Friday, March 25, 2011

Adabi terus pelbagaikan produk penuhi permintaan

Utamakan kualiti pikat selera pengguna

Bermula dengan dua produk kegunaan harian pada awal 1970an, siapa sangka produk peritis itu terus menjadi titik tolak kepada pengasasnya untuk mula mempelbagaikan produk bagi memenuhi pasaran semasa.

Nama Datuk Syed Manshor Syed Mahmood mungkin jarang didengar tetapi sumbangan dan peranannya dalam memajukan produk rempah ratus jenama Adabi tidak dapat dipertikaikan lagi.

Mengimbau sejarah produk jenama Adabi, Syed Manshor adalah individu pertama yang mengusahakan perniagaan itu dengan menjual tepung goreng pisang dan perencah nasi goreng di pasar basah sekitar Kuala Lumpur awal 70an.

Jenama Adabi dikeluarkan oleh Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, pengeluar rempah ratus dan makanan terkemuka di Malaysia.

Bercerita tentang sejarah, jenama dan falsafah yang cuba diketengahkan jenama itu suatu ketika dahulu dijual tanpa menggunakan jenama dan kebanyakkan resipi dihasilkan ilham daripada ibu saudaranya. Dengan sambutan yang kian bertambah, beliau akhirnya mula memberi identiti kepada produknya.

Bermula 1984, jenama Adabi mula dikomersilkan secara agresif. Logo produk mula dibentuk; ekoran permintaan kian bertambah, kilang perngeluaran pertama dibina di kawasan perindustrian Batu Caves.

Sajian istana di zaman silam dipilih sebagai moto bagi memberi gambaran yang lebih jelas kepada produk sekaligus memberi kelainan bagi mencapai standard untuk tujuan eksport dan pasaran tempatan. Dari segi logo, semuanya lahir secara tidak sengaja dan tercetus ketika Syed Manshor melihat buku sekolah anak perempuannya. Logo itu dikatakan memberi gambaran tentang keunggulan rempah ratus masyarakat melayu di samping mengembalikan kegemilangan makanan dan sajian melayu sejak berkurun lama.

Melihat peluang dan pasaran yang kian stabil, Adabi terus mengorak langkah dan pada 1986 Adabi berpindah ke kilang yang lebih besar di Taman Perindustrian Kepong di samping kilang tambahan di Taman Perindustrian Ehsan dalam tahun 1990 dan 1992.

Langkah pengembangan Adabi diteruskan lagi apabila mempunyai premis pemilikan sendiri di Kawasan Perindustrian Rawang yang dibuka secara rasminya, 1996.

Sehingga kini, 80 hingga 90 peratus produk dikeluarkan menerusi kilang di Rawang, manakala produk sardin dihasilkan oleh kilang di Indonesia. Kawasan itu juga merangkumi gudang untuk penggumpulan stok, pusat pentadbiran serta penyelidikan dan pembangunan produk.

Kini, produk Adabi telah membentuk empat segmen yang terdiri daripada serbuk rempah ratus, pes, sos soya dan tepung campuran dengan tiga jenama dalaman seperti Adabi, Lazat dan produk terbaru berasaskan minuman, Asfa yang terdiri daripada minuman soya, asam jawa dan air mineral.

Sup Bunjut adalah produk yang paling laris dan setakat ini menguasai 90 peratus pasaran sup dalam negara.

Pengurus Pemasarannya, Adrian Roslan berkata, hampir semua produk keluaran jenama itu mempunyai nilai pasaran tersendiri dan bertahan sehingga kini kerana berkualiti, menepati citarasa dan keperluan pengguna.

“Akhir-akhir ini kami cuba permudahkan urusan suri rumah dengan memperkenalkan produk yang ringkas tetapi masih mengekalkan rasa dan kualiti,”katanya.

Menurutnya, tahun ini syarikat berhasrat memperkenalkan tujuh lagi produk baru selaras mengekalkan penguasaan pasaran menjadi jenama pilihan nombor satu pengguna Malaysia.

“Salah satu produk baru yang bakal dikeluarkan adalah perencah rendang, perencah kari, ikan dan kurma yang saya fikir sesuai untuk kegunaan wanita yang sedang belajar memasak dan sentiasa sibuk dengan tugasan harian,”katanya.

Beliau berkata, syarikat pada kebiasaannya menggunakan pelaburan sehingga RM100,000 untuk pembangunan produk baru. Pelaburan itu mengambil kira hal-hal berkaitan penyelidikan, reka letak, dan pembungkusan.

Terkini, Adabi baru sahaja melancarkan produk minuman Asfa dan menyasarkan produk baru dalam segmen makanan dan minuman itu bakal menyumbang 15 hingga 20 peratus ke atas jumlah keseluruhan perolehan tahun ini. Bagi pasaran percubaan, 4,000 karton produk minuman itu telah diedarkan.

Adrian berkata, dari segi pecahan, jualan banyak dijana menerusi produk sos terutamanya kicap yang menyumbang antara 50 hingga 60 peratus ke atas perolehan, produk kunyit dari segmen kari pula sentiasa menunjukkan peningkatan antara 20 hingga 30 peratus ke atas jualan tahunan. Selebihnya, jualan diraih menerusi makanan dalam tin seperti sardin dan jagung yang mencatatkan RM24 juta jualan sepanjang tahun lepas.

“Kami mengunjurkan pertumbuhan jualan produk sedia ada tahun ini mencecah lima hingga enam peratus,”katanya.

Bagi tujuan pengembangan dan memastikan produk sedia ada tetap stabil, syarikat memperuntukkan RM12 juta sepanjang tahun ini untuk tujuan hebahan serta promosi dan keutamaan diberikan kepada produk-produk baru.Selain menempa nama dalam negara, jenama Adabi juga telah memikat rasa pelanggan negara jiran terutamanya Indonesia, Thailand, Singapura, China, dan memasuki pasaran Eropah dan Australia menerusi ejen.

Bagi pasaran Thailand, produk kari dan serbuk nasi goreng adalah produk pilihan utama. Di Indonesia pula, Tepung Goreng Pisang menjadi produk kesukaan ramai manakala rakyat Singapura lebih menyukai serbuk nasi goreng dan mee segera.

“Pasaran luar negara kini menyumbang 30 peratus ke atas perolehan dan syarikat akan berusaha mengekalkan pegangan itu melalui ejen jualan luar negara terutamanya di United Kingdom dan London,”katanya yang menyasarkan pertumbuhan 10 peratus ke atas bahagian itu tahun ini. Adabi mencatatkan jualan keseluruhan bagi 2010 sebanyak RM288 juta.

No comments:

Post a Comment

thnks for your comment...