Monday, July 25, 2011

Bangunkan blog jual barangan bayi

Memanfaatkan internet sebagai sumber rezeki

MUKADIMAH

Bayangkan dari rumah kita mampu menjana RM2000 malah ada ketikanya lebih daripada apa yang dijangkakan. Lumayan bukan? Keadaan itu menjadi lebih seronok apabila kita juga bergelar bos dan sudah pasti bebas mengurus dan paling penting pendapatan kita mampu menyamai

gaji mereka yang bekerja makan gaji.

Kesempatan itu telah digunakan sebaik mungkin oleh ibu muda lulusan Ijazah Kejururawatan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk membangunkan blog ukidsmart.blogspot.com dan laman social Facebook untuk menjual barangan kelengkapan bayi.

Ruangan niaga online kali ini bersama wartawan SALWANI MD ZAIN berkongsi rahsia dan kejayaan suri rumah sepenuh masa, Mawaddah Sabarudin, 25, memanfaatkan teknologi dihujung jari sebagai saluran utama mencari rezeki di samping membantu menambah pendapatan keluarga.

Idea bangunkan blog

“Untuk membangunkan blog saya dibantu suami dan semuanya dihasilkan berpandukan e-book yang dibeli berharga RM65,”katanya yang menerangkan tentang langkah awal dalam memulakan perniagaan secara online.

Menurutnya, perniagaan itu diusahakan secara serius pada November 2010 selepas melahirkan anak kedua menggunkan modal sebanyak RM1000.

“Saya dan suami, Mohd Hafiz Mohd Norrizan, 25, mempunyai minat yang mendalam terhadap baju dan barangan bayi berjenama, jadi kami sering mencari baju bayi berjenama untuk anak sulung kami; Ketika sarat mengandungkan anak kedua

suami memberi idea dan sokongan untuk saya membuka perniagaan secara online,”katanya sambil menceritakan bagaimana timbul idea memulakan perniagaan online.

Katanya, ilham membuka perniagaan itu juga lahir setelah melihat kejayaan ibunya yang pernah berkecimpung dalam bidang itu.

“Bagi saya perniagaan online ini cukup menyeronokkan. Saya berasa puas menjadi ibu yang bekerja dari rumah. Saya mampu menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu dan dalam masa yang sama berinterkasi dengan pelanggan dalam suasana yang terurus.

“Kebanyakkan pelanggan saya pada hari ini telah menjadi rakan baik, mereka bukan saja membeli dari U Kids, tetapi sering berkongsi pandangan serta khidmat nasihat dalam aspek keibubapaan, kesihatan, perkembangan anak-anak dan kekeluargaan,”katanya.

Waktu tumpuan pelanggan

Mawadah berkata, waktu yang sering menjadi tumpuan ramai adalah ketika awal bulan dan kebanyakkan mereka akan membuat tempahan awal untuk sesuatu barangan.

“Ketika memuat naik gambar dan catalog baru, saya akan nyatakan perincian tentang produk tersebut, jika mereka berminat, mereka boleh membuat tempahan awal dan membuat bayaran pada masa yang ditetapkan,”katanya yang telah menjual 300 keping kain lampin moden sepanjang bulan ini.

Menurutnya, sambutan pelanggan terhadap produk-produk baru sangat menggalakkan.

“Saya tidak menang tangan membalas khidmat pesanan ringkas (SMS) dan emel, terutamanya sewaktu kakitangan kerajaan mendapat gaji setiap bulan.

Walaubagaimanapun, setelah menggunakan `shopping cart`, segala urusan tempahan dengan pelanggan lebih bersistematik,”katanya yang masih dalam proses menaiktaraf blog agar lebih mesra pengguna.

Beliau berkata, pelanggan tidak akan dikenakan caj penghantaran tetapi dikenakan caj untuk berat berat barang yang ditempah mengikut kadar yang dikenakan Poslaju

dan National Courier.

“Setelah pelanggan membuat tempahan dan bayaran sebelum jam 11 pagi, saya akan buat penghantaran pada hari yang sama melaui Pos Laju.

Kebiasaannya, barang akan sampai pada keesokan harinya, terutamanya sekitar Lembah Klang,”katanya.

Cabaran

“Saya menerima keadaan itu sebagai cabaran kerana kunci utama dalam perniagaan jenis ini adalah kepercayaan,”katanya yang

tidak membuat publisiti secara offline tetapi pernah mempromosikan barangan di portal jual beli Mudah.my dan setiasa mengemaskini status Facebook.

Menurutnya, pada awal pembabitan beliau pernah berdepan dengan pembeli yang menipu. Namun mengambil iktibar daripada pengalaman itu, beliau lebih berhati-hati dan jika keadaan mencurigakan deposit akan dikenakan.

Perancangan akan datang

Menurutnya, melihat potensi perniagaan yang semakin mendapat sambutan, U Kids sememangnya mempunyai perancangan untuk membuka bilik pameran agar pelanggan dapat melihat produk dengan lebih dekat.

“U Kids kini sedang dalam proses untuk mengimport sendiri barangan bayi dari luar negara dan menghasilkan produk jenama U Kids. Kami akan menambah beberapa produk yang lain yang sukar didapati di Malaysia,”katanya yang kini menjual lebih daripada 10 produk.

“Kain lampin pakai basuh moden atau lebih dikenali sebagai Cloth Diaper (CD) adalah produk utama kami selain baju, dan kelengkapan bayi seperti beg, hadiah, selimut dan lain-lain,”katanya.

Profil

Nama penuh: Mawaddah Sabarudi

Umur: 25 tahun

Saya berniaga online sepenuh masa

Lokasi perniagaan: Cheras, Kuala Lumpur

Ibu muda kepada dua cahaya mata, Ukasyah dan Uwais al-Qarni.





No comments:

Post a Comment

thnks for your comment...