Tuesday, August 16, 2011

Kurma pelengkap hidangan berbuka puasa

Disunatkan makan sekurang-kurangnya sebiji, ikut sunnah nabi

Mukadimah
Keindahan Ramadan seolah-olah tidak lengkap tanpa buah tamar atau kurma sebagai hidangan wajib berbuka puasa. Tidak hairanlah, di mana saja kita pergi baik pasar raya besar mahu pun gerai di kaki lima, kurma adalah jualan wajib yang pasti mendapat sambutan sempena Ramadan.

Adalah menjadi kelaziman setiap kali berbuka, kita disunatkan makan sekurang-kurangnya sebiji kurma. Kehadirannya di kalangan pelbagai juadah yang dijual ketika berbuka membawa lebih keberkatan berbanding makanan lain. Martabat buah ini menjadi lebih tinggi di sisi Rasulullah apabila ianya menjadi juadah ketika baginda berbuka puasa.

Buah ini juga menjadi makanan paling popular di kalangan umat Islam di seluruh dunia terutama negara yang majoriti berpenduduk Islam.

Seiring peredaran masa, kurma juga telah dikomersil seperti buah-buahan lain dan pelbagai jenama dikeluarkan. Di negara kita, Kurma Yusuf Taiyoob antara yang popular di samping beberapa jenama terkenal lain seperti Sunsweet, Kurma Iran jenama Manisa, Kurma tangkai Mehr, dan Meera, dari Tunisia serta banyak lagi.

Bersempena bulan Ramadan ini, cerita produk kita kali ini membuat tinjauan tentang jenama kurma pilihan, khasiat dan kelebihan yang terdapat pada buah kesukaan ramai ini.

Pengenalan
Kurma dikenali juga sebagai tamar atau istilah saintifiknya, phoenix dactyloferal adalah sejenis tumbuhan yang mempunyai khasiat tinggi berbanding buah-buahan lain di seluruh dunia.

Asal usul kurma
Kurma menjadi makanan harian penduduk terutama di Timur Tengah untuk beribu-ribu tahun dahulu. Pokok kurma dipercayai berasal dari sekitar Teluk Parsi, dan telah ditanam sejak zaman zaman Mesopotamia ke prasejarah Mesir. Beberapa sumber menyatakan bahawa tumbuhan itu telah wujud seawal 4000 tahun sebelum masihi. Terdapat juga bukti arkaeologi penanaman kurma di Arab timur pada 6000 tahun sebelum masihi. Setelah itu kurma mula tersebar secara besar-besaran dan orang-orang Arab menyebar kurma ke Asia Selatan dan Tenggara, Afrika Utara, dan Sepanyol. Kurma juga telah diperkenalkan di Mexico dan California oleh orang Sepanyol pada 1765, sekitar Misi San Ignacio.

Sifat fizikal kurma
Pokok kurma adalah jenis palm seperti kelapa sawit sementara buahnya bertangkai seperti buah pinang. Buahnya berbentuk bujur-silinder, panjang antara tiga hingga tujuh sentimeter (cm). Apabila matang, warna buah berubah daripada merah ke kuning muda bergantung pada keadaan. Kurma mempunyai biji benih tunggal sepanjang dua hingga 2.5 cm dan ketebalan antara enam hingga lapan milimeter (mm). Kurma boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan utama iaitu lembut ('Barhee', 'Halawy', 'Khadrawy', 'Medjool'), semi-kering ('Dayri', 'Deglet Noor', 'Zahidi'), dan kering (Thoory'). Buah kurma boleh dimakan secara langsung, dalam keadaan kering ataupun segar.

Pokok kurma mengambil masa empat hingga ke tujuh tahun untuk berbuahPokok kurma matang dapat mengeluarkan 80-120 kilogram kurma setiap kali musim menuai. Setiap sikat tidak masak serentak. Untuk mendapatkan buah berkualiti sikat-sikat kurma haruslah nipis dan dimasukkan ke dalam beg atau ditutupi sebelum masak supaya buah yang lainnya membesar dan dilindungi daripada cuaca dan haiwan perosak seperti burung.


Di dunia ini terdapat ratusan jenis kurma, Di Arab Saudi terdapat sekitar 400 jenis, begitu juga di Tunisia, Iraq, Iran, Mesir dan California.

