Wednesday, July 13, 2011

Blog sumber rezeki

Perniagaan online bantu tambah pendapatan keluarga

Sudah menjadi lumrah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan dan rezeki tidak akan datang bergolek tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Meraih rezeki menggunakan blog atau lebih dikenali dengan perniagaan atas talian (online) adalah salah satu sumber rezeki secara senyap yang sering menjadi pilihan wanita masa kini. Kualiti masa untuk berniaga dan bersama keluarga dapat diagihkan secara bijaksana. Kebajikan anak-anak dan keluarga dapat diuruskan sebaik mungkin kerana semua operasi bermula di rumah tanpa terikat dengan sesiapa.

Kini penglibatan wanita dalam perniagaan online boleh dikatakan setanding lelaki. Walau apa pun jenis perniagaan, semangat untuk berniaga dan menambah pendapatan menjadi pilihan wanita agar pendapatan yang diperoleh mampu meringankan beban suami.

Ruangan niaga online sinar harian minggu ini memaparkan perjalanan perniagaan online yang diusahakan dari rumah bersama Anie Raflikha Abd Malek berasal dari Johor Bharu yang mengusahakan perniagaan peralalatan kelengkapan rumah.

Mula berniaga
Anie memulakan perniagaan ini sejak Disember 2010. Pada ketika itu produk yang dijual adalah haruman jenama terkenal Body Shop. Sambutan yang diterima adalah menggalakkan.

“Pada masa itu saya menggunakan modal sekitar RM200, untung yang saya dapati daripada jualan awal dijadikan modal tambahan untuk menjual barangan yang seterusnya,”katanya.

Bertitik tolak daripada situ, sekitar awal Januari 2011, Anie mula berniaga peralatan dapur seperti periuk berjenama antaranya Tefal, Endo dan WMF yang diimport dari luar negara luar.

Menurutnya, perniagaan ini bermula secara kebetulan dan pada awalnya idea daripada
bekas teman serumah sewaktu bujang yang merupakan seorang pensyarah universiti.

“Kawan saya banyak memberikan sokongan, maklumat dan pandangan terhadap bisnes online yang saya jalankan suami turut memberi sokongan terhadap perniagaan online yang saya jalankan,”katanya.

Pengalaman mengusaha perniagaan online
“Secara peribadi saya berpendapat, berniaga secara online ini memang seronok kerana dapat belajar tentang produk lain, cara pemasaran dan dapat mengenali lebih ramai rakan-rakan terutama mereka yang turut berniaga online,”katanya.

Lebih menyeronokkan katanya apabila sambutan yang diterima sehingga kini menggalakkan. Ini kerana apabila gambar atau katalog baru di muat naik beliau akan menerima respond secepat mungkin dalam tempoh terdekat kurang daripada 24 jam.

“Saya dapati semakin ramai yang berkunjung di blog saya untuk melihat produk dan bertanyakan tentang produk, biasanya mereka akan emel saya untuk maklumat lanjut berkenaan produk; ada juga dikalangan mereka yang menyatakan barangan yang dijual mahal, tetapi pada saya, itu terpulang pada masing-masing, apa yang saya pentingkan adalah kepuasan pembeli itu sendiri,”katanya.

Berkongsi tentang pengalaman menguruskan perniagaan ini, beliau berkata, setakat hari ini beliau tidak berdepan dengan masalah besar cuma seperti kebiasaan terdapat juga pembeli yang main-main (tidak serius).

“Saya pernah berdepan dengan pembeli yang hanya menempah barangan tetapi tidak membayar, kesan daripada masalah itu ada sesetengah barangan mengambil masa yang lama untuk dijual semula,”katanya.

Beliau berkata, sebagai penyelesaian 50 peratus bayaran penempahan akan dikenakan sebagai langkah untuk mengelak penipuan oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

Proses Penghantaran
Bagi menjamin kauliti produk, beliau berkata, setiap tempahan dan bayaran yang telah diterima, penghantaran akan dilakukan menggunakan kurier yang akan mengambil masa dua hingga empat hari, bergantung kepada hari cuti.

“Sekiranya saya ada urusan lain, saya akan memaklumkan kelewatan pengeposan barang kepada pembeli,”katanya.

Perancangan masa depan
Melihat potensi jualannya yang kian stabil, Anie berkata beliau sememangnya mempunyai beberapa perancangan yang akan dibuat dalam masa terdekat.

“Sebagai tambahan, saya merancang untuk membuat kotak hadiah (gift box) peralatan dapur sebagai alternatif untuk dijadikan hadiah kepada ibu, isteri, atau rakan-rakan, sempena sambutan hari raya akan datang, saya juga mengambil tempahan kek lapis daripada kawan-kawan yang dibuat bersama ibu saudara saya,”katanya.

Pandangan tentang perniagaan online
Melihat pasaran jualan online ini semakin mendapat tempat beliau berkata, kerajinan mencari peluang dan kreatif mencari jalan untuk memasarkan produk adalah kunci kejayaan kita memasarkan produk.

Katanya, kelainan yang ada pada produk menjadi kelebihan kepada penjual untuk menarik perhatian pelanggan terhadap produk yang ditawarkan.

“Saya lebih suka untuk berniaga daripada rumah kerana waktu yang lebih fleksibel, kebebasan untuk menguruskan sendiri perniagaan, juga mudah untuk menguruskan hal-hal rumah tangga berbanding membuka perusahaan di kedai yang memerlukan komitmen sepenuh masa,”katanya.


Profil:
Nama penuh: Anie Raflikha Abd Malek
Umur jika tidak keberatan : 33 tahun
Berniaga online Secara part time
Lokasi perniagaan: Di rumah sendiri, Johor Bahru
Latar Belakang: Seorang surirumah, berasal dari Seremban. Sekarang menetap di Johor Baharu

No comments:

Post a Comment

thnks for your comment...