Wednesday, July 13, 2011

Azmy fokus pasaran domestik

Berkembang seiringan dengan penambahan cawangan pasaraya



Sebut sahaja burger, pasti ramai yang membayangkan keenakan makanan itu, ditambah pula dengan sos, tomato dan beberapa sayuran lain ternyata bukan sahaja boleh mengalas perut di kala kelaparan tetapi cukup mengenyangkan.

Burger adalah salah satu makanan paling terkenal seluruh dunia. Hampir semua orang di dunia ini mengenali apa itu burger baik yang kecil mahupun berusia. Burger adalah makanan sampingan yang boleh menggantikan nasi. Makanan ini menggabungkan roti dan daging cincang yang dimasak secara goreng, salai mahupun panggang berbentuk bulat.

Pasaran burger ketika ini sangat luas kerana menggunakan beberapa jenis daging seperti ayam, lembu, unta, kambing, arnab, burung, dan banyak lagi dengan beberapa jenama tersendiri.

Daging yang dihasilkan untuk kegunakan burger tergolong dalam penyediaan makanan katogeri sejuk beku. Di negara kita, salah sebuah pengeluar terkenal makanan sejuk beku tersohor adalah Selangor Food Industries Sdn. Bhd. (SFI). Sekali pandang, tidak ramai yang mengenali siapa SFI, tetapi apabila menyebut Azmy, pasti ramai dikalangan kita yang sudah menjadi pengguna tetap produk-produk keluarannya.



Syarikat ini seratus peratus dimiliki bumiputera, terletak di Kawasan Perindustrian Batang Kali, Selangor.

Kelahiran Jenama Azmy
Jenama Azmy dilahirkan sempena nama pengasas dan pemiliknya iaitu Azmy Sanusi yang kini merangkap Pengarah Urusan bagi syarikat yang dibangunkan mencecah 30 tahun lalu.

Kewujudan makanan sejuk beku jenama Azmy bermula dengan perniagaan secara kecil-kecilan, dan siapa sangka berkat usaha dan sikapnya yang ingin menyajikan makanan sejuk beku, halal dan suci syarikat itu kini mencipta nama setanding jenama terkemuka lain.

“Kualiti kami adalah yang terbaik setakat ini disokong penuh daripada pengurusan di kilang hinggalah kepada pengendalian yang diiktiraf oleh kerajaan baik dari segi halal, mahupun penggunaan peralatan berteknologi tinggi,”katanya.

Guna teknologi tinggi, pemasaran tanpa orang tengah
Menurutnya, penggunaan peralatan itu sekaliagus mampu meningkatkan kapasiti pengeluaran produk yang kini mencecah 20 kontena dalam satu-satu masa.

“Dengan kapasti pengeluaran tinggi itu membolehkan kami menerima tempahan banyak dalam satu-satu masa terutama memenuhi permintaan pasaraya besar untuk di jual ke seluruh negara,”katanya.



Kemampuan syarikat itu bertambah hebat apabila produk jenama itu dibawa masuk ke pasaraya tanpa menggunakan orang tengah.

“Perkara ini menjadi kelebihan kepada kami kerana tidak perlu berdepan dengan risiko dan penipuan orang tengah dalam sudut pemasaran untuk meluaskan rangkaian perniagaan,”katanya.

Sokongan dan bantuan kerajaan
Katanya, sokongan daripada beberapa agensi kerajaan juga banyak mendorong perusahaan itu terus berdaya saing seperti khidmat nasihat, kewangan dan penjenamaan yang disalurkan menerusi SME, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Pusat Pembangunan Halal (HDC) dan lain-lain.



“Menerusi kerjasama beberapa agensi itu, kami mula mengatur langkah untuk jangka masa panjang untuk mencari peluang eksport melalui KPDNKK ke Indonesia dan HDC ke Iran,”katanya.

Beliau berkata, peluang ini secara tidak langsung memberi pendedahan awal kepada jenama itu untuk mencuba pasaran luar yang cukup berpotensi dalam permintaan barangan halal tinggi.

Pasaran dan Jualan
Bercerita tentang pasaran, setakat ini fokus utama masih lagi dalam negara dan akan meneruskan penjelajahan ke beberapa negeri secara berperingkat seperti ke Pantai Timur, Sabah dan Sarawak serta Brunei.

“Kami menggunakan beberapa media sebagai saluran mempromosikan produk antaranya menyertai program Jom Heboh anjuran TV3 dan Suarasa TV9 yang secara dekat boleh berinteraksi secara terus dengan pengguna,”katanya.

Menurutnya, perkembangan produk banyak dibantu seiring penambahan cawangan pasaraya utama dalam negara.

“Jika cawangan pasaraya bertambah maka pasaran kami secara tidak langsung berkembang mengikut percaturan mereka dan setakat ini perhatian kami lebih kepada bekalan yang konsisten mengikut apa yang mereka inginkan,”katanya.

Dari segi jualan, katanya, syarikat sedang berusaha untuk menggandakan lagi jumlah pada tahun ini.

“Jumlah jualan tahunan kami kini mencecah jutaan riggit dan semua itu berlaku kerana sokongan ramai pihak terutama pengguna yang yakin dengan produk ini,”katanya.

Beliau berkata, jualan produk daging burger adalah penyumbang utama selain dibantu produk baru seperti bebola daging, nuget, dan beberapa produk sejuk beku sampingan lain seperti daging, kentang goreng, dan sayuran campur.

Perancangan masa depan
Biarpun masih tergolong sebagai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Azmy berkata, status itu bukan penghalang untuk syarikat membantu usahawan bumiputera lain yang memerlukan bantuan.

“Sebagai perancangan masa depan, saya ingin mempelawa usahawan yang mempunyai produk bergandingan bagi memudahkan mereka meluaskan pasaran,”katanya.




Info:
• Pasaran burger ketika ini sangat luas kerana menggunakan beberapa jenis daging seperti ayam, lembu, unta, kambing, arnab, burung, dan banyak lagi yang sememangnya digemari ramai
• Di negara kita, salah sebuah pengeluar terkenal makanan sejuk beku tersohor adalah Selangor Food Industries Sdn. Bhd. (SFI) atau lebih dikenali sebagai pengeluar kepada produk Azmy. Anatara produk keluaran syariat ini adalah bebola daging, nuget, dan beberapa produk sejuk beku sampingan lain seperti daging, kentang goreng, dan sayuran campur.
• Jenama Azmy dilahirkan sempena nama pengasas dan pemiliknya iaitu Azmy Sanusi yang kini merangkap Pengarah Urusan bagi syarikat yang dibangunkan mencecah 30 tahun lalu.
• Pemasaran utama di beberapa pasaraya utama negara
• Kilang pemprosesan menggunakan teknologi tinggi dan pemasaran tanpa orang tengah
• Setakat ini fokus jualan utama masih lagi dalam negara dan akan meneruskan penjelajahan ke beberapa negeri secara berperingkat ke Pantai Timur, Sabah dan Sarawak serta Brunei.

2 comments:

  1. boleh bagi contact no cawangan di area negeri sembilan x? sy nk buat lawatan pmbelajaran.

    ReplyDelete
  2. Saya suka beli daging kisar dan bebola jenama Azmy... tapi susah sangat nak dapat. Kekadang dapat di Giant tapi stok cepat abis.

    ReplyDelete

thnks for your comment...