Saturday, January 30, 2010

Kebanjiran Susu Import lahir Idea Biomil


Kebanjiran susu import lahir idea Biomil

Biotral terus bersaing walaupun syarikat asing terkemuka mendominasi pasaran susu formula



PASARAN susu formula di negara ini kebanyakannya didominasi syarikat asing dan terkemuka, namun ia diihat sebagai kelebihan kepada jenama

tempatan, Biomil.


Biotral Sdn Bhd, syarikat pengeluar Biomil yakin jenamanya akan diterima

masyarakat dalam dan luar negara berdasarkan kualiti dan permintaan.


Matlamatnya adalah membantu tumbesaran generasi akan datang menggunakan produk formula yang bersih, halal dan diyakini.


Pengarah Urusannya, Ishak Husin berkata, kebanjiran susu import yang menjadi sambutan ramai mendorong beliau untuk mencuba pasaran susu formula.


Menurutnya, susu adalah makanan awalan yang membentuk minda dan perkembangan anak-anak.


“Oleh itu, saya mencipta satu formula bagi memastikan ia berkualiti, selamat, berkhasiat dan mengikut prinsip Islam,” katanya kepada Sinar Harian.


Biotral memulakan operasi pada 2006 dengan modal permulaan sebanyak RM30,000 dan ada pihak berminat untuk menjadi pengilang kepada Biomil.


Ishak berkata, beliau ketika itu tidak yakin kerana takut untuk memulakan perniagaan, tetapi memandangkan modal itu rendah, namun ada pihak sudi memberikan bantuan.


Kian Joo Can Pack Sdn Bhd bersetuju untuk menguruskan pengetinan dan pengeluaran permulaan hanya mampu menghasilkan 2,000 tin.


“Saya tidak percaya ada pihak sanggup membantu. Dengan modal sebanyak itu, berapa banyak keluaran dapat dihasilkan,” katanya.


Walaupun berhadapan pelbagai masalah, namun Biotral berjaya mengeluarkan Biomil dan memasarkannya pada April 2006.


Beliau berkata, keluaran pertama Biomil adalah isian sebanyak 500 gram yang dijual pada harga RM19.90.


Bagaimanapun, ketika itu harganya agak mahal berikutan kenaikan harga susu dunia dan kebanyakan pengeluar bertindak menaikkan harga.


Oleh itu, katanya, pengguna sering membandingkan harga Biomil dengan jenama import.

Ishak berkata, ia menyebabkan beliau mengambil inisiatif baru.


“Konsep ini mengutamakan pengeluaran stok dalam kuantiti banyak dengan matlamat produk masih dibeli pengguna walaupun dalam kuantiti kecil.


“Secara tidak langsung, kami dapat menangani masalah stok, malah berupaya memperoleh margin barangan pada kadar lebih tinggi,” katanya.


Konsep itu berjaya dan terus mengembangkan perniagaan dan sehingga kini beliau sudah membelanjakan RM2 juta melalui modal sendiri dan pembiayaan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).


Katanya, perkembangan paling ketara pada 2008 dan 2009 sebagai platform pengembangan, manakala 2010 dijangkakan berkembang dua kali ganda.


“2009 menjadi pemangkin untuk terus berjaya pada 2010 kerana Biomil sudah menembusi 12 pasar raya besar di seluruh negara termasuk Brunei.


“Tahun ini dijangka lebih mencabar kerana produktiviti, kepakaran dan daya usaha perlu ditingkatkan bagi memenuhi pasaran,” kata Ishak.


Biotral kini memfokuskan pasaran luar dan produktiviti akan terus ditingkatkan meliputi pengeluaran, piawaian pengilangan, pembungkusan dan pengiklanan.


Ishak berkata, beliau akan menumpukan pasaran China dan Bangladesh dengan mensasarkan pengeluaran 16,000 tin susu sebulan.


“Saya yakin sasaran ini tercapai memandangkan pencapaian jualan tahun lalu mencecah RM1.3 juta membabitkan pengeluaran 2,500 tin sebulan.


“Berdasarkan prestasi itu, saya menjangkakan hasil jualan akan mencapai RM3 juta pada tahun ini,” katanya.


Strategi peluang menjadi pengedar


Bagi mencapai ke arah itu, katanya, beliau akan melancarkan strategi

menawarkan peluang menjadi pengedar.


