Friday, March 25, 2011

MPH tawar buku pelbagai genre


Berusaha untuk menyokong pembangunan intelektual masyaraka

Kewujudan kedai buku yang tidak asing lagi di negara kita, MPH Bookstores Sdn Bhd (MPH Bookstore) mempunyai sejarah yang tersendiri dan secara ringkasnya mula mencipta nama apabila pada 1928 Frank Sands mula memperkenalkan syarikat itu ke Singapura. Pada waktu itu, beliau bertindak sebagai pengarah kepada Malayan Publishing House. Aktiviti utama pada masa itu adalah tertumpu pada proses mengeluar, mengedar surat khabar, jurnal serta buku kesusateraan.

Selepas perang dunia kedua berakhir, beliau bangkit dan telah menukar nama Malayan Publishing House kepada Malaysia Publishing House dan pada 1963, beliau memulakan operasi sebagai pemborong buku.

Pada 1966, MPH telah mengalami masalah kewangan dan pemilikannya telah bertukar kepada pedagang Cina-Indonesia dan telah disubsidiarikan kepada empat bahagian iaitu MPH Books, Mph Printers, MPH Publication dan juga Lian Tak MPH yang berfungsi untuk mengeluarkan buku-buku latihan dan produk daripada kertas.

Syarikat itu kemudiannya bertukar pemilikan lagi apabila Jack Chia Holdings (Hong Kong) membeli MPH pada 1972. Di bawah naungan Jack Chia MPH Limited, MPH telah dibahagikan kepada beberapa bahagian merangkumi penerbitan buku, bahagian produk pengguna, perhotelan, dan perkhidmatan.

Seterusnya, pada 1990, seorang usahawan Singapura, Simon Cheong telah membeli MPH dan menukar nama MPH menjadi MPH Ltd pada Mac 2000.

Dua tahun kemudian, Inspirasi Jalinan Sdn Bhd, sebuah syarikat konglomerat milik Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary telah membeli MPH serta anak-anak syarikat yang bernaung atas nama MPH. Buat pertama kalinya, MPH menjadi sebuah syarikat yang sepenuhnya milik Malaysia.

Pada ketika ini, Jalinan Inspirasi dikenali sebagai Kumpulan MPH yang terdiri daripada Kedai Buku MPH (Malaysia & Singapura), MPH Distributor (Malaysia dan Singapura) dan MPH Printing dan MPH Publishing.

Sejarahnya berakhir di situ apabila MPH terus dikembangkan dan pada ketika ini memiliki 28 cawangan di seluruh negara. 18 daripadanya terletak di Lembah Klang, tiga di Johor, dua di Negeri Sembilan, masing-masing satu di Perak, Pulau Pinang, Melaka, Kedah dan Sarawak.

Pengurus kanan Operasinya, Zaffri Hassan berkata, 80 peratus perniagaan di kuasai oleh jualan runcit manakala selebihnya menerusi perniagaan atas talian dan pameran.

Kegemilangannya diteruskan lagi apabila pelbagai aplikasi baru diperkenalkan seiring peredaran zaman.

“Di samping cawangan, pelanggan boleh mendapat info berkaitan tawaran terbaru dan promosi produk baru kami menerusi web rasmi kami iaitu www.mphonline.com.

Beliau berkata, perkembangan arus bahan bacaan kini banyak yang berubah tetapi sebagai salah satu pemain utama dalam industri ini, MPH tetap menyusun strategi yang tersendiri.

Katanya, sejak dua tahun lepas, setiap cawangan MPH akan mempunyai satu sudut Mutiara Minda yang memuatkan bahan bacaan pelbagai genre dan ternyata pengajurannya berjaya mencapai sasaran.

“Kami cuba bangunkan satu sudut khas selepas melihat sambutan yang menggalakkan daripada pembaca melayu,”katanya apabila buku-buku bacaan bahasa Inggeris mendominasi terhadap sumbangan kepada perolehan dari segi jualan.

Zaffri berkata, bahan bacaan bahasa Inggeris kini menyumbang antara 80 hingga 95 peratus kepada perolehan.

Melihat situasi ini, Zaffri berkata, syarikat yakin, MPH akan terus menjadi pilihan dan sekaligus melonjakkan pertumbuhan syarikat tahun ini.

“Kami ingin mengekalkan pertumbuhan berganda sepanjang operasi tahun ini kerana sejak beberapa tahun kebelakangan prestasi jualan kami memberangsangkan,”katanya.

Katanya, hasrat itu bertepatan dengan visi dan misi MPH yang ingin menjana perkembangan dan pembangunan intelektual di kalangan masyarakat dengan menawarkan buku dan bahan bacaan berilmiah sekaligus memupuk budaya membaca untuk semua generasi.

Di samping itu, bagi mengembangkan lagi operasinya, syarikat, akan menaiktaraf beberapa cawangan sedia ada untuk keselesaan pelanggan.

“Cawangan yang berusia lebih 30 tahun beroperasi akan diberi nafas nafas baru seperti MPH di cawangan Bukit Bintang Plaza, Subang Parade dan Jusco Alpha Angle.

Beliau berkata, hasrat untuk menambah cawangan tetap ada dan masih dalam perancangan kerana sedang meneliti kesesuaian tempat menggunakan pelaburan antara RM100,000 hingga RM1 juta.

Contoh cawangan yang lengkap dan menggunakan pelaburan tinggi adalah cawangan di pusat membeli-belah Mid Valley.

“Kami ingin menerapkan konsep kedai buku untuk famili, jadi penelitian harus difokuskan pada demografi penduduk setempat agar bersesuaian,”katanya apabila kawasan pusat membeli belah dijadikan lokasi pilihan untuk membuka sesebuah cawangan.


Info:

1. MPH kini adalah syarikat milik penuh Inspirasi Jalinan Sdn Bhd, sebuah konglomerat milik Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang telah membeli MPH serta anak-anak syarikat yang bernaung atas nama MPH

2. MPH kini mempunyai 28 cawangan memiliki 18 daripadanya terletak di Lembah Klang, tiga di Johor, dua di Negeri Sembilan, masing-masing satu di Perak, Pulau Pinang, Melaka, Kedah dan Sarawak.

3. 80 peratus perniagaannya di kuasai oleh jualan runcit manakala selebihnya menerusi perniagaan atas talian dan pameran

4. Sejak dua tahun lepas, setiap cawangan MPH akan mempunyai satu sudut Mutiara Minda yang memuatkan bahan bacaan pelbagai genre dan ternyata pengajurannya berjaya mencapai sasaran.

5. Bagi mengembangkan lagi operasinya, syarikat, akan menaiktaraf beberapa cawangan sedia ada untuk keselesaan pelanggan.

6. Cawangan yang berusia lebih 30 tahun beroperasi akan diberi nafas nafas baru seperti MPH di cawangan Bukit Bintang Plaza, Subang Parade dan Jusco Alpha Angle.

No comments:

Post a Comment

thnks for your comment...