Tuesday, April 20, 2010

Affin Bank jangka buka lima cawangan baru tahun ini


Tumpuan diberi kepada bandar-bandar besar selaras usaha mengukuhkan perkhidmatan domestik



Affin Holdings Berhad menerusi cabang komersilnya, Affin Bank Berhad mensasarkan lima cawangan baru akan dibuka menjelang hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zulkiflee Abbas Abdul Hamid berkata, Affin Bank memperuntukan kira-kira RM500,000 untuk setiap cawangan tersebut.


Menurutnya, setakat ini Affin Bank mempunyai 90 cawangan di seluruh negara.


“Lokasi yang dipilih adalah bandar-bandar utama sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang, dan Johor Bahru,”katanya selepas menghadiri mesyuarat tahunan kumpulan di Kuala Lumpur, semalam.


Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin dan Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin.


Beliau berkata, pembukaan cawangan baru adalah sejajar pertumbuhan positif kumpulan bagi tahun kewangan berakhir Disember 2009.


“Kami menjangkakan pertumbuhan pinjaman dari 13 hingga 15 peratus sepanjang tahun ini,”katanya.


Affin Bank mencatatkan keuntungan sebelum cukai pada jumlah RM425.1 juta berikutan pertumbuhan pinjaman bersih pada kadar 12.7 peratus hasil pengurangan kadar hutang tidak berbayar (NPL).


“Affin sedang meninjau kadar peningkatan yang menggalakkan iaitu 13 peratus tahun ini dengan pinjaman tidak berbayar dijangka dikurangkan kepada 1.9 peratus daripada 2.2 peratus tahun lepas,”katanya.


Affin minat ambik alih EON Capital Bhd


Affin Holdings Bhd (Affin) tidak menafikan kemungkinan untuk mengambil alih EON Capital Bhd jika terdapat peluang untuk berbuat demikian.


Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin berkata,syarikat akan mencuba peluang itu jika ianya boleh mengukuhkan kedudukan di samping menambah nilai kepada pemegang saham.

"Jika ada peluang dan mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa, kami akan menimbangkan peluang ini," katanya selepas mesyuarat agung tahunan kumpulan di Kuala Lumpur, semalam.

Menurutnya, dalam pembelian bank lain, isu utama yang perlu ditangani adalah modal, cabaran dan faedah.

Pada Jumaat lepas, Affin dalam notanya kepada Bursa Malaysia, menafikan ia menghantar usul pindaan bagi EON Capital kepada Bank Negara Malaysia untuk menyaingi tawaran Hong Leong Bank.

"Kumpulan sentiasa terbuka kepada peluang, tetapi pada masa ini, kami tidak membuat apa-apa bidaan untuk EON Capital," katanya.

Katanya, Affin juga belum meninjau atau memberi apa-apa mandat kepada mana-mana bank pelaburan berkenaan isu EON Capital.

Affin mempunyai tiga pemegang kepentingan utama, yang terdiri daripada Lembaga Tabung Angkata Tentera (LTAT), Boustead Holdings dan Bank of East Asia, yang bertindak menyuntik modal sihat untuk kumpulan itu.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2009, dana tunai dan jangka pendek Affin mencatatkan RM193.628 juta, lebih tinggi daripada RM34.293 juta tahun sebelumnya.

Beliau berkata, sungguhpun operasi Affin tertumpu pada domestik, ia bagaimanapun sedang meninjau untuk berkembang ke pasaran luar, jika terdapat peluang sedemikian.

Bank itu kini dalam proses menyelesaikan cadangan pembelian Bank PT Ina Perdana di Indonesia menjelang suku ketiga tahun ini.

"Bank of East Asia juga telah menyatakan hasrat untuk berkerjasama dengan kami bagi mengembangkan operasi dalam lain-lain bidang di luar negara," katanya.

Pada tahun kewangan yang lepas, Kumpulan Affin mencatatkan peningkatan 23 peratus dalam keuntungan sebelum cukai pada kadar RM497.2 juta berbanding RM404.2 juta sebelumnya.

Bagi cabang pelaburan, Affin Investment Bank Bhd, ia menyaksikan keuntungan sebelum cukai RM64.6 juta tahun lepas, sejajar sentimen modal dan pasaran ekuiti yang semakin pulih.

Anak syarikat Affin Investment, Affin Fund Management Bhd pula, mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM3.8 juta, didorong peningkatan 41.5 peratus dalam aset di bawah pengurusan bernilai RM199 juta.

Bagi perniagaan insurans kumpulan, AXA Affin Life Insurance Bhd, keuntungan sebelum cukai mencatatkan RM5.3 juta sementara keuntungan sebelum cukai AXA-Affin General Insurance Bhd pula bernilai RM29 juta.



No comments:

Post a Comment

thnks for your comment...