Bangunkan industri pelancongan lebih penting

Mohd Khalid


Bangunkan industri pelancongan lebih penting
Menerusi kepimpinan baru, Matta perlu fikir hala tuju demi kepentingan bersama

Lupakan mengenai kekalutan yang berlaku dalam Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta).

Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) persatuan itu baru -baru ini memilih Datuk Mohd Khalid Harun sebagai presiden baru. Dengan pengumuman itu, diharapkan ia dapat menyelesaikan konflik dalaman kepimpinan Mata yang ber lanjutan selama enam bulan.

Apa yang lebih penting adalah peranan Matta dalam membantu membangunkan industri pelancongan yang menjadi sumber kedua pendapatan negara.

Tahun lalu, Malaysia dikunjungi seramai 23.65 juta pelancong mengatasi sasaran 19 juta walaupun dilanda krisis ekonomi dan wabak Influenza A (H1N1). Namun, industri pelancongan turut terjejas berikutan krisis ekonomi dan memberi tempias kepada ejen pelancongan dan pengembaraan .

Antara lain mengenai peningkatan terhadap backpackers (pengembara jalanan) dan pengembara bajet persendirian.

Wartawan, SALWANI MD ZAIN menemui Mohd Khalid mengenai Matta dan persekitaran yang dihadapi ejen pelancongan dan pengembaraan ketika ini.

Kesan pengembara jalanan Mohd Khalid berkata, krisis ekonomi tidak dinafi kan sedikit sebanyak memberi kesan terhadap gaya hidup pelancongan dalam dan luar negara.

Bagaimanapun katanya, kesan paling ketara pada suku kedua 2008 menyebabkan bilangan orang ramai untuk untuk melancong berkurangan.

“Mereka lebih suka memilih pakej murah dan hanya melancong dalam waktu singkat selain kebimbangan terhadap H1N1,” katanya.

Ini menyebabkan banyak ejen mengambil inisiatif menyediakan pakej pada harga lebih rendah bagi mengelakkan mereka mengalami kerugian. Kebanyakan ejen terpaksa membuat penyelarasan harga kerana bimbang tiada pelancong mahu menggunakan perkhidmatan mereka.

Kerjasama bersama pihak lain seperti syarikat penerbangan dan hotel dipergiatkan supaya pakej yang ditawarkan tidak membebankan pelanggan.

Mohd Khalid berkata, kebanyakan pelancong terutama pengembara jalanan tidak menggunakan khidmat agensi pelancongan. Menurutnya, mereka lebih cenderung menggunakan internet sebagai sumber carian kerana ia difikirkan mampu menjimatkan kos pelancongan.

“Pengembara jalanan asing kini mempunyai inisiatif dalam mencari tempat penginapan, kemudahan dan tempat untu dikunjungi.

“Pengembara tempatan pula mereka menghadkan perbelanjaan menggunakan kemudahan sendiri dan mengunjungi kawasan terdekat sahaja,” katanya.

Trend itu dilihat menjejaska perniagaan agensi pelancongan kerana orang ramai akan mengurangkan kebergantungan mereka terhadap perkhidmatan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2010 mengumumkan peruntukan RM899 juta bagi melaksanakan pengisian program pelancongan ke arah peningkatan kualiti, infrastruktur dan pengiklanan.

Mohd Khalid berkata, peruntukan itu memberi nafas baru juga sebagai galakan kerana ekonomi pada 2010 melihat tanda pemulihan.

Beliau mencadangkan supaya kerajaan membuat promosi besar-besaran menerusi media cetak dan elektronik supaya penyampaian maklumat lebih jelas.

“Di Internet, orang hanya melihat yang tersurat, tetapi tersiratnya hanya boleh diperoleh apabila mereka menggunakan perkhidmatan ejen.

“Media juga perlu mengambil kesedaran itu memainkan peranan sebagai serampang dua mata dalam membantu usaha kerajaan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan turut dicadangkan supaya mengecualikan terhadap agensi pelancongan domestik dan luar negara yang membuat promosi secara bergerak.

