Saturday, May 01, 2010

Kelantan Delight martabatkan masakan melayu

Sejarah


Berbekalkan semangat dan sejumlah simpanan peribadinya RM350,000, Pengarah Urusan Kelantan Delight, Juhaidi Yean Abdullah berjaya menubuhkan satu-satunya perusahaan makanan eksotik Melayu sebaris dengan restoran asing di Suria KLCC awal April 1997.


Restoran yang menjual masakan Kelantan itu pada awalnya terletak di medan selera aras dua, Suria KLCC hanya menumpukan empat menu utama, seperti nasi kerabu, nasi dagang, laksam dan ayam percik.

Menurut Juhaidi, sepanjang lapan bulan pertama, sambutan begitu menghampakan.

"Pada masa tersebut, jualan jatuh teruk, tidak ramai yang kenal, publisiti serta hebahan juga kurang, pelanggan yang ada hanya di kalangan pelancong asing dan mereka yang datang membeli-belah sahaja,” katanya kepada Sinar harian.

Setelah masuk bulan kesembilan operasi, akhirnya beliau menarik nafas lega apabila jualan meningkat sebanyak RM 130 ribu hingga RM 150 ribu sebulan.

Satu jumlah yang di luar jangkaan dan di sini lah bermulanya sejarah kegemilangan Kelantan Delight.

“Kesempatan di luar jangkaan itu telah mendorong saya untuk terus melipatgandakan usaha dan mengintai peluang seterusnya,”katanya.



Menyingkap tentang penglibatannya dalam pasaran masakan Melayu, Junaidi berkata, semuanya bermula apabila beliau menyimpan hasrat ingin menubuhkan sebuah restoran bertaraf lima ke enam bintang setaraf dengan restoran terkemuka yang lain.

“Berdasarkan pemerhatian saya, terlalu kurang, malah jarang sekali kita melihat sebuah restoran Melayu di tengah kota yang bukan sahaja setanding dengan restoran besar, malah konsep, reka bentuk serta suasana yang menarik dan eksklusif seolah-olah sedang menikmati sajian di hotel-hotel terkemuka,” katanya.

Hasrat yang tersimpan terus menjadi pembakar semangat apabila budayawan negara, juga bekas Ketua Pengarah Arkib, Datuk Zakiah Hanum sering memberi kata-kata semangat untuk melihat usahawan Bumiputera mengungguli pasaran itu.

Juhaidi yang juga bekas wartawan meja jenayah di News Straits Times (NST) dari 1987 hingga 1995 merupakan graduan Universiti Malaya dalam Pengajian Kesusasteraan dan Sains Sosial 1979, terus memulakan langkah demi memartabatkan masakan Melayu di persada dunia.

Setelah tiga tahun beroperasi di medan selera, Kelantan Delight mula mengatur langkah dengan membuka restoran di aras empat, Suria KLCC.

Beroperasi di satu-satunya bangunan kebanggaan negara, Kelantan Delight sememangnya terus menjadi mercu bahkan tempat tumpuan pelbagai bangsa, agama dan keturunan sehinggalah pada 1998, restoran itu di jemput pihak pengurusan Harrods London untuk mengadakan pameran makanan halal selama seminggu di London.



Restoran itu kemudiannya, terpilih sebagai Restoran Melayu Halal terbaik 2005 hingga 2006 oleh Halal Journal.

Menurut Juhaidi, sebagai satu-satunya restoran Melayu yang terpilih, beliau begitu teruja dan sangat berbesar hati dengan jemputan tersebut.

“Pada waktu itu, saya begitu gembira dan percaya segala penat lelah selama ini diiktiraf lebih-lebih lagi di mata dunia,” katanya sambil menunjukkan plak penghargaan tersebut.

Juhaidi juga melahirkan rasa bangga, bukan kerana Kelantan Delights satu-satunya restoran bumiputera Melayu yang terpilih, tetapi sedar wujudnya permintaan dan potensi perniagaan di luar negara.

Selain itu, Kelantan Delights juga mendapat liputan meluas daripada media massa luar termasuk Australia, Jepun, Rusia, dan Arab Saudi.

Biarpun memberi tumpuan kepada masakan Pantai Timur, Kelantan Delights juga turut membuka selera sebahagian besar penggemar nasi kerabu dan nasi dagang masyarakat ibu kota.

“60 peratus daripada pelanggan tetap saya terdiri daripada bangsa asing. Ini menunjukkan resipi Kelantan Delights berpotensi bukan sahaja bagi pasaran masyarakat ibu kota, bahkan masyarakat lain seperti India, Cina dan pelancong asing,” katanya.