Hanya berbekalkan modal minimum RM3,000, orang ramai berpeluang menjadi pengedar dengan sasaran 20 pengedar bagi setiap negeri.


Jumlah pengedar tidak akan dihadkan, tetapi individu perlu memastikan daerah itu tidak mempunyai pengedar lain bagi mengelakkan pertindihan.


Setakat ini, Biotral kini mempunyai 400 pengedar di seluruh negara.

Selain menyediakan peluang menjadi pengedar, Biotral mengukuhkan jualannya melalui promosi dan pengedaran pek percubaan.


Ishak berkata, beliau menyifatkan bajet untuk promosi dan pengedaran adalah dua perkara penting dalam memperkenalkan produk kepada umum.


“Pendekatan ini membantu kami melihat reaksi pengguna serta memberi panduan mengenai cara memilih produk berdasarkan bajet dan kualiti.


“Kami mahu mendidik ibu bapa dan kanak-kanak supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan yang sekadar indah khabar dari rupa, ” katanya.


Selain menumpukan susu sebagai segmen utama, katanya, syarikat juga merancang untuk mengeluarkan satu jenama baru berasaskan biskut.


Beliau berkata, rancangan itu dijangka akan siap sepenuhnya pada pertengahan Januari ini sebagai revolusi syarikat mengembangkan perniagaan.


“Biskut akan menjadi perintis kepada produk sampingan kerana banyak lagi produk akan dikeluarkan pada masa akan datang,” katanya.


Bangun kilang sendiri


Biotral juga akan membangunkan kilang sendiri tidak lama lagi bagi menampung permintaan semakin meningkat.


Ishak berkata, sudah tiba masanya syarikat mengilangkan produk sendiri tanpa bergantung kepada pemborong sebagai orang tengah.


Menurutnya, kehadiran orang tengah banyak mendatangkan masalah terutama sikap dan halangan lain sekiranya peniaga ingin menjadi pemborong.


“Halangan membabitkan modal, keluasan lokasi sebagai stor penyimpanan stok dan kebanyakannya dikuasai pemborong bangsa asing.


“Saya juga tidak suka jika ada pemborong, tetapi adakah kita mampu memasarkan produk tanpa mereka yang berperanan menjadi penghubung,” katanya.


Sebagai altenatif, beliau berkata, syarikat menawarkan perkhidmatan jualan dalam talian bagi memudahkan pelanggan mendapatkan Biomil.


Mengulas lanjut, kemudahan itu memberi peluang kepada ibu bapa yang sibuk, namun barangan terus sampai ke rumah berdasarkan tempahan.


Dalam perkembangan lain, Biotral berusaha untuk bersaing dalam pasaran tenusu bagi mengeluarkan susu dalam bentuk cecair sedia diminum.


Rancangan itu bakal dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang apabila kilang dan mesin pemprosesan mencapai standard yang ditetapkan.


Ishak berkata, Biomil yang dikeluarkan dalam bentuk serbuk adalah susu lebih mudah dihasilkan berbanding produk tenusu berasaskan cecair.


“Walaupun perancangan ini dianggap biasa bagi pengeluar susu, tetapi saya melihatnya sebagai persaingan positif dalam memantapkan perniagaan dan

industri susu negara,” katanya.

Friday, January 29, 2010

Bangunkan industri pelancongan lebih penting

Mohd Khalid


Bangunkan industri pelancongan lebih penting
Menerusi kepimpinan baru, Matta perlu fikir hala tuju demi kepentingan bersama

Lupakan mengenai kekalutan yang berlaku dalam Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta).

Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) persatuan itu baru -baru ini memilih Datuk Mohd Khalid Harun sebagai presiden baru. Dengan pengumuman itu, diharapkan ia dapat menyelesaikan konflik dalaman kepimpinan Mata yang ber lanjutan selama enam bulan.

Apa yang lebih penting adalah peranan Matta dalam membantu membangunkan industri pelancongan yang menjadi sumber kedua pendapatan negara.

Tahun lalu, Malaysia dikunjungi seramai 23.65 juta pelancong mengatasi sasaran 19 juta walaupun dilanda krisis ekonomi dan wabak Influenza A (H1N1). Namun, industri pelancongan turut terjejas berikutan krisis ekonomi dan memberi tempias kepada ejen pelancongan dan pengembaraan .

