Friday, March 25, 2011

Pak Hailam buka peluang francais


Langkah pengembangan agresif selain berhasrat meneroka pasaran luar

Sekilas pandang penampilan kopitam tidak ada bezanya dengan restoran lain, bagaimanapun, setelah beberapa tranformasi dijalankan ternyata ianya mempunyai kelebihan tersendiri baik dari segi keselesaan, kemudahan, mahupun menu.

Rangkaian restoran Pak Hailam Kopitiam bukan sebuah nama baru dalam

penyediaan makanan dan minuman. Paling menarik restoran ini adalah antara kopitiam pertama di Malaysia yang mempunyai sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Kami amat menekankan soal halal kerana kami faham ianya bukan berkaitan agama semata-mata, tetapi pelaksanaannya meluruh meliputi aspek kebersihan, penyediaan dan segala bidang kerja yang semenangnya penting bagi terus bertapak di negara yang populasi besarnya dikuasai oleh kaum muslim,”kata Pengurus Kanan Pembangunan Perniagaannya, Andy Phang ketika ditemuramah Sinar Harian, di cawangan Shah Alam.

Menurutnya, status halal itu juga banyak membantu Pak Hailam menepis tomahan kerana kebanyakkan operasi beberapa kopitiam lain suatu ketika dahulu dikatakan bercampur dengan unsur-unsur haram yang tidak sesuai bagi pelanggan muslim.

Keprihatinan itu seterusnya menjadi titik tolak kepada restoran itu untuk terus melebarkan sayap perniagaan dan sedang dalam perancangan meneroka beberapa negara jiran yang dijangka berlaku tahun depan.

“Negara-negara seperti Indonesia, Thailand, Vietnam dan Singapura adalah lokasi sasaran kerana faktor populasi dan persamaan citarasa, di samping mempromosikan makanan Malaysia ke luar,”katanya yang sedang mengalu-alukan penyertaan orang ramai sebagai francaisi.

Beliau berkata, penghijrahan ke luar negara akan dilaksanakan secara perlesenan dan francais bergantung kepada sambutan rakan niaga, keadaaan semasa dan turut disokong syarikat bersekutunya, kedai kek dan bakeri terkemuka sejak 1973, Kings Confectionary Sdn Bhd.

“Fokus pengembangan ke luar negara akan dijalankan secara berperingkat, kerana tumpuan tahun ini dikhususkan kepada penambahan sekurang-kurangnya lima cawangan baru,”katanya.

Andy berkata, cawangan baru pula bakal dibuka di luar Lembah Klang kerana tujuh cawangan yang ada ketika ini tertumpu sekitar ibu negara. Dua daripada cawangan itu kini dikendalikan secara francais.

Katanya, RM600,000 diperlukan sebagai modal pelaburan awal untuk membangunkan sesebuah cawangan baru.

“Modal itu pada kebiasannya akan digunakan untuk pembelian peralatan dan kelengkapan, deposit dan sewa, mencecah RM500,000, bayaran lesen selama lima tahun RM60,000, deposit stok RM60,000, dan kos latihan RM10,000,”katanya.

Bagi memastikan pengurusan penyediaan makanan berjalan lancer, syarikat membuat pengstrukturan dari segi penyediaan makanan. Semua makanan disediakan menerusi dapur yang berpusat di Kepong dan ia akan diedarkan kepada semua cawangan.

“Dapur pusat penting bagi memastikan setiap makanan terjamin dari segi kualiti dan diaudit mengikut standard-standard yang ditetapkan sekaligus mengurangkan kos output,”katanya.

Katanya, setiap cawangan mampu meraih RM200,000 jualan sebulan dan syarikat berharap mampu mengekalkan kestabilan itu menerusi kepelbagaian sajian makanan yang memenuhi citarasa semua kaum, bersama layanan mesra pengguna serta dekorasi yang mengekalkan budaya minum kopi masyarakat cina seperti yang diamalkan masyarakat dahulu ketika mula-mula membuka kopitiam.

“Walaupun perubahan demi perubahan namun kopitiam sentiasa menyimpan khazanah visual bersama budaya yang diasimilasikan dengan perubahan setempat,”katanya.

Bercerita mengenai sejarah penubuhan, Andy berkata, Pak Hailam Kopitiam adalah perniagaan keluarga yang dibangunkan oleh Wong seorang lelaki yang lahir di Wilayah Hainan, China. Pada usia enam tahun, beliau mula terlibat dengan kerja buruh bagi mencari sumber pendapatan untuk membantu keluarga.

Sewaktu kecil, Wong sudah menunjukkan sifat kepimpinan dalam dirinya apabila mengambil alih tugas ibunya menjaga adik beradik dan berkemahiran membancuh kopi dan teh.

Pada 1929 ketika usianya mencecah 17 tahun, Wong mula berhijrah ke Malaysia. Berbekalkan pengalaman dan kemahirannya dalam membancuh kopi, beliau membuka warung di Batu Arang, Rawang.

Perniagaan itu akhirnya mendapat sambutan yang baik, dan semakin hari semakin mendapat sambutan dan membentuk peminat tersendiri.

Beberapa tahun seterusnya, Wong mula mengatur strategi dengan mempelbagaikan rangkaian perniagaannya. Bermula daripada penjaja, beliau kemudiannya menjadi penanam sayur di samping terus mengasah bakat dan kemahirannya membancuh kopi dan teh lalu menubuhkan Hailam Special.

Dengan sokongan padu daripada rakan dan pelanggan setia, Wong akhirnya menukar nama kedainya kepada Hailam Kopitiam dan perniagaan itu semakin berkembang sehingga memaksa beliau berpindah ke kedai yang lebih besar di Jalan Sultan. Walaupun berubah tempat, beberapa menu lama dikekalkan.

Apabila usia semakin meningkat, Wong lebih senang disapa dengan panggilan Pak Hailam. Lama kelamaan, nama kedai itu juga berubah menjadi Pak Hailam.

Kini, kedai itu semakin maju dan berubah menjadi restoran membentuk rangkaian yang diuruskan oleh generasi kedua keluarga itu. Legasi itu semakin berkembang dan kini operasinya bukan secara perlesenan lagi tetapi berkonsepkan francais agar pertumbuhannya lebih cepat dan menyeluruh.

Pengembangan operasi restoran itu kini bertambah serius apabila melantik Datuk Misbun Sidek sebagai duta.

Bagi memberi lebih keselesaan kepada pelanggan, kemudahan jalur lebar tanpa wayar untuk kemudahan internet juga disediakan.

“Dengan pelbagai perubahan yang sediakan, kami bersaing secara sihat dan membentuk identiti tersendiri,”katanya.

Info:

1. Pak Hailam adalah antara kopitiam pertama di Malaysia yang mempunyai sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

2. Amat menekankan soal halal kerana faham ianya bukan berkaitan agama semata-mata, tetapi pelaksanaannya meluruh meliputi aspek kebersihan, penyediaan dan segala bidang kerja yang semenangnya penting bagi terus bertapak di negara yang populasi besarnya dikuasai oleh kaum muslim

3. Sedang dalam perancangan meneroka beberapa negara jiran yang dijangka berlaku tahun depan.

4. sedang mengalu-alukan penyertaan orang ramai sebagai francaisi bagi mengembangkan lagi perniagaan ini

5. Mempunyai tujuh cawangan setakat ini, dua daripada cawangannya dikendalikan secara francais.



No comments:

Post a Comment

thnks for your comment...