Sunday, January 10, 2010

2010: Negara Ke arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi


Transformasi Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi Pendekatan inovasi, kreativiti dan nilai tambah mencapai hasrat negara 10 tahun lagi

TAHUN 2010 membuka lembaran baru kepada Malaysia membentuk sebuah negara lebih
kukuh apabila hasratnya untuk transformasi sebagai ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Bajet 2010 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggariskan tiga strategi utama sebagai asas kepada pembentukan model ekonomi baru untuk kemakmuran bersama.

Strategi itu akan memastikan pembangunan holistik dan mapan, mengutamakan
kesejahteraan rakyat serta memacu negara bagi mencapai hasrat itu dalam tempoh 10 tahun lagi.

Timbalan Pengarah Institut Tunas Mekar Tun Abdullah Ahmad Badawi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Profesor Dr Baayah Baba mempunyai pandangan tersendiri mengenai fokus bajet 2010.


Apabila memperkatakan
tentang negara pendapatan tinggi, perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah perubahan sikap dan budaya kerja masyarakat.

“Negara pendapatan tinggi adalah sebuah negara yang mencerminkan mutu kerja dan produktiviti.

“Ini termasuk perubahan sikap kepada proaktif dalam memaksimumkan mutu kerja, namun persoalannya adakah masyarakat kita sudah bersedia untuk ke arah itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sikap sambil
lewa tanpa fokus di samping budaya melepak dan membuang masa semasa bekerja adalah faktor utama yang patut dikikis kebanyakan pekerja tempatan.

Ini kerana ekonomi negara saling berkait rapat dengan sektor perkhidmatan dan 58 peratus daripadanya menyumbang kepada pendapatan negara. Bidang tersebut mempunyai rantaian nilai tambah tinggi dan menjana pulangan besar merangkumi bidang pelancongan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kewangan dan perbankan Islam serta industri halal.

“Sebagai langkah terbaik, kerajaan boleh membawa masuk kepakaran asing terutama dalam bidang akademik atau menggalakkan kemasukan pekerja mahir sebagai usaha melahirkan kumpulan pekerja berwibawa dan dedikasi.

“Saya bukan tidak yakin dengan kesungguhan pekerja kita, tetapi kebanyakannya kurang menumpukan produktiviti, manakala mutu persembahan kerja kurang memuaskan,” katanya.

PNK aset penting Baayah berkata, perkara itu tidak hanya mempengaruhi tahap kepakaran negara, tetapi melaluinya pendapatan negara kasar (PNK) turut terjejas. Kini PNK pada paras RM25,291, terlalu jauh dengan sasaran RM76,419 menjelang 2020 untuk muncul sebagai negara berpendapatan tinggi.

Oleh itu, negara
memerlukan sekurangkurangnya pendapatan berjumlah RM40,096 bagi mencapai sasaran tersebut.

“Sebagai langkah bersepadu, kerajaan perlu mengambil pendekatan berpaksikan inovasi, kreativiti dan nilai tambah yang akan meningkatkan pendapatan per kapita rakyat sehingga dua kali ganda dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.

Berdasarkan jumlah tersebut, beliau berkata, PNK menjadi aset penting dalam menentukan kedudukan ekonomi negara.

“Jika situasi itu berterusan, ekonomi negara berada di persimpangan, sama ada ke arah berpendapatan tinggi atau sederhana,” katanya.

Baayah yang juga Pensyarah
Kanan di Jabatan Ekonomi, Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM berkata, kenyataan itu dibuktikan apabila pendapatan isi rumah dan pendapatan tahunan seorang rakyat ketika ini mencecah RM17,182.

Menurutnya, nilai itu begitu rendah untuk dijadikan ukuran sebagai petunjuk kepada ekonomi pendapatan tinggi. Bagaimanapun beliau berkata, ukuran tersebut tidak boleh dijadikan alasan kerana tumpuan kerajaan bukan semata-mata di situ.

“Ini kerana aspek lain masih perlu berjalan seiringan dan dikembangkan sewajarnya,” kata Baayah. Penglibatan sektor swasta secara meluas dilihat mampu menyokong ia menyumbangkan 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Justeru, pengurangan dari sudut pelepasan dan pengurangan cukai mampu menarik pelabur swasta menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama.

