Wednesday, September 28, 2011

GETSB lancar pelan perlindungan untuk muslim


Fokus utama kepada jemaah haji dan umrah


Salihuddin (dua, kanan) bersama barisan Pengarah Eksekutif GETSB ketika melancarkan produk i-Great Amal, di Kuala Lumpur.

Great Eastern Takaful Sdn Bhd (GETSB) optimis produk terbaru, i-Great Amal, pelan yang menfokuskan kepada perlindungan ketika ditimpa musibah semasa mengerjakan ibadah haji dan umrah mampu menarik 30,000 hingga 50,000 pemegang polisi insurans baru menjelang 2012.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamad Salihuddin Ahmad berkata, pelan ini mempunyai kelebihan tersendiri kerana sekiranya berlaku kematian jumlah perlindungan asas daripada Dana Tabarru’(dana kumpulan) dan se jumlah caruman yang ada di dalam akaun individu peserta akan dibayar sepenuhnya untuk mengurangkan beban kepada keluarga.

“Dengan keistimewaan yang ada, kami jangkakan produk ini mampu menyumbang RM25 juta hingga RM30 juta kepada jumlah keseluruhan caruman bagi tempoh 14 bulan akan datang,”katanya pada sidang media sempena pelancaran produk i-Great Amal di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, i-Great Amal adalah produk berlandaskan syariah dan konsepnya tidak disalin daripada mana-mana pelan terutama insurans jenis konvensional.

“Kami memahami keperluan terutama insurans untuk umat Islam, jadi dengan adanya pelan ini ianya diharap dapat memberi kesedaran kepada golongan tersebut untuk membuat caruman sebagai persediaan pada masa hadapan,”katanya apabila GETSB bakal melancarkan beberapa pelan baru untuk tujuan pendidikan tidak lama lagi.

GETSB memulakan operasi secara rasmi pada 10 Oktober 2010 dan telah memperkenalkan dua pelan iaitu i-Great Damai dan i-Great Abadi. Kedua-dua produk itu telah menyumbang RM12 juta keatas jumlah keseluruhan caruman dan mempunyai 5,000 pemegang polisi.

“Kami jangkakan sehingga akhir tahun depan, kedua-dua produk itu akan menyumbang RM80 juta hingga RM90 juta kepada jumlah keseluruhan caruman sejajar memenuhi matlamat GETSB untuk menjadi antara lima penyedia insurans piihan di Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang, ”katanya.



No comments:

Post a Comment

thnks for your comment...