Wednesday, December 01, 2010

Kelahiran sesebuah nama dan jenama tidak kira sama ada restoran ataupun produk pasti menyimpan seribu rahsia di sebaliknya. Berdasarkan sesetengah kepercayaan, nama yang elok pasti membawa tuah dan jika perniagaan itu di warisi dan dikembangkan secara meluas, pasti empunya nama mengukir sejarah tersendiri.

Nama Gloria Jean, wanita dari Chicago Amerika Syarikat antara contoh terdekat cukup besar dan sinonim dengan produk berasakan kopi sejak mula menceburikan diri pada 1979 dalam perniagaan berasaskan kopi. Wanita itu kini mencipta nama di 35 buah negara seluruh dunia apabila namanya digunakan sebagai master francais bagi jenama Gloria Jean Cofee bagi Australia.

Menyedari potensi kopi yang kini pesat membangun, jenama itu dibawa masuk ke Malaysia menerusi pemegang francais dari Australia.

Gloria Jean Cofee Malaysia pula bertindak sebagai master francais bagi semua urusniaga dalam negara dan Brunei bermula Disember 2006. Jenama itu diletakkan di bawah Pengurusan Wonderful Lifestyle Sdn Bhd, iaitu anak syarikat Malaysia International Franchise Sdn Bhd (MyFranchise).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fauzi Awang berkata, setakat ini produk itu mempunyai 13 cawangan dan merancang membuka 10 lagi pada 2011.

“Produk itu sudah mempunyai keunikan yang tersendiri, lagipun jenama kami mempunyai penggemar yang tersendiri, jadi agak senang untuk kami menambat hati pengguna,”katanya ketika di temuramah Sinar Harian.

Menurutnya, perkara itu dapat dibuktikan apabila jualan keseluruhan 2009, mencecah RM5 juta dan beliau yakin tahun ini bakal menghasilkan sekurang-kurangnya RM7 juta.

“Cawangan kami yang paling banyak menghasilkan jualan adalah KL Sentral dengan purata jumlah sebanyak RM2,000 hingga RM3,000 sehari.

Katanya, konsep keusahawanan yang diterapkan mampu mengukuhkan lagi pertumbuhan syarikat sekaligus mengukuhkan pasaran dalam negara.

“Penguasaan pasaran kami masih kecil dan dari segi kedudukan kami berada di tempat ke tiga,”katanya.

Tambah beliau, langkah pengembangan agresif dengan membentuk lebih banyak cawangan terutama di kawasan Johor, Pulau Pinang, Kuching, Miri dan Kota Kinabalu akan giat dilakukan bermula tahun depan.

Menurut Fauzi, medan pemasaran Gloria Jean yang berkonsepkan francais telah memudahkan usaha pengembangan itu.

“Individu yang berminat akan dibantu dari segi kewangan oleh Perbadanan Nasional Berhad (PNS) yang menyumbang 70 peratus kepada modal bersama latihan bagi melatih mereka agar mahir dalam urusniaga,”katanya.

Katanya modal pelaburan yang diperlukan bagi individu yang berhasrat untuk membuka stor penuh adalah RM500,000 hingga RM700,000.

Bagaimanapun, bagi yang mempunyai modal kurang daripada jumlah itu, mereka masih boleh mengusahakan kios yang memerlukan modal bermula RM300,000 hingga RM500,000 manakala Cart pula dalam lingkungan RM150,000 hingga RM350,000.

“Setakat ini kami mempunyai dua konsep stor penuh yang terletak di Plaza Angsana, Johor Baharu dan Tecso Kepong Village, Kepong,”katanya.

Katanya, lokasi sasaran kini tertumpu pada kawasan berdekatan dengan pejabat, kawasan bandar dan tempat tumpuan warga asing.

“Kami juga menyediakan perkhidmatan penghantaran terus ke pejabat dan kelompok sasaran kami adalah golongan muda dan sederhana yang mencari kelainan dalam membuat perbincangan dan gaya hidup santai,”katanya.

Beliau berkata, secara purata, pelanggan Goria Jean Coffee terdiri daripada pelanggan setia dan golongan itu mewakli 70 peratus daripada jumlah kunjungan pelanggan setiap hari.

“Kewujudan 917 cawangan di 35 negara seluruh dunia menunjukkan jenama kami diyakini, dan keistimewaanya tersebar dengan mudah,”katanya.

Fauzi berkata, memandangkan konsep perluasaan cawangan dilakukan secara francais jadi segala pengurusan bagi setiap cawangan adalah sama. Bagaimanapun, bagi menarik masyarakat setempat, makanan tempatan juga disediakan bagi memenuhi selera tempatan.

“Standard menu masih lagi sama dengan Australia dengan 15 pilihan kopi bersama 20 makanan sampingan,”katanya.

Katanya, setiap cawangan diuruskan oleh enam pekerja dan mereka akan dilatih dua minggu sebelum memulakan tugasan.

Gloria Jean yang juga pemegang lesen francais bagi Brunei akan meneruskan usaha pengembangan agresifnya mencipta nama di negara itu.

“Pasaran Brunei adalah sasaran utama kami di samping meneruskan penubuhan cawangan dalam negara,”katanya yang masih dalam perbincangan.

Selain fokus terhadap usaha pengembangan, Fauzi berkata Gloria Jean Cofee juga bercita-cita untuk merakyatkan kopi bersama masyarakat.

Menurutnya, tanggapan bahawa kopi adalah hanya untuk sesetengah golongan dan kurang diminati adalah salah. Ini kerana corak atau hidangan kopi sekarang telah berubah dan persekitaran banyak membantu menyebarkan keistimewaan.

“Saya ingin mengajak orang ramai supaya jangan takut untuk mencuba kopi, seperti mana minuman lain, kopi juga ada khasiatnya, lagipun hidangan kami adalah berasakan kopi asli,”katanya.

INFO:

· Gloria Jean Coffee, diinpirasi daripada nama seorang wanita dari Chicago Amerika Syarikat pada 1979

· Pada 1995, Gloria Jean Cofee Australia mendapat hak sebagai master francais bagi Australia.

· Disember 2006, Wonderful Lifestyle dari Malaysia mendapat kebenaran sebagai Master Francais bagi Malaysia dan Brunei

· Gloria Jean coffee Malaysia kini mempunyai 13 cawangan dan merancang membuka 10 lagi pada 2011.

· Pengembangan itu juga akan melibatkan pembukaan cawangan di Brunei dan kawasan yang bermajoriti penduduk asing

· Pembukaan sesebuah cawangan memerluakan modal antara RM300,000 hingga RM750,000 meliputi konsep stor penuh, kios dan cart.

· Jenama Gloria Jean coffee wujud dan berkembang meliputi 917 cawangan di 35 negara

· Di Malaysia antara lokasi cawangan itu adalah Plaza Sentral, The Curve, Dataran Maybank, Bukit Bintang Plaza,, Mid Valley, Plaza Angsana, Johor Bharu, Mount Kiara Bursa Saham Malaysia, dan Menara Kenanga.

· Cawangan yang paling banyak menghasilkan jualan adalah KL Sentral dengan purata jumlah sebanyak RM2,000 hingga RM3,000 sehari.

· Jualan keseluruhan Gloria Jean Coffee 2009, mencecah RM5 juta dan optimis tahun ini bakal menghasilkan jualan sekurang-kurangnya RM7 juta.

No comments:

Post a Comment

thnks for your comment...