Wednesday, December 01, 2010

Masakan berasaskan sup dikomersilkan

Ani Sup Utara terus menempa nama dalam dan luar negara

Menggunakan motto ‘Ingat Sup Ingat Ani Sup Utara’, rangkaian restoran Ani Sup Utara mencipta nama dengan menonjolkan masakan berasakan sup sebagai kekuatan utama.

Keunikan yang tersendiri itu ternyata mendapat sambutan hangat dengan purata pesanan antara 700 hingga 800 mangkuk sehari bagi satu-satu cawangan.

“Sup kami mempunyai kelainan kerana berdasarkan kajian yang dilakukan Consolidated Laboratory (M) Sdn Bhd, keputusan menunjukkan kandungan lemak dalam pati sup adalah kosong peratus, tambahan pula adunan rempah ratus itu dicipta sendiri oleh isteri saya, Rohani Abu,”kata pengasas, pemilik dan merangkap juga Pengarahnya, Hasanuddin Ibrahim ketika temubual Sinar Harian di Wisma Ani Sup Utara di Shah Alam.

Bercerita tentang sejarah penubuhan, beliau berkata, Restoran Ani Sup Utara memulakan operasi yang pertama di Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada 1 Julai 2003 menggunakan modal simpanan berjumlah RM250.

Pada awalnya, beliau tidak berhasrat untuk menambah cawangan tetapi melihat penerimaan yang memberangsangkan, pada awal 2004, cawangan kedua yang terletak di Seksyen 9, Shah Alam dibuka.

“Pada awal-awal dulu hasrat utama saya bukan kepada penambahan cawangan tetapi lebih kepada wawasan untuk membina rangkaian restoran makanan Melayu yang terulung di Malaysia, namun berkat usaha semua pihak, akhirnya perniagaan itu membentuk rangkaian tersendiri,”katanya.

Tambah beliau, sepanjang tempoh satu hingga dua bulan pertama operasi, restoran itu tidak mempunyai nama, tetapi setelah ramai yang bertanya, akhirnya syarikat memutuskan untuk menggunakan singkatan kepada nama isterinya sebagai nama kedai.

Sebagai pengenalan, Ani Sup Utara diuruskan oleh syarikat Little Cash (M) Sdn Bhd yang didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 13 Jun 2005. Bermula dengan hanya sebuah pejabat dan dapur kecil di restoran, kini Little Cash
(M) Sdn Bhd mempunyai sebuah pejabat urusan dan dapur pusat yang berasingan daripada restoran yang terletak di TTDI Jaya, Shah Alam.

Beliau berkata, dalam mengembangkan perniagaan itu, syarikat itu juga mempunyai misi dan visi yang ingin berperanan menjadi syarikat terbaik di dunia dalam industri makanan, minuman dan teknologi berteraskan halal.

“Kami ingin mengekalkan status suci, bersih dan halal, di samping menjadi pemacu utama dalam inovasi perniagaan asas sup bumiputera di Malaysia menerusi cabang restoran dan produk runcit,”katanya.

Hasanuddin berkata, setakat ini rangkaian restoran itu mempunyai 34 cawangan dan kebanyakkannya tertumpu di kawasan Lembah Klang.

Katanya, secara purata, cawangan itu mempunyai penambahan sekurangnya satu hingga dua cawangan dalam tempoh setahun.

“Cawangan kami berkembang pesat bermula pada 2008 yang berjaya membuka empat cawangan, dan seterusnya pada 2009 sebanyak 16 cawangan manakala sehingga Julai 2010, lapan cawangan dibuka,”katanya.

Menurutnya, sebelum akhir tahun ini, syarikat menyasarkan untuk membuka sekurang-kurangnya 16 cawangan dan bakal memilih kawasan berhampiran pejabat kerajaan mahupun swasta sebagai lokasi utama.

Katanya, hasrat itu bukan suatu yang mustahil kerana saban hari, restoran itu menerima antara 600 hingga 700 pelanggan tetap bersama set hidangan lengkap nasi sup sebagai pesanan yang paling mendapat sambutan di samping 20 menu lain.

Beliau berkata, kira-kira sembilan cawangan diuruskan sendiri manakala 25 lagi menerusi francais, apabila syarikat itu mengambil keputusan mengangotai keahlian persatuan francais Malaysia (MFA) pada 18 September 2008.

Tambah beliau, sistem francais yang diperkenalkan ternyata mendapat sambutan dan sebelum akhir 2013, syarikat menyasarkan untuk membuka sekurangnya 100 cawangan di seluruh Malaysia.

“Peluang francais yang kami tawarkan kini mendapat sambutan daripada usahawan Sabah dan Sarawak serta negara jiran seperti Thailand, Brunei, Indonesia, dan Vietnam,”katanya yang juga sedang mencuba meneroka pasaran China.

Tambahnya juga, syarikat dijangka akan melabur RM2 juta dalam perancangan menjadi master francais di Jakarta dan Australia yang bakal direalisasikan sebelum hujung tahun ini.

Hasanuddin berkata, bagi individu yang berminat untuk menjadi salah seorang daripada francaisi Ani Sup Utara, pelaburan yang diperlukan bermula daripada RM340,000 hingga RM480,000 bergantung pada lokasi dan keluasan restoran tersebut.

“Pada kebiasaannya, kami mengenakan RM35,000 sebagai bayaran untuk menjadi francaisi dan terikat dengan kontak selama lima tahun,”katanBeliau berkata, bagi memastikan struktur sistem francaisi berjalan dengan lebih mantap, syarikat menawarkan latihan selama sebulan dan pengambilannya dihadkan kepada 10 orang bagi setiap latihan.

Selain bertindak sebagai ‘Master Francaisor’, Ani Sup Utara juga menjalankan perniagaan sebagai ‘Master Anchor’ dalam rangkaian restoran Ani Sup Utara yang bertindak untuk memproses dan mengedar barang niaga kepada semua restoran.


Hasanuddin berkata, sebagai perancangan jangka panjang, syarikat juga dalam proses untuk mengeluarkan produk sup dalam tin dan paket untuk pasaran runcit Malaysia dan antarabangsa.

Katanya, penerokaan bidang baru itu nanti diharapkan bukan sahaja mengukuhkan lagi penguasaan pasaran sup tetapi terus menjadi buah mulut sebagai restoran yang mertabatkan sup dalam dan luar negara.

INFO:

· Restoran Ani Sup Utara memulakan operasi pada 01 Julai 2003 di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor

· Hasanuddin Ibrahim dan Rohani binti Abu adalah tulang belakang dan pengasas kepada perniagaan itu

· Pada awalnya tidak bercadang untuk menambah cawangan restoran tetapi melihat kepada penerimaan pelanggan yang terlalu hebat, Hasanuddin akhirnya menambah cawangan kedua.

· Pada awal 2004, cawangan kedua yang terletak di Seksyen 9, Shah Alam dibuka dan menanam wawasan untuk membina satu rangkaian restoran melayu yang terbesar di Malaysia.

· Little Cash (M) Sdn Bhd adalah syarikat yang menguruskan rangkaian restoran Anis Sup Utara dan menyasarkan untuk membuka sekurang-kurangnya 100 cawangan di seluruh Malaysia menjelang 2013.

· Selain terkenal dalam negara, restoran itu bakal meneroka pasaran negara jiran, Australia dan China tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment

thnks for your comment...