Semua agensi menggunakan modal dan membuat promosi sendiri bagi menarik lebih ramai pelancong mengenai keindahan dan keunikan Malaysia.

Malaysia kurang agresif dari sudut promosi dan jika keadaan itu masih berlarutan, industri pelancongan negara akan terus menguncup.

Mohd Khalid berkata, wujud pelancong tidak mengenali Malaysia secara dekat sekali gus menyebabkan agensi pelancongan gagal membuat promosi.

“Agensi bukan mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata, namun melalui kerjasama, ia membantu memperbaharui industri pelancongan,” katanya.

Sebagai destinasi pilihan Penganjuran Pameran Matta dua kali setiap tahun disambut baik sebagai usaha mempromosikan Malaysia kepada dalam dan luar negara.

Ia dilihat sebagai salah satu pendekatan memperkenalkan Malaysia kepada negara luar dan penganjurannya berjaya menarik lebih ramai pelancong asing.

“Jumlah kedatangan pelancong tidak boleh dijadikan ukuran, namun apa yang lebih
penting mereka menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan,” katanya.

Malaysia kini menduduki tangga keempat dari segi kedatangan pelancong di Asia,
tetapi kelapan bagi destinasi pilihan pelancong.

Bagi menyokong industri pelancongan, semua pihak perlu membaik pulih kemudahan dan infrastruktur termasuk perkhidmatan.

Menurutnya, ia juga boleh dipertingkatkan dengan menstabilkan politik, ekonomi
dan sosial sekali gus mencerminkan imej baik kepada negara.

Selain Pameran Matta, katanya, program lain seperti konvensyen, mesyuarat,
persidangan dan acara sukan turut menyumbang kepada industri pelancongan.

“Kita tidak boleh paksa orang untuk melancong ke sini, namun kunjungan mereka disebabkan urusan atau acara lain sudah memadai,” kata Mohd Khalid.

Beliau turut mencadangkan supaya ahli Matta atau pengusaha berkaita memberikan kerjasama demi membangunkan sector pelancongan.

Mengenai perkembangan Matta, Mohd Khalid berkata, konflik dalaman itu tidak
seharusnya dijadikan alasan, namun mengutamakan hala tuju.

Ini turut membabitkan perancangan masa depan menguntungkan kerana matlamat beliau adalah menolong ahli denga memberikan kerjasama.

“Matta mempunyai hala tuju tersendiri ke arah perkembangan lebih sihat dalam kalangan ahli juga industri pelancongan.

“Sebagai presiden baru, saya berusaha untuk memperkasakan ahli dengan menyediakan kursuskepimpinan, motivasi dan kaunseling,” katanya.

Mohd Khalid berkata, ini termasuk usaha membaik pulih produk pelancongan bagi mewujudkan kepelbagaian dari sudut promosi dan pemasaran.

Perubahan bukan sahaja jelas tetapi berkesan sehingga mampu meningkatkan pengurusan dan perkhidmatan sesebuah agensi.

Beliau berkata, ahli juga berhak menyuarakan pendapat dan melakukan perubahan bagi mencari sesuatu yang baru bagi memantapkan perniagaan.

“Berdasarkan kerjasama dan perancangan rapi serta keadaan ekonomi yang semakin pulih, saya yakin sektor pelancongan akan menjadi industri terbesar, menyumbangkan kepada pendapatan negara,” kata Mohd Khalid.

Matta adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditubuhkan sejak 35 tahun lalu bertujuan membantu mempromosikan negara sebagai pusat pelancongan.

Ia kini dianggotai 2,800 ahli di seluruh negara dan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan dalam usaha menarik lebih ramai pelancong serta menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan.

Mohd Khalid berkata, Pameran Matta yang akan diadakan Mac ini mensasarkan peningkatan penyertaan 10 peratus berbanding tahun lalu.

“Kali ini, ia akan disertai beberapa negara membabitkan 893 gerai dan akan menjadi tumpuan lebih 80,000 pengunjung,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

Azmy fokus pasaran domestik

Munchy’s giat cipta nama

Adabi terus pelbagaikan produk penuhi permintaan