Friday, March 25, 2011

KK Group beri tumpuan kepada semua segmen perniagaan

Mempelbagaikan pelaburan untuk pembangunan lebih mapan

Di bangunkan sejak 2007 lalu, salah sebuah anak syarikat dalam KK Group Of Companies, KK Home Deco Sdn Bhd, kini mencipta nama yang tersendiri dalam pemasaran barangan dekorasi dan perhiasan rumah.

Pengerusinya, Datuk Dr Douglas KK Chai berkata, KK Home Deco pada ketika ini muncul sebagai pusat sehenti barangan deco kerana menghimpunan kepelbagaian barangan penjagaan hiasan dalaman rumah seperti seramik dan porselin di samping kelengkapan decorasi untuk peralatan hiasan dan kecantikan rumah.

“Kami bangunkan perniagaan itu bukan sahaja untuk jualan runcit tetapi menggalakkan belian secara borong mengikut keperluan pelanggan,”katanya ketika ditemui Sinar Harian di Ibu Pejabatnya di Desa Petaling, Kuala Lumpur.

Dalam tempoh tiga tahun perniagaan, KK Home Deco kini mempunyai 12 cawangan di seluruh negara dan dalam perancangan untuk membuka dua lagi cawangan baru sekitar Lembah Klang tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jeff Lee berkata, produk yang dijual di sini mempunyai konsep yang tersendiri dan fokus utama yang diberi perhatian adalah corak Inggeris tetapi turut ditampilkan corak moden dan atas permintaan pelanggan kebanyakkan corak disesuaikan mengikut masa dan rumah pelanggan.

“Konsep itu pada ketika ini menjadi pilihan utama pelanggan dan kami sedang mencuba untuk menampilkan beberapa konsep baru yang lebih moden dan bergaya tanpa meniru semuanya daripada luar negara,”katanya.

Menurutnya, KK Home Deco sendiri mempunyai kilang di China dan kesempatan itu digunakan oleh syarikat untuk menentukan sendiri tentang corak dan warna bukanya di copycat daripada mana-mana pihak.

“Menerusi kilang yang mampu mengeluarkan rekaan sendiri, produk kami ternyata dapat memikat hati pengguna yang kini mempunyai 27,000 ahli setia sejak kad keahlian diperkenalkan pada 2008 lalu,”katanya yang juga menyasarkan jumlah itu akan meningkat sehingga 100,000 sehingga akhir tahun ini.

Katanya, pengenalan kad keahlian itu memberi banyak kelebihan kepada pelanggan yang berfungsi membantu mereka dari segi khidmat nasihat, maklumat tentang produk dan tawaran promosi baru serta layak menikmati potongan.

Cawangan KK Home Deco yang menjadi kunjungan ramai ketika ini adalah dua di Nilai3, Ampang, Kajang, Ipoh, Shah Alam, Pandan Prima, Melaka, Wangsa Maju, Kota Damansara, Jalan Tunku Abdul Rahman Kuala Lumpur dan Kota Bharu.

Selain berjaya membangunkan pusat sehenti barangan perhiasan rumah, salah satu anak syarikat yang mencipta nama dalam KK Group of Companies adalah KK Super Mart.

KK Super Mart. adalah anak syarikatnya yang terlibat dalam operasi kedai peruncitan 24 jam, dan akan dikembangkan secara francais tahun ini.

Chai berkata, sejak diperkenalkan pada Jun 2001, KK Super Mart dibangunkan sepenuhnya oleh kumpulan dan kini memiliki 62 cawangan di seluruh negara.

“Menjelang Februari nanti, jumlah cawangan itu akan bertambah kepada 65 dan kami masih menumpukan kawasan Lembah Klang dan bandar-bandar utama sebagai lokasi pilihan,”katanya apabila baru sahaja membuka cawangan terbaru di i-city, Shah Alam pada Disember tahun lalu.

Menurutnya, pasaraya itu kini menawarkan lebih 9,000 produk pelbagai segmen dan pelaburan awal yang diperlukan untuk membangunkan sesebuah cawangan mencecah RM300,000 hingga RM500,000 bergantung pada saiz dan keluasan serta lokasi kawasan.

“KK Super Mart adalah mercu tanda syarikat dan muncul sebagai penyumbang terbesar kepada perolehan yang mencecah 70 peratus, selebihnya menerusi beberapa anak syarikat lain,”katanya yang berhasrat menjadikan pasaraya itu sebagai salah satu pemain utama dalam menyediakan fasiliti bagi kemudahan semua pihak.

KK Group Of Companies mempunyai lebih 30 anak syarikat yang terlibat secara langsung dalam jualan kedai makan, kopitiam, aksesori kereta, fesyen, penjagaan badan dan kulit, pembuatan, penyediaan pengawasan, serta pembinaan dan pembangunan.

Kumpulan itu kini sedang merancang untuk mempelbagaikan pelaburan demi pembangunan menyeluruh. Chai berkata, pelaburan utama yang difokuskan pada tahun ini adalah menambah cawangan galeri jualan barangan seramik dan porselin, seni hiasan rumah KK Home Deco, di samping menambah baik beberapa anak syarikat lain.

“Penambahan cawangan bukan fokus utama kepada kami tetapi kami mengutamakan kualiti bagi memberi kepuasan dari segi produk kepada pelanggan agar rekaan dan barangan yang kami jual seiring peredaran semasa,”katanya yang belum merancang untuk menambah cawangan baru di Kota Bharu walaupun mendapat permintaan untuk berbuat demikian.

Katanya, RM1 juta hingga RM1.5 juta diperuntukkan sebagai pelaburan bagi menubuhkan cawangan baru dan perniagaan itu ternyata telah memberi impak yang besar keatas syarikat apabila turut menerima permintaan dari negara Arab, Brunei dan Singapura.

Beliau berkata, bagi memenuhi permintaan yang kian bertambah, syarikat bercadang untuk membuka cawangan di Johor sekaligus memberi manfaat untuk kemudahan warga Singapura.

“Cawangan KK Home Deco yang bakal dibina di negeri yang berhampiran dengan negara jiran adalah serampang dua mata kami bagi meluaskan pasaran contohnya, di Sabah dan Sarawak sudah pasti dapat menarik perhatian pelanggan di Brunei,”katanya yang juga berminat membuka kawasan di Utara.

Katanya, kumpulan juga turut memberi tumpuan kepada beberapa anak syarikat lain antaranya sedang membangunkan hotel yang bakal dibuka di Kajang tiga bulan dari sekarang.

Selain itu, menerusi bahagian kilang pembuatan, produk kecantikan untuk tujuan eksport akan dikeluarkan tidak lama lagi. Usaha yang sama juga diteruskan dengan menubuhkan akademi kecantikan dan mengeluarkan produk sendiri. Bahagian lain seperti perkhidmatan automotif dan aksesori juga tidak dilupakan.

“Kami akan giatkan usaha dalam memantapkan operasi perniagaan kami ke arah yang lebih tinggi setelah sebahagian besar perolehan kini disumbangkan oleh KK Super Mart (70 peratus), manakala selebihnya oleh lain-lain anak syarikat termasuk KK Home Deco (15 peratus),”katanya.

No comments:

Post a Comment

thnks for your comment...