Friday, April 23, 2010

Jatimas sasar perolehan RM10 juta


Jatimas Asia (M) Sdn Bhd mensasarkan perolehan RM10 juta tahun ini menerusi pembukaan enam cawangan barunya.



Pengarah Urusannya, Zawati Ibrahim berkata, syarikat yakin dengan hasrat tersebut memandangkan permintan dan jualan yang stabil menerusi 300 hingga 380 unit barangan dijual setiap bulan sejak tiga tahun kebelakangan.

Menurutnya, pada 2009 jualan mengalami unjuran kepada RM2.3 juta setelah pada 2008 dan 2007 jumlah itu mencecah RM2.8 juta.

"Jumlah itu adalah secara purata menerusi cawangan Jatimas di Wangsa maju, Jalan Ipoh, Cheras dan Selayang," katanya ketika ditemui Sinar Harian di ibu pejabat Jatimas dekat Selayang, Batu Caves.

Beliau berkata, pembukaan cawangan baru itu adalah salah satu usaha pengembangan pasaran selain melengkapkan sasaran tahunan syarikat untuk membuka 10 cawangan dalam negara.

Katanya, RM250,000 hingga RM300,000 dilaburkan untuk pembukaan cawangan yang bersaiz kecil manakala RM500,000 diperuntukan untuk cawangan besar.

"Selain memfokuskan pada cawangan, Jatimas juga merancang meneroka pasaran timur tengah dalam masa tiga tahun akan datang," kata Zawati



Menurutnya, perniagaan Jatimas, diuruskan secara pengedaran, lesen dan francais.

Katanya, setakat ini Jatimas mempunyai 98 pengedar, dan sebuah francais manakala cawangan dikendalikan secara lesen.

"Bermula dengan modal awal RM200,000 sehingga RM500,000, mereka yang berminat boleh menyertai menjadi francaisi kami," katanya.

Beliau berkata, memandangkan keadaan ekonomi yang masih dalam pemulihan, Jatimas kini menawarkan sistem rakan niaga menggunakan modal permulaan RM20,000.

"Kami faham ramai yang berminat dengan perniagaan ini, jadi jumlah itu tidak akan membebankan rakan niaga bagi memulakan perniagaan untuk sama-sama memajukan industri ini," katanya.

Jatimas menawarkan program rakan niaga dengan memulakan tapak di Johor; Melaka; Pulau Pinang; Kedah; dan Kelantan.

Katanya, selain memberi tumpuan pada pengembangan pasaran, syarikat juga memperuntukan RM500,000 untuk pengiklanan dan promosi.

"Kedua-dua aspek itu begitu penting dalam menyebarkan maklumat selain saluran utama menerusi laman web," katanya yang mengusahakan perniagaan itu sejak 10 tahun lepas. Selain perabot, Jatimas juga menawarkan khidmat hiasan dalaman kepada pelanggan yang membeli perabot dari RM20,000 hingga RM30,000.

Katanya, beliau berazam membawa jenama itu di persada dunia serta disenaraikan dalam Bursa Saham Malaysia.

"Itu adalah misi syarikat untuk dua hingga lima tahun akan datang," kata Zawati.


No comments:

Post a Comment

thnks for your comment...