Antara lain mengenai peningkatan terhadap backpackers (pengembara jalanan) dan pengembara bajet persendirian.

Wartawan, SALWANI MD ZAIN menemui Mohd Khalid mengenai Matta dan persekitaran yang dihadapi ejen pelancongan dan pengembaraan ketika ini.

Kesan pengembara jalanan Mohd Khalid berkata, krisis ekonomi tidak dinafi kan sedikit sebanyak memberi kesan terhadap gaya hidup pelancongan dalam dan luar negara.

Bagaimanapun katanya, kesan paling ketara pada suku kedua 2008 menyebabkan bilangan orang ramai untuk untuk melancong berkurangan.

“Mereka lebih suka memilih pakej murah dan hanya melancong dalam waktu singkat selain kebimbangan terhadap H1N1,” katanya.

Ini menyebabkan banyak ejen mengambil inisiatif menyediakan pakej pada harga lebih rendah bagi mengelakkan mereka mengalami kerugian. Kebanyakan ejen terpaksa membuat penyelarasan harga kerana bimbang tiada pelancong mahu menggunakan perkhidmatan mereka.

Kerjasama bersama pihak lain seperti syarikat penerbangan dan hotel dipergiatkan supaya pakej yang ditawarkan tidak membebankan pelanggan.

Mohd Khalid berkata, kebanyakan pelancong terutama pengembara jalanan tidak menggunakan khidmat agensi pelancongan. Menurutnya, mereka lebih cenderung menggunakan internet sebagai sumber carian kerana ia difikirkan mampu menjimatkan kos pelancongan.

“Pengembara jalanan asing kini mempunyai inisiatif dalam mencari tempat penginapan, kemudahan dan tempat untu dikunjungi.

“Pengembara tempatan pula mereka menghadkan perbelanjaan menggunakan kemudahan sendiri dan mengunjungi kawasan terdekat sahaja,” katanya.

Trend itu dilihat menjejaska perniagaan agensi pelancongan kerana orang ramai akan mengurangkan kebergantungan mereka terhadap perkhidmatan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2010 mengumumkan peruntukan RM899 juta bagi melaksanakan pengisian program pelancongan ke arah peningkatan kualiti, infrastruktur dan pengiklanan.

Mohd Khalid berkata, peruntukan itu memberi nafas baru juga sebagai galakan kerana ekonomi pada 2010 melihat tanda pemulihan.

Beliau mencadangkan supaya kerajaan membuat promosi besar-besaran menerusi media cetak dan elektronik supaya penyampaian maklumat lebih jelas.

“Di Internet, orang hanya melihat yang tersurat, tetapi tersiratnya hanya boleh diperoleh apabila mereka menggunakan perkhidmatan ejen.

“Media juga perlu mengambil kesedaran itu memainkan peranan sebagai serampang dua mata dalam membantu usaha kerajaan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan turut dicadangkan supaya mengecualikan terhadap agensi pelancongan domestik dan luar negara yang membuat promosi secara bergerak.

Semua agensi menggunakan modal dan membuat promosi sendiri bagi menarik lebih ramai pelancong mengenai keindahan dan keunikan Malaysia.

Malaysia kurang agresif dari sudut promosi dan jika keadaan itu masih berlarutan, industri pelancongan negara akan terus menguncup.

Mohd Khalid berkata, wujud pelancong tidak mengenali Malaysia secara dekat sekali gus menyebabkan agensi pelancongan gagal membuat promosi.

“Agensi bukan mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata, namun melalui kerjasama, ia membantu memperbaharui industri pelancongan,” katanya.

Sebagai destinasi pilihan Penganjuran Pameran Matta dua kali setiap tahun disambut baik sebagai usaha mempromosikan Malaysia kepada dalam dan luar negara.

Ia dilihat sebagai salah satu pendekatan memperkenalkan Malaysia kepada negara luar dan penganjurannya berjaya menarik lebih ramai pelancong asing.

“Jumlah kedatangan pelancong tidak boleh dijadikan ukuran, namun apa yang lebih
penting mereka menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan,” katanya.

Malaysia kini menduduki tangga keempat dari segi kedatangan pelancong di Asia,
tetapi kelapan bagi destinasi pilihan pelancong.