Antara jenis kurma yang terkenal dan paling diminati oleh adalah:
• Kurma Nabi -Hanya tumbuh di tanah Madinah (Saudi Arabia) dan inilah kurma kegemaran Nabi Muhammad S.A.W, Warna hitam, tekstur lembut, tidak manis dan cita rasanya hampir mirip kismis.
• Kurma Sekki-Ada dua warna, atas kekuning-kuningan dan sedikit coklat. Bahagian kuning lebih keras, manaka cokelat lebih empuk dan kenyal. Rasanya manis sedang.
• Kurma Barhi -Warna coklat cerah, manis sedang, tekstur lembut seperti durian, ada sedikit rasa caramel
• Kurma Kholas-Warna coklat terang keemasan mirip kurma barhi, tetapi mempunya rasa kopi. Tekstur empuk, rasa manis sedang.
• Kurma Khidri - Warna maron gelap lebih kering, kenyal, tidak terlalu manis. Kurma jenis ini paling banyak dikeluarkan di pasaran.
• Kurma Mactoumi- Warna sedikit hitam kemerahan, permukaan agak keriput, kenyal, rasa manis
• Kurma Sokari-Tekstur kenyal lembut tetapi ada juga jenis yang keras, paling disukai di Arab Saudi, sedikit kering dan manis.
• Kurma Silaj- Warna coklat kemerahan bentuk lonjong, tekstur lembut, rasa sederhana manis
• Kurma Majol- Warna coklat, sangat mani, lembut dan kenyal
• Kurma Monief-Warna coklat terang, tidak begitu besar, sederhana manis sedang dan lembut.

Khasiat Kurma
Buah kurma sangat kaya dengan zat galian dan vitamin. Antara zat galian dan vitamin yang terdapat dalam kurma ialah kalsium, zat besi, kalium, vitamin A, B, B1, B2, B3, vitamin C dan E. Selain itu, kurma juga mengandungi unsur bebas lemak kolesterol, asid amino triptofan, glukosa dan sukrosa.

Tips Memilih buah kurma
Apabila memilih kurma orang ramai disarankan mengutamakan faktor-faktor seperti:
Pilih kurma yang kulit luarnya kering dan isinya tebal.
Pilih kurma yang tua atau matang, tanda buah kurma matang, adalah isinya mudah dilepaskan daripada biji.
Pilih kurma yang bertekstur buahnya lunak namun ranum, seperti tekstur manisan buah basah.
Selaput buah kurma luar atau kulit tidak rosak. Tidak melekat apabila dipegang bagi memastikan kurma tidak mempunyai lebihan gula atau madu
Pilih kurma yang warnanya coklat-merah-kekuningan
Pilih yang berbentuk besar
Buah kurma dibungkus dengan kemas dan baik. bukan dalam longgokan kerana ianya terdedah kepada debu-debu, pasir yang menjejaskan kualiti buah kurma

Lain-lain kegunaan kurma
Biji benih kurma boleh dijadikan makanan haiwan.
Kurma juga boleh menghasilkan minyak yang sesuai untuk dijadikan sebagai sabun dan barang kemas.
Biji kurma yang dibakar rentung akan menjadi arang
Biji kurma yang dikisar dan digunakan sebagai pracampuran ke atas kopi
Daun matang boleh dijadikan tikar, skrin, bakul dan kipas.
Daun yang diproses pula boleh digunakan sebagai tongkat jalan, penyapu.
Umbut daripada pokok kurma juga boleh dijadikan
Pengeluar utama kurma dunia ialah Arab Saudi, Iraq, Iran, Mesir, Tunisia dan Algeria.











Tinjauan
Jenis kurma pilihan saya ..

1. NUR ZAFIRAH MOHD HASSAN
Kurma adalah makanan yang wajib saya beli apabila menyambut Ramadan. Saya suka kurma Yusuf Taiyoob kerana rasa dan harga yang ditawarkan berpatutan.


2. NOR MAISARA SHAHIRAH MOHD BISTARI

Saya tidak begitu mengemari kurma tetapi akan makan terutama waktu berbuka puasa. Saya kurang membeli arif tentang jenama yang selalu dibeli tetapi saya akan pastikan buah kurma yang lembut, rasanya manis dan tidak melekit.

3. MUHAMMAD AMIRUL HAKIM MD RASDI
Bagi saya jus kurma sedap, bagaimanapun saya juga sukakan buah kurma kerana apabila ramai orang menjual kurma pasti hari raya dah dekat, jadi kurma akan membuatkan saya bersemangat untuk berpuasa. Tentang jenama, saya tidak kisah asalkan buah segar dan semestinya manis.

4. NOR NAZIFA SYAHIDA ADNA
Saya suka makan kurma sebab mak saya kata kurma berkahsiat. Mak selalu beli macam-macam jenama seperti Yusuf Taiyoob, Sunsweet, kurma Iran dan lain-lain. Kadang-kadang mak tidak kisah pasal jenama janji buah kurma tu lembut dan tidak melekat di gigi.

5. MUHAMMAD FARIS MOHD HASSAN
Saya tidak pasti pasal jenama tetapi saya suka makan kurma. Pada kebiasaannya, kurma pilihan saya adalah lembut. Kurma jenama Meera dari Tunisia pernah saya beli dan ternyata rasanya tidak mengecewakan.


No comments:

Post a Comment

thnks for your comment...