Friday, March 25, 2011

ETP pacu negara ke arah berpendapatan tinggi


Pelbagai program dirangka dalam memacu negara ke arah berpendapatan tinggi yang sekaligus menjadi langkah mudah untuk merelisasikan wawasan 2020 seperti yang dilhamkan Tun Dr Mahathir Mohamad suatu ketika dahulu.

Program Transformasi Ekonomi (Economic Transformation Programme atau ETP) adalah satu usaha komprehensif yang akan mentransformasikan Malaysia ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi.

Program itu dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, pada 25 Oktober 2010.

Kandungan pelan hala tuju itu merangkumi 12 bidang NKEA dan menyatakan secara terperinci butiran berkaitan 131 projek permulaan (EPP) dan 60 Peluang perniagaan (BO).

ETP diramalkan mampu meningkatkan pendapatan negara kasar (PNK) per kapita Malaysia daripada AS$6,700 atau RM23,700 pada 2009 ke lebih daripada AS$15,000 atau RM48,000 pada 2020.

Hal itu akan menjadi asas kepada usaha memacu kemajuan negara ke tahap yang sama dengan negara-negara berpendapatan tinggi yang lain. Perkembangan PNK sebanyak enam peratus setahun akan membolehkan Malaysia mencapai sasaran yang ditetapkan di bawah Wawasan 2020.

Pelaksanaan ETP yang berjaya akan menyaksikan ekonomi Malaysia berubah dengan ketara mirip negara-negara maju yang lain. Kerajaan akan meneruskan anjakan ke arah ekonomi berdasarkan perkhidmatan dengan menyaksikan sektor perkhidmatan berkembang dari 58 peratus ke 65 peratus pada tempoh yang sama.

Perdana Menteri dalam ucapan ketika membentangkan program itu menyatakan, lebih 3.3 juta pekerjaan baru merentasi kawasan bandar dan luar bandar negara akan diwujudkan menjelang 2020.

Ciri-ciri pekerjaan baru ini akan menyebabkan anjakan ke arah julat pendapatan sederhana dan tinggi. Greater Kuala Lumpur atau lembah Klang akan ditransformasikan kepada sebuah bandar raya bertaraf dunia.

Akhirnya, pertumbuhan akan dicapai dengan cara mampan dan tanpa kos kepada generasi akan datang melalui inisiatif-inisiatif seperti pembinaan kapasiti penjanaan tenaga alternatif dan pemuliharaan alam sekitar bagi mempromosikan ekopelancongan.

Program itu menyediakan fokus mantap pada beberapa enjin pembangunan utama 12 NKEA.

NKEA itu dijangka akan menyumbang dengan ketara kepada prestasi ekonomi negara, dan ia akan menerima keutamaan dalam pelaburan awam dan sokongan polisi. Sektor swasta akan menerajui ETP; manakala Kerajaan akan memainkan peranan utama sebagai fasilitator.

Sebahagian besar daripada pembiayaan akan datang daripada sektor swasta (92 peratus) dan pelaburan sektor awam akan digunakan sebagai pemangkin untuk memulakan penyertaan sektor swasta.

ETP berbeza dari program-program lain kerana ia menumpu pada tindakan bukan pada prinsip teori dan idea.

Terdapat 131 projek permulaan (EPP) yang menggariskan tindakan yang perlu diambil untuk mengembangkan ekonomi.

Satu pendekatan utama dalam peralihan kepada ekonomi berpendapatan tinggi adalah mengamalkan strategi berteraskan pengkhususan. Rancangan ini akan memberi tumpuan kepada 12 bidang ekonomi utama negara atau NKEA yang berpotensi untuk menjana pendapatan tinggi.

Selain daripada 11 sektor ekonomi, Lingkungan besar atau “Greater” Kuala Lumpur juga telah dipilih kerana ia berpotensi menjadi bandar bertaraf dunia yang boleh menjadi penggerak utama pertumbuhan ekonomi negara.

NKEA yang telah dikenalpasti adalah Minyak dan gas; Minyak sawit dan produk berkaitan; Perkhidmatan kewangan; Pemborongan dan peruncitan; Pelancongan; Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT); Perkhidmatan Pendidikan; Elektrik dan elektronik; Perkhidmatan perniagaan; Penjagaan kesihatan swasta; Pertanian; dan Greater Kuala Lumpur.

Mengikut laporan Bank Dunia, Malaysia kini berada pada kedudukan ke 23 teratas antara 183 negara di dunia dalam kecekapan urusan menjalankan perniagaan. Kerajaan percaya, Malaysia mampu berada di kedudukan antara negara ke-10 teratas menjelang 2015.

Hal tersebut bukanlah perkara yang mustahil kerana dalam tempoh satu tahun, kita telah berjaya berada antara sepuluh negara paling kompetitif di dunia seperti dilaporkan oleh Institute for Management Development. Apa yang dibanggakan, Malaysia adalah satu-satunya negara pertubuhan Negara islam sedunia (OIC) dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) yang tergolong dalam senarai ini. Namun begitu, kerajaan tidak akan berpeluk tubuh dan akan terus berusaha untuk meletakkan Malaysia di lima tangga terbaik dunia pada masa mendatang.


No comments:

Post a Comment

thnks for your comment...