Friday, March 25, 2011

Nasi kandar bukan lagi makanan orang utara sahaja

Kekal resipi rahsia tarik ramai pelanggan

Mempertahankan rasa bersama kualiti bukanlah suatu perkara mudah, bagaimanapun, disebabkan sokongan peminat yang ramai, resipi nasi kandar yang diperkenalkan Restoran Pulau Pinang Kayu Nasi Kandar Sdn Bhd tetap popular. Boleh dikatakan setiap hari hampir semua cawangan menjadi tumpuan ramai.

Ramai berpendapat, perniagaan yang dimulakan sejak awal 60-an itu terus mendapat tempat di hati peminat dan penggemar nasi kandar disebabkan kelazatannya tetap sama walaupun tukang masaknya silih berganti.

Kini jenamanya terkenal bukan sahaja di Utara malah menular ke pelusuk negara dan dinikmati oleh semua lapisan pelanggan bukan sahaja masyarakat melayu bahkan semua bangsa menyukainya.

Menyingkap sejarah kedatangannya, nasi kandar diperkenal oleh pendatang India muslim yang berhijrah ke negara ini dan ianya begitu sinonim dengan Pulau Pinang. Suatu ketika dahulu, popularitinya hanya tertumpu di Pulau Pinang tetapi kini merata ceruk dan hampir keseluruhan bandar di negara ini mempunyai restoran yang menjual nasi kandar.

Jadi tidak hairanlah perniagaan itu semakin berkembang dan peluang perniagaanya juga terbuka luas apabila jenis perniagaan itu diluaskan secara pemberian lesen dan francais. Malah hotel-hotel bertaraf lima bintang juga turut menyajikannya melalui pelbagai promosi yang sering dianjurkan.

Bagi nasi kandar jenama Kayu Nasi Kandar, perniagaan itu buat pertama kali dipasarkan di luar Pulau Pinang pada 1964 oleh Mohamed Mydin Yusof, pakar tukang masak terkemuka yang juga pemilik kepada perniagaan itu. Pada masa itu, urusniaga berlangsung di sebuah gerai di kawasan SS2, Subang Jaya dan Petaling Jaya.

Perusahaan itu seterusnya ditingkatkan dengan tertubuhnya restoran menggunakan nama Ajmir Restoran. Seperti kelaziman, perniagaan itu kemudiannya diwarisi pula kepada anak lelakinya, Sirajudin Y. Mohamed Mydin yang kini bergelar Ketua Pegawai Eksekutif bagi mentabdir keseluruhan perniagaan itu.

Sirajudin yang mempunyai minat mendalam dalam perniagaan itu kini menerajui perniagaan itu bersama lapan anak syarikat pelbagai cabang niaga sekaligus mendorong memberi lebih peluang kepada jenama itu untuk memikat selera masyarakat luar, terutamanya Eropah.

Di bawah pengurusan Sirajudin, Restoran Kayu Nasi Kandar, mengunjurkan perolehan tahunannya meningkat 50 peratus berbanding tahun lalu bagi operasi tahun ini.

Katanya, syraikat optimis mampu menjana perolehan seperti yang dijangka kerana sepanjang operasi tahun lalu, syarikat mencatatkan perolehan mencecah RM1.1 juta. Prestasi itu menjadi lebih yakin apabila sudut pemasaran yang menjadi faktor utama akan digerakkan sepenuhnya.

Menurutnya, bidang pemasaran yang akan diberikan tumpuan adalah katering, penghantaran makanan, pengeluaran rempah ratus jenama sendiri bagi pasaran dalam dan luar negara serta peluasan pasaran makanan panas dan sejuk beku selain merancang membuka tawaran untuk penyertaan francais.

Sirajudin berkata, kajian terhadap francais telah dilakukan tetapi perlaksanaannya tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Rempah dan sos akan berada di pasaran tidak lama lagi,manakala makanan sejuk beku seperti roti canai, dan empat jenis makanan lain pula, akan dipasarkan di London pada Mei ini dengan 2,000 paket sehari sebagai pasaran percubaan,”katanya ketika ditemui di Ibu Pejabatnya, di Taipan, Subang Jaya.

Beliau berkata, dalam mengukuhkan pasarannya dalam negara, syarikat merancang untuk membuka satu cawangan baru di Taman Molek, Johor Bharu, pada Februari tahun ini.

“Penambahan cawangan adalah satu pelaburan jangka panjang yang menunjukkan kami sentiasa peka dengan permintaan pelanggan dan RM500,000 diperuntukan untuk tujuan itu,”katanya yang minat berniaga sejak kecil lagi.

Sirajudin berkata, cawangan itu adalah yang kesembilan setelah perniagannya mula mencipta nama sejak 1997 dengan pembukaan cawangan pertama di Subang USJ menerusi pernigaan yang diwarisi arwah bapanya.

Kayu Nasi Kandar kini mempunyai tujuh cawangan di Lembah Klang. Antara yang sering menjadi tumpauan ramai adalah di Giant Shah Alam, Tesco Mutiara Damansara, IOI Puchong dan satu di Pulau Pinang.

Selaras mengembangkan perniagaannya, beliau berkata, syarikat juga mengalu-alukan penyertaan badan korporat dan orang ramai untuk menjadi rakan kongsi bagi membekal bahan mentah seperti sos dan rempah ratus selain menyediakan perkhidmatan 24 jam katering untuk pelbagai tujuan, seperti majlis perkhawinan, jamuan makan dan bersahur.

Bagi memastikan operasi perniagaan berjalan lancar, beliau berkata, syarikat akan memperkenalkan dapur bersepadu yang mampu mengurangkan 30 peratus kos operasi.

“Dapur itu akan memastikan makanan sama ada yang disediakan di restoran mahupun penghantaran terus agar kualiti makanan terjaga dan sentiasa panas dan segar. Pada waktu ini, operasi itu telah dipraktikkan di dapur ibu pejabat di Subang Jaya,”katanya yang menyediakan antara 30 hingga 36 menu masakan setiap hari dengan menjadikan roti canai, murtabak, nasi kandar dan Tosei sebagai menu wajib setiap hari.

INFO:

  1. Nasi kandar adakah satu hidangan utara Malaysia yang popular, dan berasal dari Pulau Pinang. Ia satu hidangan nasi kukus yang disajikan dengan kepelbagaian kari dan hidangan sampingan.
  2. Perkataan nasi kandar, muncul sewaktu penjaja nasi menjinjing (mengandar) tiang yang menggantung dua bekas nasi. Nama itu kemudiannya kekal sehingga ke hari ini. Kini perkataan nasi kandar pada kebanyakan restoran Tamil Islam atau "Mamak Malaysia" dan gerai hidangan India Muslim.
  3. Nasi untuk dijadikan nasi kandar biasanya diletakkan dalam bekas kayu kira-kira tiga kaki tinggi yang menghasilkan satu bau tersendiri. Hidangan nasi kandar dilengkapi oleh daging seperti ayam goreng, limpa kari, daging lembu, telur ikan, udang atau sotong goreng. Hidangan sayur itu biasanya adalah seperti terung, bendi atau peria. Satu campuran sos kari dituang pada nasi. Ini dipanggil 'banjir' (pembanjiran) dan menyampaikan satu rasa pelbagai pada nasi.
  4. Mengikut tradisi, nasi kandar selalu dihidangkan bersama hidangan sampingannya dalam satu pinggan. Namun dewasa ini, mangkuk melamina kecil adalah digunakan untuk hidangan sampingan. Apapun, campuran sos kari sentiasa dicurahkan terus pada nasi.






No comments:

Post a Comment

thnks for your comment...