Wednesday, June 29, 2011

Jualan model Vios dijangka cecah 30,000 tahun ini



Kumpulan UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMW Toyota) menyasarkan jualan model Vios akan mencecah 30,000 pada keseluruhan tahun ini.

Presidennya, Ismet Suki berkata, Toyota Vios muncul sebagai kenderaan paling laris bagi katogeri kenderaan bukan nasional dengan purata jualan 3,000 setiap bulan.

Menurutnya sejak diperkenalkan pada 2003, hampir 200,000 unit Toyota Vios telah dijual di Malaysia. Pada 2010, kenderaan itu telah merekodkan kenaikan 15 peratus daripada 33,700 unit pada 2009.

“Toyota Vios mendapat sambutan menggalakkan kerana memberi lebih nilai wang, menawarkan penggunaan bahan api yang berekonomi, bergaya dan berprestasi baik,”katanya selepas melancarkan variasi Vios 1.5G edisi terhad baru di Seri Kembangan, semalam.

Beliau berkata, pengenalan Toyota Vios baru menunjukkan komitmen Toyota dalam memenuhi keperluan pelanggan di samping mengekalkan kedudukan sebagai pengeluar kenderaan bukan nasional paling popular di negara ini.

Vios baru ini dijual pada harga RM89,000 dan didatangkan dengan tempoh jaminan pengeluar selama tiga tahun. Sejak tawaran dibuka 23 Mei lalu tempahan diterima telah mencecah 2,000 unit.

Ismet berkata, Vios bukan sahaja popular di Malaysia tetapi mendapat sambutan di lebih 16 negara lain seluruh dunia. Di Malaysia, pengeluaran model Vios secara keseluruhan adalah 33,000 daripada 94,000 pengeluaran keseluruhan kenderaan Toyota.

“Tahun ini kami berhasrat untuk mengeluarkan 94,000 unit kerana berkeyakinan penuh dengan kemampuan berdasarkan 90,000 pencapaian pengeluaran tahun lalu,”katanya.

No comments:

Post a Comment

thnks for your comment...