Wednesday, July 13, 2011

Meer sambung legasi perniagaan keluarga

Kembangkan Habib menjadi kedai emas terkemuka negara

Mukadimah
Emas dan berlian adalah dua aksesori mewah yang mempunyai nilai pasaran tinggi baik dari segi pembelian, jualan, permintaan mahupun penawaran dan pelaburan. Biarpun ditawarkan dengan harga yang agak mahal, barangan tidak bermusim ini mempunyai kelompok peminatnya yang tersendiri. Di negara kita beberapa kedai emas dan berlian dilihat bersaing secara sihat dengan menampilkan koleksi tertentu sesuai dengan cita rasa masyarakat timur. Barisan kedai emas seperti Habib Jewels, Poh Kong, Tomei, Wah Chan adalah syarikat pengeluar dan pemasar barangan kemas terkenal di negara ini. Habib Jewels pula muncul sebagai kedai emas yang paling terkenal dan diuruskan sepenuhnya oleh bumiputera.

Nama Habib bukan sahaja terkenal di kalangan masyarakat Melayu tetapi semua lapisan masyarakat dahulu dan kini.

Sejarah Perniagaan
Habib Jewel bermula dengan nama M.A Habib Mohamed, ia diasaskan pada 1958 oleh Habib Mohamed di Pitt Street Pulau Pinang kerana minat yang mendalam tentang jual beli barangan kemas dan perhiasan. Bermula sebagai satu perniagaan keluarga, Habib Mohamed berjaya memikat hati para pelanggan dengan sifatnya yang mendahulukan kehendak pelanggan. Beliau tidak mempunyai "role model" untuk dicontohi dalam perniagaan berlian pada ketika itu tetapi tekad untuk menjaga kehendak dan hati pelanggan yang dianggap sebagai aset penting dalam perniagaan.

Dedikasi dan motivasi tinggi dalam dirinya untuk menghasilkan corak dan produk yang berkualiti tinggi akhirnya berjaya menambat hati ramai peminat berlian. Bermula di Pulau Pinang, perniagaan itu mula mengatur strategi dengan melihat Kuala Lumpur sebagai destinasi pengembangan baru.

Hasrat itu disempurnakan apabila pada Januari 1986 cawangan pertama Habib Jewels pertama di Kuala Lumpur dibuka di Semua House, Jalan Masjid India, Pembukaan cawangan baru itu juga telah memberi lembaran baru dalam era pengembangan dan kini telah berjaya berkembang di The Spring di Kuching, 1Borneo di Kota Kinabalu, Sabah, dan Suria Sabah di Sabah.

Bertukar Pucuk Pimpinan
Era kegemilangan Habib Jewel seterusnya diteruskan oleh anak lelakinya yang kini bertindak sebagai Pengarah Urusan, iaitu Datuk Meer Sadik.

Dengan latar belakang sebagai gemologist daripada Gemological Institute of America dan ijazah dalam bidang perniagaan, Meer telah berjaya membawa Habib Jewel ke arena skala perniagaan yang lebih besar.

Di bawah pengurusnnya Meer telah mengukuhkan nama Habib Jewel dengan menjalankan usahasama bersama pengeluar berlian hiasan antarabangsa seperti koleksi Queen's Heart dan Heart on Fire dari Amerika Syarikat.

Queens Heart dan Heart on Fire adalah dua entiti perniagaan berlian antarabangsa yang menjalinkan kerjasama perniagaan dengan Habib Jewel.


Perancangan Kini
Sebagai syarikat pembuatan dan penjualan barangan kemas bumiputera terulung negara, Habib Jewels berhasrat mencapai pertumbuhan antara 10 hingga 20 peratus ke atas jualan melepasi RM300 juta jumlah yang dicatatkan tahun lalu.

Meer berkata, syarikat optimis dengan sasaran itu kerana operasi jualan kini disokong sepenuhnya oleh 22 cawangan di samping beberapa festival yang membantu meningkakan jualan bakal diadakan sepanjang tahun ini.

“Tahun ini, kami cuba tampilkan beberapa pendekatan baru dengan membuka empat bilik pameran khas untuk koleksi barangan kemas Pandora yang berasal dari Denmark, jenama kedua paling popular di Amerika Syarikat, Australia, Eropah, Hong Kong dan Singapura selepas Tiffany,”katanya.

Tambah cawangan baru di Pusat membeli-belah
Menurutnya, empat cawangan khas untuk koleksi itu kebanyakkan telah dibuka di pusat membeli-belah, antaranya di Mount Kiara, Pavilion, Kuala Lumpur, Bangsar Village dan Empire Subang dengan pelaburan yang mencecah RM1juta untuk sesebuah cawangan.

Beliau berkata, pada masa ini, syarikat tidak menetapkan sasaran untuk menambahkan cawangan tetapi bakal beroperasi dengan satu lagi cawangan baru di Danau Kota, Kuala Lumpur, bermula Jun atau Julai tahun ini.

“Bagi setiap cawangan baru Habib, kami memperuntukkan perbelanjaan antara RM5 juta hingga RM10 juta bergantung kepada saiz dan lokasi yang kebiasaanya memilih lot kedai yang mudah menarik kunjungan pelanggan,”katanya.

