Piza makanan pilihan sedunia
Pelbagai kaedah disediakan untuk memudahkan pesanan
Mukadimah
Ramai yang menggemari piza. Makanan ini boleh dikatakan mempunyai pengikut yang tersendiri baik yang masih kecil mahupun sudah berusia. Apa yang menjadi lebih menarik, masyarakat kini boleh menikmati piza setiap hari walau di mana berada.
Kaedah jualan piza kini bukan sahaja boleh dinikmati di restoran tetapi menerusi telefon, dan 30 minit selepas itu pesanan akan terus sampai ke rumah anda. Boleh dikatakan piza dinikmati secara santai bagi menggantikan sajian utama ketika kesibukan mahupun untuk sambutan hari-hari tertentu.
Melihat pelbagai cara orang ramai menikmati keenakan makanan ini, kami mendekati orang ramai dan bertanya pandangan mereka tentang apa kaedah dan bagaimana mereka menikmati makanan suka ramai ini.
Sejarah Piza
Makanan yang cukup popular di seluruh dunia ini mempunyai sejarah yang tersendiri namun tiada bukti yang jelas berkenaan asal usul perkataan ‘piza’. Pada 997, piza merupakan makanan bagi warga miskin dan belum dianggap sebagai resepi yang agung sehinggalah 1889 makanan ini melonjak menjadi resepi popular setelah menjadi hidangan khas yang dihasilkan Raffaele Esposito dan isterinya. Piza yang dipenuhi sos tomato, keju mozarella dan daun basil itu akhirnya menjadi kegemaran Ratu Itali lalu nama dinamakan Piza Margherita.
Tentu ramai yang menyangka bahawa pizza berasal dari Itali. Sangkaan itu meleset sama sekali. Piza mempunyai lagendanya yang tersendiri. Berdasarkan sejarah, masyarakat di sekitar laut tengah telah menghasilkan roti yang bentuknya seperti bentuk roti piza. Kemudian, orang Yunani zaman dahulu memakan roti yang dipanggil plankuntos bersama lauk yang diletak pada atasnya. Roti tersebut diadun daripada tepung yang diuli dengan air. Kemudiannya dileperkan dan dibakar di atas batu yang dipanaskan di bawah cahaya matahari. Seterusnya, apabila teknologi bertambah tinggi manusia telah pandai menghasilkan api dan piza di bakar.
Pada waktu itu, perkataan piza merujuk kepada alatan tukang roti yang digunakan untuk menentukan suhu oven. Piza dianggap sebagai makanan orang miskin dan dijual di jalanan.
Pada 1720, piza dijaja oleh orang ramai dan terdapat larangan untuk menjual makanan itu. Piza dilarang di bawa masuk ke istana dan semua bangsawan istana di Itali di larang makan Piza bagi menjamin kedaulatan istana. Bagaimanapun, Raja Ferdinand I(1751-1825) secara diam mencuba makanan yang menjadi kegemaran rakyat jelata itu.
Baginda sanggup menyamar menjadi rakyat biasa untuk mencuba makanan itu. Baginda sungguh menyukai kelazatan makanan itu dan secara terang-terangan mengakui bahawa ianya sedap dan menyihatkan.
Setelah bangsawan lain mendegar khabar itu, mereka akhirnya memberanikan diri mencuba dan larangan menjual piza dihapuskan.
Selepas larangan itu dibubarkan, piza menjadi semakin digemari oleh bangsawan dan golongan elit. Seterusnya, kegemaran makan piza ini turut disukai oleh keluarga diraja generasi ke II, Raja Ferdinand II.
Pada waktu itu, pizza dibuat dengan melemparkan adunan piza ke udara dan memutarnya. Kaedah itu dikatakan dapat melembutkan adunan serta membentuknya menjadi sebuah piringan yang tepinya sedikit lebih tinggi. Bentuk seperti itu menjadi lapisan dasar yang sempurna untuk sebuah piza.
Ada juga beberapa sumber berpendapat, perkataan piza lahir daripada perkataan Yunani iaitu picea.
Menurut satu sumber lain pula, penciptaan piza yang sempurna berlaku pada zaman renaissance di Napoli, Itali.
Kota Napoli dianggap sebagai ibu kota pizza. Piza Napolita adalah salah satu piza yang paling popular di dunia. Piza bukan termasyhur di kalangan rakyat biasa, malah di kalangan istana.
Piza akhirnya dibawa ke Amerika Syarikat dan menjadi terkenal dalam sekelip mata. Kini piza sudah menjadi pilihan masyarakat di seluruh dunia.