Bagi menyokong industri pelancongan, semua pihak perlu membaik pulih kemudahan dan infrastruktur termasuk perkhidmatan.

Menurutnya, ia juga boleh dipertingkatkan dengan menstabilkan politik, ekonomi
dan sosial sekali gus mencerminkan imej baik kepada negara.

Selain Pameran Matta, katanya, program lain seperti konvensyen, mesyuarat,
persidangan dan acara sukan turut menyumbang kepada industri pelancongan.

“Kita tidak boleh paksa orang untuk melancong ke sini, namun kunjungan mereka disebabkan urusan atau acara lain sudah memadai,” kata Mohd Khalid.

Beliau turut mencadangkan supaya ahli Matta atau pengusaha berkaita memberikan kerjasama demi membangunkan sector pelancongan.

Mengenai perkembangan Matta, Mohd Khalid berkata, konflik dalaman itu tidak
seharusnya dijadikan alasan, namun mengutamakan hala tuju.

Ini turut membabitkan perancangan masa depan menguntungkan kerana matlamat beliau adalah menolong ahli denga memberikan kerjasama.

“Matta mempunyai hala tuju tersendiri ke arah perkembangan lebih sihat dalam kalangan ahli juga industri pelancongan.

“Sebagai presiden baru, saya berusaha untuk memperkasakan ahli dengan menyediakan kursuskepimpinan, motivasi dan kaunseling,” katanya.

Mohd Khalid berkata, ini termasuk usaha membaik pulih produk pelancongan bagi mewujudkan kepelbagaian dari sudut promosi dan pemasaran.

Perubahan bukan sahaja jelas tetapi berkesan sehingga mampu meningkatkan pengurusan dan perkhidmatan sesebuah agensi.

Beliau berkata, ahli juga berhak menyuarakan pendapat dan melakukan perubahan bagi mencari sesuatu yang baru bagi memantapkan perniagaan.

“Berdasarkan kerjasama dan perancangan rapi serta keadaan ekonomi yang semakin pulih, saya yakin sektor pelancongan akan menjadi industri terbesar, menyumbangkan kepada pendapatan negara,” kata Mohd Khalid.

Matta adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditubuhkan sejak 35 tahun lalu bertujuan membantu mempromosikan negara sebagai pusat pelancongan.

Ia kini dianggotai 2,800 ahli di seluruh negara dan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan dalam usaha menarik lebih ramai pelancong serta menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan.

Mohd Khalid berkata, Pameran Matta yang akan diadakan Mac ini mensasarkan peningkatan penyertaan 10 peratus berbanding tahun lalu.

“Kali ini, ia akan disertai beberapa negara membabitkan 893 gerai dan akan menjadi tumpuan lebih 80,000 pengunjung,” katanya.

Wednesday, January 27, 2010

Ulang Tahun Pertama My girl

Wajah-wajah kesayangan mama sejak lahir hingga sekarang yang akan mencecah 1 tahun tidak lama lagi..

Nik Aina Batrisya Bt Nik Yushawari

Saat di lahirkan di bumi Allah... 23 februari 2009, jam 8.30pg.. HUSM, Kubang Kerian Kelantan.

dua bulan



masa g kenduri - umur masa ni dalam 3 bulan

empat bulan


lima bulan


4/5 bulan

baru nk belajar merangkak


boleh merangkak... sambil meniarap

9 bulan.. merangkak dengan lajunyer...

wajah terbaru adeq..
he.. he..


sambut tahun baru di Mc D


hampir-hampir nk berjalan... tp x leh pn lagi

sukerr main buai...

inilah.. wajah-wajah kesayangan mama yang sentiasa menceriakan hidup... semakin hari semakin comel... semakin hari makin lasak.. dan kini semakin berusaha utk berjalan..

insyaAllah.. masa sambut ulang tahun nanti.. adeq mampu berjalan laju..

Selamat Hari Lahir dari mama untuk anak kesayangan mama... semoga sayang menjadi seorang yang berilmu, beramal dan anak yg solehan..






