Friday, June 25, 2010

Sasar jualan RM100,000 tahun ini

Mh Mohd mula lebarkan perniagaan ke luar negara

Pengeluar, pengilang dan pembekal rangkaian penyedap rasa seperti sos cili, tomato dan kicap jenama Mh Mohd dan Fatina, M.H.Mohd Industries Sdn Bhd, menyasarkan jualan mencecah RM100,000 sepanjang tempoh 12 bulan akan datang.

Pengarahnya, Muhamad Yusof berkata, syarikat yakin dengan sasaran itu menerusi jualan runcit di seluruh pasaraya besar terutamanya, Tesco, Giant, dan Mydin seluruh negara.

Menurutnya, syarikat juga kini sedang meninjau peluang eksport ke luar negara terutamanya ke Amerika Syarikat, Rusia dan United Kingdom dalam masa terdekat.

“Kami optimis dengan sasaran kerana pada kebiasaan kami mengedar tiga kontena produk ke seluruh negara setiap bulan,”katanya ketika ditemuramah Sinar Harian sempena Pameran Halal Antarabangsa ke tujuh (Mihas) di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, jenama itu diperkenalkan buat pertama kali pada 1986 menggunakan modal serendah RM500 yang diusahakan secara kecil-kecilan di Tumpat, Kelantan.

Empat tahun kemudian, syarikat terus dikembangkan dan beliau membelanjakan RM5000 untuk membeli mesin bagi menampung permintaan yang kian bertambah.

“Selepas tahun 1990, jualan syarikat terus berkembang dan saya melabur kira-kira RM40,000 hingga RM50,000 untuk tujuan menaik taraf beberapa mesin,”katanya.

Beliau berkata, dengan kepakaran dan peralatan canggih, syarikat selepas itu memberi tumpuan pada aspek pembungkusan dan menambah bilangan produk.

“Sebelum ini kami hanya memberi tumpuan pada sos, tetapi kini kami naik taraf semuanya demi peningkatan mutu dan kualiti,”katanya setelah berjaya mengeluarkan 20 produk setakat ini.

Mohamad berkata, pada 1994, atas permintaan ramai, jenama Fatina diperkenalkan dan memfokuskan pada produk berasaskan sos.

Muhamad berkata, bagi mengukuhkan lagi perusahaan yang diusahakan bersama keluarga, Hazizah Hamat, syarikat membelanjakan lebih RM50,000 untuk tujuan pengilanan dan promosi meliputi media cetak, elektronik dan penyertaan dalam ekspo dan pemeran.

“Kami yakin dengan status halal yang ada, lebih mudah bagi kami melebarkan sayap perniagaan ke peringkat global,”kata Muhamad setelah usia perniagaannya kini mencecah 24 tahun.



No comments:

Post a Comment

thnks for your comment...