Pizza di Malaysia
Di Malaysia, Piza menjadi salah satu makanan paling popular. Antara kedai yang menyajikan makanan ini adalah Pizza Hut, Shakey`s Pizza, Domino Pizza, Carlifornia Pizza Kitchen dan lain-lain.
Penyediaan Piza di Asia berbeza dengan piza di seluruh dunia. Contohnya piza di Thailand ditambah dengan sos cili manis manakala Jepun dengan sushi dan negara kita menggunakan ayam, nenas dan cendawan.
Pizza Hut, Domino’s Pizza restoran piza popular di Malaysia
Di negara kita, dua restoran popular mendominasi pasaran jualan piza adalah Pizza Hut, dan Domino’s Pizza. Kedua-dua jenama ini menyediakan piza secara 24 jam dan pesanan boleh dibuat menerusi telefon dan atas talian (online) di samping berkunjung ke restoran tersebut.
Pizza Hut adalah rangkaian restoran yang dikendalikan secara francais oleh makanan antarabangsa yang berasas di Dallas, Texas dan mengkhusus dalam piza gaya Amerika Syarikat.
Pizza Hut diuruskan QSR Brands Bhd, pemegang francais rangkaian Piza di Malaysia dan Singapura yang mempunyai lebih 260 restoran di kedua-dua buah negara tersebut.
Di negara kita juga, wujud beberapa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi pengeluar piza. Satu jenama yang sedang meningkat naik adalah Pizza Pah. Pizza Pah diuruskan Syarifah Rofiah Syed Hassan dan menyediakan piza sejenis sejuk beku dan siap di masak. Pasaran Pizza Pah dikembangkan ke seluruh negara secara pengedar dan membuka peluang perniagaan kepada orang ramai menjalankan perniagaan secara kiosk dan Kafe Pizza Pah.
Tinjauan orang ramai
Saya menikmati piza di...
1. Nor Azlinda Muhamad
Piza adalah makanan kesukaan keluarga kami. Saya menikmati piza sekali dalam seminggu. Bagi saya menikmati piza di restoran cukup menyeronokkan kerana dapat berkumpul bersama keluarga dan saya sering menjadikan aktiviti itu sebagai masa kami bersantai bersama keluarga. Hawaian Chicken dan Sup Pizza Hut adalah menu kegemaran kami.
2. Siti Hajar Kamaruddin
Saya suka menikmati Domino’s Pizza. Bagi saya, piza Domino’s menepati citarasa saya kerana ranggup. Dalam sebulan saya menikmati sekurang-kurangnya sekali sahaja. Melalui pengalaman saya ketika membuat pesanan untuk penghantaran ke rumah, saya berpuas hati dengan layanan mereka kerana penghantaran dibuat dalam masa yang dijanjikan. Layanan jurujual mesra pengguna dan saya memang berpuas hati dengan apa yang disediakan Domino’s.
3. Norsuraini Mohd Hassan
Jika diberi pilihan untuk memilih piza dan nasi saya rela memlih nasi sebagai sajian utama saya. Walaupun bukan penggemar piza namun saya tetap mengikuti perkembangan jualan dan menu-menu terbaru yang disediakan kerana sebahagian daripada ahli keluarga saya suka makan piza. Bagi saya tidak semua orang mampu menikmati piza kerana harga yang ditawarkan boleh dikatakan agak mahal berbanding sajian makanan lain. Piza yang sering saya pesan adalah Pepperoni.
4. Normazita Rahman
Saya boleh dikatogerikan sebagai penggemar piza dan Pizza Hut adalah pilihan saya ketika menikmati sajian itu. Saya memilih untuk makan di restoran kerana ia boleh menimbulkan ‘mood’ makan piza yang sebenar kerana aroma ketika mereka memasak itu dapat dihidu pelanggan walaupun daripada jauh, berlainan jika kita menikmati makanan itu di rumah atau tempat lain. Saya akan menikmati piza dua bulan sekali dan menu kegemaran saya adalah Supreme Pizza.
5.Aliyah Azizi
Saya suka makan piza dan wajib bagi saya menikmati makanan ini sekaLi dalam sebulan. Saya menggunakan semua kaedah yang disediakan dalam membuat pesanan. Bagi saya semua saluran itu penting terutama pda zaman serba teknologi ini, lagipn jika di barat pelbagai kaedah disediakan untuk orang ramai memesan piza. Pada pendapat saya, saya lebih suka makan di restoran penyediaannya cepat, lagipun pelbagai pilihan dan menu baru dapat dibeli. Bagaimanapun jika ingin berkelah, saya akan membeli dan bawa makan di taman sambil bersantai. Setakat ini, Extra cheese and crust adalah pilihan. yummy!
Comments
Post a Comment
thnks for your comment...