Friday, June 25, 2010

Ratu :Tumpu pada pasaran domestik

Jenama Ratu akan menambah cawangan dan jualan dalam talian tahun ini

De Galeri Ratu (M) Sdn Bhd pengeluar dan pemasar pakaian wanita dan tudung jenama Ratu menyasarkan 10,000 ahli menerusi kad keahlian kesetiaan selaras usaha mengembangkan jualan hingga hujung tahun ini.



Pengarah Pemasarannya, Juwita Abdullah berkata, syarikat menawarkan 20 peratus potogan kepada ahli untuk setiap pembelian dan setakat ini mempunyai 5,000 ahli yang aktif.


“Kad keahlian adalah tanda penghargaan kami kepada pelanggan kerana sokongan membeli barangan yang kebanyakkannya lebih daripada satu,”katanya ketika ditemuramah Sinar Harian di ibu pejabatnya, Setapak, Kuala Lumpur.


Menurutnya, bagi meluaskan lagi pasaran, Ratu akan menampilkan busana Ratu menjelang hari raya nanti.




“Daripada cadangan pelangganlah busana dilahirkan sekaligus memudahkan mereka membuat padanan tudung dan baju,”katanya.


Juwita berkata, busana dan tudung saling melengkapi antara satu sama lain dan keadaan itu mendorong beliau untuk menambah bilangan cawangan setelah mempunyai dua cawangan setakat ini.


Katanya, kebiasannya, beliau memperuntukan RM600,000 hingga RM800,000 bersama 15,000 koleksi tudung untuk membuka cawangan baru. Tahun ini satu cawangan di Bangi akan dibuka sempena musim perayaan.


“Cawangan pertama Ratu adalah di Setapak yang dibuka pada Disember 2008, setahun kemudian, saya membuka dua lagi cawangan terletak di Semua House dan bersebelahan Hotel Carton, Shah Alam,”katanya.


Juwita berkata, setakat ini syarikat tidak meletakkan sasaran untuk menambah bilangan cawangan, tetapi berdasarkan permintaan, kawasan Lembah Klang menunjukkan potensi yang menyumbang 60 hingga 80 peratus jualan syarikat.


“Kami akan menggiatkan promosi untuk tujuan hebahan dan menambah bilangan stokis dan pengedar,”katanya.




Beliau berkata, jenama Ratu kini boleh dibeli seluruh negara melalui stokis dan pengedar negeri.


“Kami mempunyai 20 stokis dan 100 pengedar serta masih lagi mengalu-alukan sesiapa yang berminat untuk menjadi sebagian pemasaran kami,”katanya.


Katanya, RM20,000 adalah modal awal untuk menjadi stokis manakala RM5,000 diperlukan sebagai pengedar.


Juwita berkata, stokis dan pengedar tidak perlu bimbang tentang promosi dan hebahan, semua itu akan diuruskan syarikat dan syarikat telah menetapkan untuk melantik satu stokis untuk satu daerah.




Menurutnya, segala kebajikan stokis dan pengedar tidak akan diabai kerana produk yang kurang mendapat sambutan boleh ditukar dengan fesyen atau corak baru.


Bagi menarik permintaan dan mengekalkan penawaran sepanjang masa, syarikat telah memperuntukkan RM700,000 untuk tujuan pengiklanan dan promosi sepanjang tahun ini.


“Iklan adalah medium promosi yang berkesan dan kami juga merancang untuk mencuba pasarkan secara dalam talian (online) dalam masa terdekat,”kata Juwita.




Selain itu, katanya, syarikat juga kini sedang meninjau peluang untuk membuka perniagaan secara francais.


“Itu adalah perancangan kami dalam dua tiga tahun akan datang sebab ramai yang bertanya dan mencadang,”katanya yang pada permulaan menggunakan RM500,000 sebagai modal awal membuka cawangan di Setapak.


Beliau berpendapat, industri dan dunia fesyen negara kini kian berkembang. Mengambil tanggungjawab untuk melihat wanita dan kaum muslimat tampil cantik bergaya, Ratu akan menampilkan pelbagai jenis tudung beserta corak selaras mendidik kaum hawa menutup aurat.


Info:

  • Jenama Ratu juga menawarkan perkhidmatan menukar ‘awning’ kepada mereka yang berminat. RM10 akan dikenakan untuk setiap perkhidmatan.
  • Setiap promosi dan produk baru akan diberitahu kepada ahli menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS)
  • Potongan 20 peratus layak untuk ahli
  • Jenama Ratu diilhamkan Juwita dengan meletakkan dirinya sebagai penggemar tudung
  • Busana Ratu akan diperkenalkan pada Julai 2010 sempena Hari Raya sebagai langkah mempelbagaikan lagi produk dan bidang niaga
  • Mengalu-alukan orang ramai menjadi stokis dan pengedar
  • Akan membuka satu lagi cawangan baru di Bangi setelah dua lagi cawangan terletak di Semua House dan Hotel Carlton, Shah Alam.

1 comment:

  1. saya nk tnyer boleh tak?ader tak website tudung ratu ni?

    ReplyDelete

thnks for your comment...