Bina hotel di Kota Bharu
Selain kedai emas dan berlian, Habib juga mengembangkan perniagaanya dengan membuka hotel butik di Kota Bharu dengan kos pembinaan mencecah RM5 juta di samping menjadikan Kelantan sebagai pusat induk pembuatan dan pengeluaran barangan kemas terulung yang diwarisi sejak 1958.

Meer berkata, syarikat memilih negeri itu sebagai pusat pengeluaran kerana kebanyakkan penduduk di sana mempunyai kemahiran tinggi dalam bidang pertukangan tangan terutama menempa logam dan ukiran.

Hotel itu mempunyai 32 bilik dan sedang merancang untuk menambah cawangan di beberapa bandar seperti Melaka, Pahang dan sekitar Lembah Klang.

Tubuh Syarikat Pajak Gadai
Selain menjual barang kemas dan berlian, Habib juga menubuhkan pajak gadai berteraskan syariah bercagarkan emas dan berlian, Ar-Rahnu Time Zone Sdn Bhd, (Ar-Rahnu).

Katanya, pajak gadai ini diharap dapat membantu masyarakat yang memerlukan kewangan selain membeli balik barangan kemas yang mungkin tidak ditawarkan di tempat lain.

“Kami wujudkan institusi ini bagi memberi lebih kemudahan kepada pelanggan terutama yang datang dalam keadaan terdesak memerlukan wang,”katanya.

Ar-Rahnu Time Zone adalah seratus peratus milik Habib Jewels dan beroperasi di bawah pengawasan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan cawangan di Ampang dan bakal membuka dua lagi di Shah Alam dan Kota Bharu yang dijangka dibuka pertengahan tahun ini.

Beliau berkata, selaian menerima barangan kemas, Ar-Rahnu Time Zone juga menerima pajakan berlian dan batu permata, satu-satunya pajak gadai yang menerima barangan bukan katogeri emas di Malaysia. Kemudahan gadaian juga disediakan untuk mereka yang telah disenarai hitam.

Pengenalan skim Ar- Rahnu juga adalah sistem yang dilihat sebagai satu pilihan terbaik untuk melakukan pemajakan kerana ia memberi manfaat kepada kedua belah pihak dan mampu mendidik masyarakat membuat gadaian secara berhemah.

Katanya, menerusi sistem itu, sekiranya pemberi gadaian tidak berkemampuan membayar balik hutang yang ditanggung apabila tamat tempoh perjanjian, pemberi gadaian akan dimaklumkan mengenai barang gadaiannya, jika tiada tindakan lanjut, mereka akan dipanggil untuk berbincang. Sekiranya mereka betul-betul tidak mampu barulah barangan itu dijual. Jika harga jualan melebihi baki hutang, lebihan tersebut akan dikembalikan.

Selain menyediakan perkhidmatan gadaian, Ar-Rahnu Time Zone juga memberi jaminan insurans 100 peratus ke atas pelaburan dan simpanan emas di institusi itu.

Berhasrat capai pertumbuhan 400 peratus tahun ini
Melihat urusniaga dan sambutan pelanggan terhadap urusniaga yang disetakat ini syarikat berhasrat mencapai 400 peratus pertumbuhan jualan sepanjang operasi tahun ini.

Menurutnya, syarikat optimis dengan sasaran itu kerana pencapaian jualan ketika ini bermula Januari hingga Mac telah melebihi jumlah keseluruhan jualan tahun lalu.

Katanya, selain faktor itu, beberapa sebab lain yang boleh menjadi pendorong dalah kerana konsep cagaran yang diperkenalkan Ar-Rahnu adalah selari dengan tuntutan syariat di samping mengenakan upah simpan yang tidak melebihi satu peratus daripada nilai anggaran barang yang dicagar.

Operasi Habib Jewel sebahagian besarnya disumbangkan oleh jualan kedai emas di samping, 10 peratus daripada kedai emas yang berorientasikan gadaian dan pembelian terus daripada pelanggan iaitu Chantique, dua peratus disumbang oleh hotel, dan lima peratus oleh kedai pajak gadaian islam, Ar-Rahnu serta lain-lain.


INFO:
• Perusahaan ini bermula 52 tahun yang lalu di Pitt Street, Penang,
• Habib kini menjana sepenuhnya intergrasi pengilangan, pembuatan, peruncitan, pemasaran, francais dan pelaburan barangan kemas.
• Keunggulan, mutu, kreativiti dan kehalusan seni rekaan merefleksi sehingga ke kelasnya yang tersendiri.
• Reka bentuknya padan dan sesuai untuk setiap golongan masyarakat.
• Pencapaian terbilang dan diperakui di dalam Reader’s Digest Trusted Brands Award, Malaysian Retail Association Award, BrandLaureate Award dan juga tersenarai sebagai Kedai Harga Patut.
• Ketika ini, Habib memiliki 22 bilik pameran di seluruh negara yang kebanyakkannya terletak di pusat Bandar utama dan lot pusat membeli-belah seperti di Ampang Point, Suria KLCC, Alamanda Putrajaya, The Curve Mutiara Damansara, Bangsar Village 2 di Bangsar, Plaza Masaalam, Shah Alam, Satellite Building di KLIA, Plaza Angsana Johor Baharu, Central Square di Sungai Petani, Queensbay Mall di Pulau Pinang

No comments:

Post a Comment

thnks for your comment...