Menurut Juhaidi, selain faktor menu, beberapa faktor lain juga turut membantu meningkatkan jualan pada ketika itu. Antaranya, lokasi, perkhidmatan, reka bentuk dan tatarias restoran.


“Hasrat saya ingin wujudkan sebuah restoran cantik bersama konsep hiasan, menu yang menarik, perkhidmatan serta layanan terbaik supaya pelanggan yang datang bukan sahaja ingat tentang masakan tetapi terus mengabadikan kenangan itu menjadi suatu yang manis dalam hidup mereka,” tambah Juhaidi.

“Saya akan pastikan pelanggan yang datang mendapat layanan sempurna bukan sahaja masakan dan perkhidmatan tetapi kualiti makanan panas sepanjang masa,”katanya lagi.

Sebelum memulakan perniagaan di situ, sekitar 1995, Juhaidi membuka sebuah restoran masakan Thai di Plaza Warisan, Kuala Lumpur.

Disebabkan sambutan kurang memberangsangkan, restoran itu terpaksa ditutup sehingga Kelantan Delights di Suria KLCC ditubuhkan.

Menurut Juhaidi, lokasi adalah kunci utama dalam sesebuah perniagaan, jika sesebuah tempat itu jauh, terpencil, atau kurang dikenali, sudah pastinya ia mendatangkan kesan buruk terhadap perniagaan.

“Saya begitu berhati-hati dalam mencari tapak, tempat yang senang dicari adalah dua kali lebih baik daripada tempat yang hanya terkenal dengan nama, tetapi kurang kemudahan pengangkutan,” katanya.

Menurutnya, restoran sebelum di Plaza Warisan kurang mendapat sambutan, bukan kerana menu atau perkhidmatan, tetapi jalinan pengangkutan awam kurang dan kurang dikenali.

“Saya pernah menaiki teksi dan minta dihantar ke situ, sayangnya pemandu teksi pun tidak tahu, pelanggan apakan lagi,” katanya.

Bertitik tolak daripada situ, Junaidi akhirnya mengisi kekosongan medan selera di Suria KLCC untuk membina permulaan yang cerah di bangunan kebanggaan rakyat Malaysia itu.

Sudah menjadi adat, bangunan Suria KLCC itu bukan sahaja indah dari reka bentuknya, tetapi sarat dengan pelbagai isu yang menjadi titik noktah buat restoran itu untuk menutup operasinya.

“Saya pernah membuat rayuan untuk menyambung kontrak, namun perkara itu memerlukan pengorbanan besar daripada saya. Caj yang dikenakan tidak logik langsung. Kelantan Delight merupakan restoran Melayu terakhir yang menghentikan operasi ketika itu,” katanya.

Menurut Juhaidi, pada awal perniagaan 2004, sewa yang dikenakan adalah RM 360,000 setahun berbanding kadar baru sebanyak RM 520,000. Terdahulu 2001, pula sebanyak RM 180,000.

“Setiap tiga tahun sewa yang dikenakan akan meningkat sebanyak RM 160,000 ke RM 180,000 dan semakin tinggi, sehingga pada 31 Ogos 2007 Kelantan Delights secara rasmi menutup operasi,” katanya.

Tambah beliau lagi, isu birokrasi pihak pengurusan KLCC juga merupakan salah satu sebab usahawan bumiputera gulung tikar.

“Berhubung isu sewa, setiap premis perniagaan dikenakan caj yang berlainan dan kami tidak dibenarkan berbincang isu ini sesama sendiri,” katanya yang kesal dengan tindakan pihak pengurusan KLCC.

Tindakan pihak pengurusan dikatakan seolah-olah membunuh peniaga Melayu kerana pada permulaan, kuota yang dikhaskan adalah 30 peratus tetapi kini hanya tinggal 10 hingga 11 peratus sahaja peniaga Melayu daripada 325 peniaga bumiputera.

Tidak sanggup berdepan dengan masalah tersebut, Juhaidi akhirnya tekad menutup operasi sehingga lapan bulan kemudian, Kelantan Delights baru di tubuhkan.

“Dalam tempoh itu, saya bukan sahaja menutup kedai, malah akaun, pekerja juga terpaksa dihentikan,” katanya.

Sepanjang lapan bulan berehat, Juhaidi banyak membuat kajian dan pemantauan berkenaan potensi makanan halal dan restoran Melayu


3 comments:

  1. ERM MACAM NEYH PLAK, HABIS 2 MACAM MANE NA MAJU

    ReplyDelete
  2. erm betol2 habis 2 macam mane orang melayu na maju? Emy(axdi)

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum...........pn salwani....can u email me syikin.muhammad@gmail.com

    ReplyDelete

thnks for your comment...