Tuesday, August 16, 2011

Rumah terbuka peluang tambah pendapatan

Kesempatan diguna syarikat katering gandakan rezeki

Adalah menjadi tradisi masyarakat kita pada hari ini selepas sebulan berpuasa, Syawal dirai dengan penuh meriah. Kedatangan Syawal bukan sahaja saat yang dinantikan kerana berjaya menyempurnakan rukun Islam ke tiga, tetapi pada bulan ini juga kita akan menerima undangan ke rumah terbuka.

Konsep rumah terbuka yang diperkenalkan di negara kita adalah bertepatan dengan semangat mubibbah selaras saranan kerajaan untuk mengamalkan konsep satu Malaysia.

Majlis rumah terbuka dalam masyarakat kita dilihat telah menyemarakkan lagi amalan berkunjungan dan saling bermaafan sepanjang bulan Syawal yang mulia.

Penganjuran rumah terbuka juga dilihat telah membuka peluang perniagaan bagi sesetengah pihak terutama syarikat yang berkecimpung dalam dunia perniagaan katering.

Latar Belakang
Segi Seri Sdn Bhd bukan satu nama baru dalam perkhidmatan katering di negara kita.
Dari segi penubuhan, Syarikat ini telah berpengalaman selama 10 tahun dalam industri makanan dan katering, menjadikan syarikat sentiasa menjadi pilihan ramai untuk membuat tempahan berkaitan penyajian makanan terutama rumah terbuka.

Secara sepintas lalu, Segi Seri Sdn Bhd adalah syarikat yang dimiliki seratus peratus Bumiputera bermula sejak 1995. Ia dibangunkan oleh Azhar Baharin yang kini bergelar Pengarah Urusan bersama seorang rakan kongsi dengan modal awal sebanyak RM RM100,000.00.

Azhar yang berasal dari Kanchong Tengah, Banting, merupakan anak sulung daripada 10 adik beradik. Langkah awal pembabitan beliau dalam bidang katering adalah setelah memulakan kerjaya sebagai pramusaji di sebuah dewan makan di institut pengajian tinggi tempatan pada 1990.

Bermula daripada situ, beliau mula mempelajari teknik menguruskan dewan makan daripada peringkat penyediaan makanan sehinggalah bidang pengurusan.

Atas tekad dan kesungguhan, beliau memulakan perniagaan katering secara kecil-kecilan. Tanpa menoleh ke belakang pada tahun 2003, Segi Seri Sdn Bhd didaftarkan dengan rasminya di bawah Kementerian Kewangan Malaysia dan bertaraf Bumiputera.

Kini Segi Seri Sdn Bhd telah berkembang maju menjadi salah sebuah institusi penyediaan makanan dan pengurusan katering terkenal di Malaysia.

Perkhidmatan
Perkhidmatan utama syarikat ini adalah menyediakan sajian sepanjang tahun untuk semua jenis majlis baik besar mahupun kecil seperti perkahwinan, hari keluarga, jamuan di pejabat-pejabat korporat serta membekal sajian untuk tempoh-tempoh tertentu seperti berbuka puasa, bersahur, bekalan makanan untuk jemaah Tabung Haji ketika musim Haji dan kontak membekal makanan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Penyediaan sajian untuk rumah terbuka juga tidak terkecuali dan kini syarikat itu sibuk membuat persiapan memenuhi permintaan rumah terbuka.

“Kami menerima tempahan untuk majlis rumah terbuka sejak Ramadan lagi dan 20 tempahan rumah diterima setakat ini,”kata Ketua Chefnya, Rahime Harun.

Menurutnya, tidak ada syarat yang ditetapkan dalam membuat tempahan untuk rumah terbuka namun kebiasaannya tempahan paling kurang adalah 500 pax,”katanya.

Beliau berkata, pelanggan akan diberi kebebasan untuk memilih menu yang bersesuaian dengan konsep dan kehendak mereka. Apabila proses rundingan selesai barulah sebut harga akan dikeluarkan dan anggaran harga yang ditawarkan bermula RM15 hingga RM45 untuk jamuan secara bufet.

Katanya, caj tambahan dikenakan berbeza untuk pelanggan yang meminta sajian seperti BBQ dan kambing panggang. RM1,000 caj tambahan untuk seekor kambing.

“Kami cuba memberi kelainan dengan memperkenalkan konsep gerai dan setakat ini lapan gerai dengan pelbagai sajian akan disediakan bagi tempahan sajian untuk rumah terbuka,”katanya.

Rahime berkata, antara menu yang ditawarkan adalah ikan bakar, pelbagai pilihan makanan dan kuih muih tradisional Melayu, Steamboat dan lain-lain seperti masakan barat jika diminta pelanggan.

Sebagai persiapan, dua hari sebelum majlis berlangsung para pekerja akan bersiap sedia menyediakan kelengkapan yang dibantu lebih 15 kakitangan mengikut giliran.

Kejayaan
Kejayaan terbesar Seri Segi dalam menyediakan sajian setakat ini adalah membekal makanan untuk pejabat korporat seperti Tabung Haji, PDRM dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Pada tahun lepas lalu, kami edarkan makanan kepada lebih 10,000 jemaah Tabung Haji manakala membekalkan makanan secara kontrak kepada UiTM dan orang kena tahan (OKT) PRDM,”katanya.

Pada hari-hari biasa pula, syarikat sentiasa menjadi pilihan lebih 30 individu, badan kerajaan dan swasta.

Perancangan masa depan
Melangkah maju ke hadapan, Segi Seri telah merangka beberapa rancangan dalam mengembangkan lagi operasinya pada masa akan datang.

“Sebagai perancangan masa depan, kami sedang mempelbagaikan bidang niaga dan merancang membuka peluang francais, kios, dan restoran. Jadi tidak hairanlah katering ini sering diberi nama jolokan sebagai Raja Katering,”katanya.


Info catering :
Istilah katering diambil daripada perkataan bahasa Inggeris ‘catering’ atau kata akar ‘cater’. Ia membawa maksud penyajian makanan.
Orang atau syarikat katering pula dipanggil penyaji makanan atau katerer. Justeru katering merujuk kepada aktiviti atau bidang bisnes penyajian makanan dan minuman kepada orang-orang membuat pesanan makanan dan minuman.
Hasil daripada membekal makanan, syarikat akan dapat duit,
Bisnes katering berlainan dengan bisnes kedai makan atau restoran
Bisnes katering memerlukan syarikat penyaji makanan membawa makanan dan minuman yang dipesan dalam jumlah yang dikehendaki ke tempat pelanggan, berlainan jika dibandingkan dengan urusniaga restoran, café, kedai makan dan sebagainya.

1 comment:

thnks for your comment...