e-Mas memartabatkan gamat sebagai produk komersil
>Rancang tembusi pasaran luar negara lima tahun akan datang
Gamat E-Mas Sdn Bhd, pengeluar dan pemasar produk berasaskan gamat jenama e-Mas menyasarkan 20 hingga 30 peratus pertumbuhan jualan sepanjang 2010.
Pengarah Urusannya, Rosedy Issa berkata, permulaan suku pertama tahun ini telah menunjukkan peluang yang positif kerana bermula Januari 2010 hingga Mei 2010 pertumbuhan jualan kini mencecah 20 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
“2009 adalah tahun mencabar dan pertumbuhan jualan hanya mencecah 30 peratus, tetapi melihat tanda-tanda pemulihan ekonomi, syarikat yakin jualan mampu mencapai sasaran,”katanya ketika di temu ramah Sinar Harian di ibu pejabat Gamat Emas, di Cheras, Kuala Lumpur.
Menurutnya, melihat sambutan dan permintaan dalam dan luar negara, dari segi nilai jualan, syarikat menyasarkan purata jualan sehingga RM1.5 juta sebulan dan mampu mencecah RM20 juta hingga akhir tahun ini.
Sejajar mengembangkan jualan, syarikat menyasarkan bilangan stokis akan bertambah kepada 350 orang sebelum akhir tahun ini.
“Sebagai syarikat yang berteraskan perniagaan berbilang tingkat (MLM) kami memerlukan lebih ramai stokis dan setakat ini syarikat mempunyai 300 stokis di seluruh negara,”katanya.
Beliau berkata, RM5,000 adalah modal awal untuk menjadi stokis di setiap kawasan, dan dibezakan dengan 25 kilometer (KM) stokis berikutnya.
“Itu adalah strategi kami dalam mengekalkan persaingan sihat dan memudahkan pelanggan mendapatkan barangan,”katanya.
Rosedy berkata, stokis juga boleh memulang balik barangan kepada syarikat tertakluk kepada syarat dan peraturan sekiranya barangan tidak boleh dijual.
Beliau berkata, ke arah mencapai visi memartabatkan gamat sebagai wadah perjuangan dalam perniagaan, syarikat kini giat mengadakan latihan dan bimbingan kepada ahli baru.
Menurutnya, latihan itu adalah panduan asas bagi memudahkan ahli bergerak aktif dan yakin dalam memasarkan produk.
“Setakat ini kami mempunyai 70,000 di seluruh negara dan hanya 10 peratus kurang aktif,”katanya.
Selain itu menurutnya, syarikat telah meletakkan beberapa perancangan dalam memastikan lima tahun akan datang Gamat e-Mas muncul sebagai syarikat MLM terbesar di Malaysia.
Katanya, di bawah pelan itu, syarikat menyasarkan jualan akan mencecah RM300 juta hingga RM400 juta setiap tahun dan nilai perolehan berganda malah lebih setiap tahun.
“Itu adalah azam dan hasrat kami selain ingin membantu masyarakat menikmati kesihatan yang lebih bermakna,”katanya.
Gamat e-Mas juga berazam meluaskan penggunaan dan pemasaran dengan memperkenalkan gamat di persada dunia.
“Saya berhasrat untuk membawa gamat dan dipatenkan oleh negara asing tetapi masih mengekalkan khasiat dan warisannya,”katanya.
Gamat Emas Sdn Bhd di buka pada 1999 diuruskan seratus peratus bumiputera dan berjaya memasarkan 27 produk rangkaian gamat dan akan melancarkan tiga lagi produk baru tahun ini.
Selain pasaran dalam negeri, Gamat Emas juga turut dipasarkan melalui G-Health Pte. Ltd ke Singapura dan P.T Kiprah di Inonesia.
Comments
Post a Comment
thnks for your comment...