bervariasi coklat kekuningan, atau hitam kecoklatan. Jenis ikan ini juga mempunyai nilai ekonomi yang tinggi.
4. Ikan hias Diskus (Symphysodon discus) adalah salah satu jenis ikan hiasan air tawar yang berasal dari sungai Amazon (Brazil). Bentuk tubuhnya pipih, mirip ikan bawal dengan warna dasar coklat kemerah-merahan.
5. Ikan Emas merupakan salah satu ikan hiasan yang amat terkenal. Ikan jenis ini berasal dari China dan mempunyai sifat suka bermain di dasar dan hanya sesekali berenang.
6. Arowana pula salah satu ikan berpotensi tinggi yang tergolong dalam keluarga ikan “karuhun”, iaitu Osteoglasidae atau keluarga ikan “bony-tongue” (lidah bertulang). Ikan ini digelar sedemikian kerana bahagian dasar mulutnya berbentuk tulang yang berfungsi sebagai gigi. Arowana memiliki pelbagai nama timbangan seperti Ikan Naga (Dragon Fish), Barramundi, Saratoga, PlaTapad, Kelisa, Siluk, Kayangan, Peyang, Tangkelese, Aruwana, atau Arwana. Habitat asal ikan ini adalah di sungai- sungai besar yang berarus deras. Spesis jenis ini banyak ditemui di Indonesia, Malaysia, Vietnam, Burma, dan Thailand. Arowana Malaysia yang diternak di Tasik Bukit Merah, Perak merupakan spesies ikan Arowana yang termahal di dunia. Ikan itu mempunyai nilai hiasan tersendiri kerana pergeraknya indah dan mempesona. Susunan sisinya yang besar dan berkilat juga menjadi daya pemikat yang membezakan ikan jenis ini dengan spesis ikan hiasan lain.
7. Ikan pelaga adalah ikan hiasan yang sangat digemari oleh masyarakat khususnya kanak-kanak. Ikan ini mempunyai keistimewaan tersendiri kerana selain memiliki rupa yang cantik dan menarik, ia juga dapat berlaga apabila diadu.




Penyakit dan rawatan
Faktor-faktor yang menyebabkan ikan mudah dijangkiti penyakit ialah seperti berikut :
• Keadaan suhu air dalam akuarium yang terlalu sejuk
• Air di dalam akuarium terlalu kotor kerana tidak ditukar selama beberapa lama.
• Ikan yang cedera atau mengalami luka akibat dipindahkan tempat.

Antara penyakit penting ikan hiasan ialah:


Penyakit rintik putih

Penyakit ini disebabkan parasit yang melekat pada sisiknya. Ia berlaku apabila suhu air terlalu sejuk. Ikan yang sakit perlu dipindahkan ke dalam tangki lain. Ianya boleh dirawat menggunakan larutan methylene blue dan campuran sedikit garam biasa ke dalam air. Terdapat juga ubat yang telah tersedia dan boleh didapati dari kedai akuariumb.

Penyakit kulat

Kulat akan tumbuh pada luka pada badan ikan sekiranya tidak diberi rawatan awal. Bahagian yang sering dijangkiti kulat ialah sirip, mulut dan badan yang terdapat luka. Kulat ini kelihatan seperti kapas yang tumbuh pada bahagian luka yang terbuka. Ia boleh dirawat menggunakan larutan methylene blue yang dimasukkan ke dalam air atau menyapukan terus pada luka yang dijangkiti kulat itu. Ikan yang dijangkiti kulat perlu diasingkan dari ikan sihat.

Penyakit bakteria

Ikan yang dijangkiti bakteria biasanya akan berubah warna menjadi pudar, sisiknya mengembang atau perutnya menjadi buncit. Penyakit bakteria boleh menyerang ikan disebabkan oleh mutu air yang tidak baik, pemakanan yang tidak sesuai atau ikan mengalami stress. Penyakit ini boleh dirawat menggunakan antibiotik yang boleh dibeli dari pembekal ubat tempatan dengan bimbingan Pegawai Perikanan.

Comments

Popular posts from this blog

Azmy fokus pasaran domestik

Munchy’s giat cipta nama

Piza makanan pilihan sedunia