Saturday, January 30, 2010

Kebanjiran Susu Import lahir Idea Biomil


Kebanjiran susu import lahir idea Biomil

Biotral terus bersaing walaupun syarikat asing terkemuka mendominasi pasaran susu formula



PASARAN susu formula di negara ini kebanyakannya didominasi syarikat asing dan terkemuka, namun ia diihat sebagai kelebihan kepada jenama

tempatan, Biomil.


Biotral Sdn Bhd, syarikat pengeluar Biomil yakin jenamanya akan diterima

masyarakat dalam dan luar negara berdasarkan kualiti dan permintaan.


Matlamatnya adalah membantu tumbesaran generasi akan datang menggunakan produk formula yang bersih, halal dan diyakini.


Pengarah Urusannya, Ishak Husin berkata, kebanjiran susu import yang menjadi sambutan ramai mendorong beliau untuk mencuba pasaran susu formula.


Menurutnya, susu adalah makanan awalan yang membentuk minda dan perkembangan anak-anak.


“Oleh itu, saya mencipta satu formula bagi memastikan ia berkualiti, selamat, berkhasiat dan mengikut prinsip Islam,” katanya kepada Sinar Harian.


Biotral memulakan operasi pada 2006 dengan modal permulaan sebanyak RM30,000 dan ada pihak berminat untuk menjadi pengilang kepada Biomil.


Ishak berkata, beliau ketika itu tidak yakin kerana takut untuk memulakan perniagaan, tetapi memandangkan modal itu rendah, namun ada pihak sudi memberikan bantuan.


Kian Joo Can Pack Sdn Bhd bersetuju untuk menguruskan pengetinan dan pengeluaran permulaan hanya mampu menghasilkan 2,000 tin.


“Saya tidak percaya ada pihak sanggup membantu. Dengan modal sebanyak itu, berapa banyak keluaran dapat dihasilkan,” katanya.


Walaupun berhadapan pelbagai masalah, namun Biotral berjaya mengeluarkan Biomil dan memasarkannya pada April 2006.


Beliau berkata, keluaran pertama Biomil adalah isian sebanyak 500 gram yang dijual pada harga RM19.90.


Bagaimanapun, ketika itu harganya agak mahal berikutan kenaikan harga susu dunia dan kebanyakan pengeluar bertindak menaikkan harga.


Oleh itu, katanya, pengguna sering membandingkan harga Biomil dengan jenama import.

Ishak berkata, ia menyebabkan beliau mengambil inisiatif baru.


“Konsep ini mengutamakan pengeluaran stok dalam kuantiti banyak dengan matlamat produk masih dibeli pengguna walaupun dalam kuantiti kecil.


“Secara tidak langsung, kami dapat menangani masalah stok, malah berupaya memperoleh margin barangan pada kadar lebih tinggi,” katanya.


Konsep itu berjaya dan terus mengembangkan perniagaan dan sehingga kini beliau sudah membelanjakan RM2 juta melalui modal sendiri dan pembiayaan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).


Katanya, perkembangan paling ketara pada 2008 dan 2009 sebagai platform pengembangan, manakala 2010 dijangkakan berkembang dua kali ganda.


“2009 menjadi pemangkin untuk terus berjaya pada 2010 kerana Biomil sudah menembusi 12 pasar raya besar di seluruh negara termasuk Brunei.


“Tahun ini dijangka lebih mencabar kerana produktiviti, kepakaran dan daya usaha perlu ditingkatkan bagi memenuhi pasaran,” kata Ishak.


Biotral kini memfokuskan pasaran luar dan produktiviti akan terus ditingkatkan meliputi pengeluaran, piawaian pengilangan, pembungkusan dan pengiklanan.


Ishak berkata, beliau akan menumpukan pasaran China dan Bangladesh dengan mensasarkan pengeluaran 16,000 tin susu sebulan.


“Saya yakin sasaran ini tercapai memandangkan pencapaian jualan tahun lalu mencecah RM1.3 juta membabitkan pengeluaran 2,500 tin sebulan.


“Berdasarkan prestasi itu, saya menjangkakan hasil jualan akan mencapai RM3 juta pada tahun ini,” katanya.


Strategi peluang menjadi pengedar


Bagi mencapai ke arah itu, katanya, beliau akan melancarkan strategi

menawarkan peluang menjadi pengedar.


Hanya berbekalkan modal minimum RM3,000, orang ramai berpeluang menjadi pengedar dengan sasaran 20 pengedar bagi setiap negeri.


Jumlah pengedar tidak akan dihadkan, tetapi individu perlu memastikan daerah itu tidak mempunyai pengedar lain bagi mengelakkan pertindihan.


Setakat ini, Biotral kini mempunyai 400 pengedar di seluruh negara.

Selain menyediakan peluang menjadi pengedar, Biotral mengukuhkan jualannya melalui promosi dan pengedaran pek percubaan.


Ishak berkata, beliau menyifatkan bajet untuk promosi dan pengedaran adalah dua perkara penting dalam memperkenalkan produk kepada umum.


“Pendekatan ini membantu kami melihat reaksi pengguna serta memberi panduan mengenai cara memilih produk berdasarkan bajet dan kualiti.


“Kami mahu mendidik ibu bapa dan kanak-kanak supaya tidak mudah terpedaya dengan iklan yang sekadar indah khabar dari rupa, ” katanya.


Selain menumpukan susu sebagai segmen utama, katanya, syarikat juga merancang untuk mengeluarkan satu jenama baru berasaskan biskut.


Beliau berkata, rancangan itu dijangka akan siap sepenuhnya pada pertengahan Januari ini sebagai revolusi syarikat mengembangkan perniagaan.


“Biskut akan menjadi perintis kepada produk sampingan kerana banyak lagi produk akan dikeluarkan pada masa akan datang,” katanya.


Bangun kilang sendiri


Biotral juga akan membangunkan kilang sendiri tidak lama lagi bagi menampung permintaan semakin meningkat.


Ishak berkata, sudah tiba masanya syarikat mengilangkan produk sendiri tanpa bergantung kepada pemborong sebagai orang tengah.


Menurutnya, kehadiran orang tengah banyak mendatangkan masalah terutama sikap dan halangan lain sekiranya peniaga ingin menjadi pemborong.


“Halangan membabitkan modal, keluasan lokasi sebagai stor penyimpanan stok dan kebanyakannya dikuasai pemborong bangsa asing.


“Saya juga tidak suka jika ada pemborong, tetapi adakah kita mampu memasarkan produk tanpa mereka yang berperanan menjadi penghubung,” katanya.


Sebagai altenatif, beliau berkata, syarikat menawarkan perkhidmatan jualan dalam talian bagi memudahkan pelanggan mendapatkan Biomil.


Mengulas lanjut, kemudahan itu memberi peluang kepada ibu bapa yang sibuk, namun barangan terus sampai ke rumah berdasarkan tempahan.


Dalam perkembangan lain, Biotral berusaha untuk bersaing dalam pasaran tenusu bagi mengeluarkan susu dalam bentuk cecair sedia diminum.


Rancangan itu bakal dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang apabila kilang dan mesin pemprosesan mencapai standard yang ditetapkan.


Ishak berkata, Biomil yang dikeluarkan dalam bentuk serbuk adalah susu lebih mudah dihasilkan berbanding produk tenusu berasaskan cecair.


“Walaupun perancangan ini dianggap biasa bagi pengeluar susu, tetapi saya melihatnya sebagai persaingan positif dalam memantapkan perniagaan dan

industri susu negara,” katanya.

No comments:

Post a Comment

thnks for your comment...