Saturday, January 23, 2010

Ratu hatiku- Nik Aina Batrisya


Ini la buah hati aku...

ramai yg bertanya.. nape aku dah x update blogku... kalau ade pn pasal rencana ekonomi.. bosan la wani.. asyik rencana pasal tu je.. citerla pasal lain2... byk lg yg boleh tulis.. lgpn semua tu dh keluar kt paper la.

gtula.. adat dunia. kali ni aku nk citer pasal satu lg budaya org kita...bila kita bujang ramai yg tnya.. bila lg nk langsung.. bila dh kawin pk.. bila nk dpt baby.. bila dh ade 1 org.. bila nk tambh jd 2,3,dan seterusnya la..

apapn bg aku itu semua terserah pd kuasa Allah!.. kalau dah ade rezeki.. aku terima seadanya.. lgpn ramai di luar sana yg x bernasib baik... maksud aku pasangan yg susah nk timang cahaya mata.

bercerita pasal nk tambah ahli keluarga ni.. rasanya not yet... sb aku x bersedia fizikal dan mental lg.. rasa loya, muntah, pening kepala dan semua kesusahan sebagai ibu mengandung ni masih belom hbis lg...

bayangkan selama 9 bln 10 hari.. aku mengalami alahan.. sampaikan hari nk bersalin pn aku sempat muntah lg.. alahai.. nasibku..

tp walapun aku terpaksa mgalami muntah2.. aku sgt bertuah kerana tidak mengalami saat2 geting semasa bersalin... ye la.. pengalaman setiap wanita itu berbeza.

lgpun itu adalah anugerah yg tidak ternilai... inilah pengalaman aku yg dpt digambarkan dgn kata2..

bila org tgok Aina dh membesar...ramai pk yg bertanya.. bila nk tambah 1 org lg. aku rasa apa yg aku nk sekarang adalah... bina keluarga yg bahagia..

tentang adik Aina... biarlah Allah yg tentukan...







Saturday, January 16, 2010

Pasar Tani


Anjakan imej usahawan tani
Pengenalan Karavan Pasar Tani

bantu pembentukan ekonomi berpendapatan tinggi


KERAJAAN berhasrat untuk mengurangkan 50 peratus kebergantungan negara terhadapimport makanan bernilai RM28bilion tahun lalu kepada RM14 bilion setahun dalam usaha menjimatkan pengaliran wang keluar.

Langkah itu membantu pembentukan ekonomi seiring model berpendapatan tinggi bagi meningkatkan pendapatan golongan petani, nelayan dan penternak.

Sejajar usaha itu, pasar tani diperkenalkan sebagai medan pertemuan pengeluar dan pengguna yang menjadi salah satu institusi pemasaran utama negara.

Pasar Tani dilancarkan pada 31 Januari 1985 oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) ke arah usaha memperkasakan pemasaran produk pertanian dan industry asas tani di seluruh negara.

Setelah 25 tahun beroperasi, bilangan Pasar Tani mencecah 356 tapak dengan penyertaan seramai 16,260 usahawan dan unjuran nilai jualan RM500 juta setahun.

Ketua Pengarah Fama, Datuk Mohamed Shariff Abdul Azizberkata, melalui perangkaan itu, Pasar Tani boleh dianggap pasar raya terbesar di Malaysia.

“Pembangunan diteruskan melalui konsep baru seperti Pasar Tani Kekal, Pasar Tani Desaraya, Terminal Makanan Negara (Teman) dan Karavan Pasar Tani.

“Kami menjangkakan peningkatan sehingga 500 tapak, 40,000 usahawan pada akhir 2010 seperti dalam rancangan Malaysia Ke-10,” katanya kepada Sinar Harian.

Pasar mudah alih Pasar Tani kini bercirikan mudah alih dengan suasana karnival, menggariskan dua matlamat utama dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai penyumbang kepada pembangunan ekonomi.

Berdasarkan kaedah itu, Shariff berkata, Fama akan memperluaskan pasaran hasil pertanian dengan member peluang latihan kepada usahawan tani.

Fama juga memberi peluang kepada pengeluar menjual hasil lebih sempurna melalui persembahan barang lebih menarik dan perkhidmatan lebih selesa.

Beberapa objektif ditetapkan antaranya, Pasar Tani akan digunakan sebagai medan untuk memperkenalkan keluaran pertanian atau barang keluaran terbaru.

Ia bertujuan menggalakkan pengguna mengamalkan konsep tawar menawar dan mengurangkan pergantungan kepada orang tengah.