“Situasi ini mencetuskan persekitaran mesra perniagaan yang mengutamakan peningkatan pelaburan domestik untuk menggalakkan syarikat tempatan membawa pulang keuntungan dilaburkan dalam negara,” katanya.

Kemudahan untuk rakyat Baayah berkata, tumpuan juga harus diberikan kepada penyelidikan dan pengkomersilan produk supaya ia mencapai standard yang ditetapkan.

“Pada pandangan saya, adalah wajar sekiranya kerajaan menubuhkan pusat inovasi bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan sesuatu produk.

“Ini adalah kelebihan kepada usahawan bagi menaik taraf barangan membabitkan pembungkusan, penjenamaan dan penstrukturan melalui potongan cukai ke atas pendaftaran paten dan cap dagangan,” katanya.

Usaha itu sekali gus
mengangkat dan memperkasakan kedudukan usahawan dengan nafas baru bersama dana pinjaman RM8.8 bilion untuk tujuan itu.

“Ini adalah peluang yang membina struktur ekonomi negara ke arah berdaya saing dan saya nampak ia kemudahan kerajaan kepada rakyat,” kata Baayah.

Bajet 2010 memperuntukkan RM200 juta untuk Skim Pinjaman Mudah Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM100 juta untuk Skim Peningkatan dan Keupayaan PKS.

Mengenai manfaat melalui sektor pertanian pula, Baayah berkata, penaik taraf prasarana dan kemudahan infrastruktur pertanian menggunakan teknologi adalah perlu dalam usaha mengeluarkan hasil tanaman berskala besar.

“Pertanian adalah nadi ekonomi negara. Pengenalan teknologi baru bukan sahaja menggandakan hasil tetapi menjimatkan masa dan tenaga.

“Malah, ia dapat mengurangkan kebergantungan terhadap bahan import seperti beras dan sayur-sayuran,” katanya.

Menurutnya, cadangan kerajaan untuk mewujudkan konsortium bagi melaksanakan pelbagai projek membabitkan perkongsian teknologi, pengurusan perladangan, kerjasama perladangan dan kerjasama perniagaan harus digunakan sebaik mungkin.

Rancangan itu menunjukkan kerajaan tidak pernah mengabaikan bidang pertanian, malah sentiasa menyediakan ruang agar sektor itu berkembang seiring teknologi semasa.

“Ini adalah peluang rakyat dan gabungan petani, penternak dan nelayan akan mengubah dan mempercepatkan usaha kerajaan ke arah ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya.

Baayah berkata, pembangunan tidak boleh terhenti apabila aspek pembinaan menitikberatkan prasarana dan kemudahan awam harus dipertingkatkan.

Menurutnya, faktor itu penting bagi memastikan kunjungan pelancong asing kekal tinggi pada purata 2 juta orang sebulan.

“Malaysia kaya khazanah alam dan tempat menarik. Namun, kemudahan dan persekitaran tercemar kerana tiada pengurusan dan pemulihan bagi memastikan kemudahan itu dalam keadaan selamat dan terjamin,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu jika
tidak diatasi segera boleh memberi kesan kepada kemasukan pelancong asing yang kini meningkat 4.4 peratus daripada 15.4 juta orang berbanding 14.7juta orang pada 2008.

“Saya menyokong penuh ke atas usaha itu, namun dicadangkan supaya kerajaan perlu menangani kes jenayah seperti ragut, mat rempit dan budaya lepak dengan lebih tegas.

“Ini kerana keadaan itu
sekadar memberikan imej buruk kepada negara dan mengurangkan kedatangan pelancong,” katanya.

Menurutnya, kes jenayah bukan sahaja boleh menjatuhkan ekonomi negara, tetapi ia juga mendatangkan kesan buruk ke atas politik dan hubungan serantau.

“Kita boleh muncul sebagai negara berpendapatan tinggi sekiranya ekonomi, politik dan sosial negara dalam keadaan stabil dan terkawal.

“Ia bukan sesuatu yang
mustahil walaupun ekonomi negara dijangka akan berkembang pada kadar 2 hingga 3 peratus tahun ini,” kata Baayah.

No comments:

Post a Comment

thnks for your comment...