Pasar Tani turut meningkatkan pendapatan petani dengan menggalakkan mereka menceburi bidang pertanian melalui pendedahan konsep pemasaran.

Bagi memastikan ia dilaksanakan, konsep Pasar Tani terus diberi suntikan baru dengan membuka penyertaan kepada usahawan tani.

“Ini membabitkan petani, penternak, nelayan termasuk usahawan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

Shariff berkata, keunikan itu menunjukkan Pasar Tani terus diterima masyarakat dan imej itu diteruskan melalui pengenalan Karavan Pasar Tani.

“Pasar tani bergerak atau ‘karavan’ adalah kaedah baru memudahkan hasil keluaran petani dipasarkan terus kepada pengguna setiap hari,” katanya.

Konsep karavan bukan sesuatu yang baru kerana ia sudah diperkenalkan di serata dunia seperti England, Jepun, Amerika Syarikat, China, Itali dan Perancis.

Namun, ia masih baru bagi pelaksanaannya di Malaysia kerana ia baru sahaja dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada November lalu.

Shariff berkata, Karavan Pasar Tani adalah konsep baru bagi membantu usahawan memasarkan hasil pertanian secara bergerak.

Penggunaan sistem itu akan memasarkannya kepada pengguna lebih cepat melalui persembahan produk lebih baik dan bermutu pada harga lebih kompetitif.

Konsep terdiri daripada empat kategori komoditi seperti sayur dan buah, ayam, daging dan ikan, produk industri kecil dan sederhana (IKS) serta makanan.

“Ia membabitkan kos RM70,000 meliputi pengubahsuaian, manakala RM5,200 untuk kerja mengecat dan penampalan pelekat.

“Van adalah milik usahawan, manakala model ditentukan Fama bagi memastikan tahap keseragaman dipatuhi,” katanya.

“Pasar Tani kini terbukti sebagai institusi pemasaran berjaya setelah melalui beberapa tahap perkembangan dan pemodenan.

“Perubahan ketara diperkenalkan ialah keseragaman penggunaan kanopi, alas meja, rak bertingkat, pakaian seragam.

Kini konsep Karavan lebih mudah dan dekat pengguna,” kata Shariff.

Anjakan itu meningkatkan taraf hidup dan Pasar Tani berjaya menjadikannya kerjaya, selaras hasrat kerajaan menjadikan pertanian sebagai perniagaan.

Hasil kajian Fama membuktikan peserta yang berniaga dua hingga tiga kali seminggu memperoleh pendapatan bersih berjumlah RM1,758 sebulan.

Ini membuktikan Pasar Tani mampu memberi impak positif terhadap peningkatan pendapatan peserta terutama membabitkan jualan daging dan hasil laut.

Walaupun pembangunan Pasar Tani begitu menyeluruh, katanya, wujudnya cabaran bagi penyimpanan stok seperti sayursayuran tidak bertahan lama.

“Cabaran itu sedikit-sebanyak menjejaskan mutu jualan kerana jika mengabaikan kualiti barangan,” katanya.

Mengenai cabaran lain, usahawan juga tidak berani memasarkan barangan dalam kuantiti yang banyak kerana bimbang berlaku lebihan.

Shariff berkata, sikap itu perlu dikikis berikutan permintaan terhadap barangan basah terutama sayur-sayuran tetap meningkat.

“Selain itu, usahawan turut mengalami kekurangan modal. Justeru, kami tidak menggalakkan usahawan menggunakan modal besar sehingga terpaksa berhutang kerana ia hanya menjejaskan perniagaan mereka.

“Melalui latihan dan bimbingan disediakan Fama, kebajikan usahawan akan dibantu bagi memajukan perniagaan mereka,” katanya.

Pasar Tani mempunyai kepentingan membabitkan masyarakat terutama golongan usahawan yang bersedia merebut peluang itu.

Beliau berkata, Fama menggerakkan pelbagai cara dengan pelbagai agenda dalam membentuk imej kepada Pasar Tani.

“Pendekatan Fama mungkin berbeza dengan pasar biasa, namun matlamatnya masih sama. Oleh itu, rebutlah peluang ini kerana faedahnya amat besar.

“Jika dulu, saranan itu memfokuskan usahawan tani sebagai golongan sasar, namun kini peluang turut disediakan untuk semua seperti usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) dan golongan muda,” kata Shariff.